Pagi nikah, malam dah tidur asing. Mia bilik ni. Shah bilik sana. Aduh depan family kami hanya berpura jadi pasangan bahagia.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Admin kerana sudi untuk menyiarkan cerita ini. Saya perkenalkan diri. Nama saya Damia atau boleh panggil nama pendek ‘Mia’.

Kisah yang Mia ingin kongsikan ini adalah kisah benar yang terjadi di dalam kehidupan saya. Tujuan cerita ini bukanlah untuk mengaibkan mana-mana pihak dan yang baik itu datangnya daripada-Nya dan yang buruk adalah dari kesilapan diri Mia sendiri. ‘Nikah Tanpa Cinta’, itulah yang Mia lalui beberapa tahun yang lepas.

Selepas menghabiskan pengajian di luar negara, Mia mendapat kerja yang diidamkan di salah sebuah syarikat oil & gas di ibu negara. Permulaan kerjaya bermula seperti yang dirancangkan. Mia bersyukur sangat diberi peluang kerjaya yang diidamkan.

Semasa bekerja di salah sebuah firma tersebut, Mia telah berkenalan dengan seorang jejaka bernama Adi yang dimata Mia dia adalah seorang lelaki yang sangat baik & bertanggungjawab. Perkenalan kami berpanjangan sehinggalah Adi mengambil keputusan untuk memperkenalkan Mia kepada ahli keluarganya.

Keluarga Adi menyatakan hasrat untuk bertemu dengan keluarga Mia untuk membincangkan hubungan kami. Mia memaklumkan kepada mama hal tersebut. Mama memanggil Mia pulang ke rumah. Setelah Mia memberitahu hal tersebut, papa telah membantah dan tidak bersetuju.

Katanya Mia akan disatukan dengan anak kepada kenalan papa. Waktu itu, Mia tak dapat nak berkata-kata disebabkan terkejut dengan keputusan papa. Mia cuba pujuk mama tapi keputusan papa tidak boleh diubah. Ayat paling keramat yang papa keluarkan yang masih Mia ingat sampai sekarang adalah ” Kalau Mia tak mahu ikut kata papa untuk berkahwin dengan anak kawan papa, Mia jangan jejakkan kaki di rumah ini lagi & anggaplah mama & papa bukan lagi ibu bapa Mia”. Allahuakhbar……

Dipendekkan cerita, Mia terpaksa bersetuju dengan keputusan papa dengan berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga. Adi yang kecewa waktu itu telah menghilangkan diri sehinggakan Mia sendiri tak dapat nak jejak dia ada dimana.

I’m so sorry Adi. Bukan Mia tak sedih tapi Mia tak ada pilihan. Keluarga adalah insan yang paling penting dalam hidup Mia. Mia tak nak jadi anak derhaka, Adi. Harap Adi faham dengan keadaan Mia.

Majlis perkahwinan Mia dan suami yang dikenali sebagai Shah berlangsung seperti yang dirancangkan. Sebelum Mia dan Shah disatukan, kami berjumpa bagi berbincang soal ini. Shah memberitahu dia dipaksa untuk berkahwin dengan Mia dan dia turut memberitahu sudah punya pilihan hati sendiri. Shah sendiri memberitahu dia tak mungkin akan menerima Mia dalam hidupnya.

Kehidupan rumahtangga kami tidak seperti pasangan-pasangan suami isteri yang lain. Pagi nikah, malam tido asing dah. Shah mengambil keputusan untuk berpindah ke rumah sendiri selepas berkahwin. Istana cinta yang diangan-angankan tidak pernah wujud dalam perkahwinan kami.

Shah membuat hal sendiri begitu juga Mia. Malahan kami tinggal di bilik yang berasingan. Kadang-kadang nak bertembung di dalam rumah sendiri pun susah. Shah keluar kerja pagi dan balik ke rumah waktu malam. Kadang-kadang dalam seminggu adalah 2-3 hari Shah balik ke rumah.

Mia hidup sendirian menguruskan kehidupan. Demi menjaga hati kedua-dua keluarga, bila bertemu atau berkumpul Mia dan Shah akan berpura-pura mesra di hadapan mereka. Hakikatnya kami ibarat kutub utara & kutub selatan.

Selepas setahun lebih berkahwin, Shah mendapat berita dia akan dihantar ke luar negara untuk berpindah tugas dan Mia akan ditinggalkan disini sendirian. Selama pemergian Shah, Miada perkhabaran berita daripada Shah. Email tak berbalas, mesej pun tidak & call jauh sekali.

Bila ditanya oleh mama & papa, Mia terpaksa menipu dengan memberitahu Shah baik-baik sahaja. Soal nafkah, sebelum Shah berangkat, dia telah meningggalkan sejumlah wang untuk Mia uruskan hidup disini. Pernah sekali ibu mertua Mia beritahu Shah berada di Scotland bercuti bersama rakan-rakan.

Perasaan Mia waktu itu kosong, sedih pun ada. Seorang isteri yang tidak tahu langsung apa-apa perkembangan suami. Mia pernah bertanya kepada ibu mertua kenapa kami disatukan dahulu padahal Shah sendiri tidak bersetuju. Mertua Mia beritahu ia adalah desakan daripada bapa mertua Mia & papa Mia.

Katanya bapa mertua terhutang budi dengan papa disebabkan papa pernah membantunya di dalam perniagaan. Disebabkan hal itu, mereka bersepakat untuk menyatukan kami. Dan paling memeritkan Mia ialah ibu mertua Mia sendiri tidak suka dengan keputusan untuk mengahwinkan Mia dan Shah dan dia lebih sukakan pilihan hati Shah.

Bulan berganti bulan, selapas hampir setahun lebih Shah ke luar negara, suatu hari loceng pintu rumah berbunyi. Bila Mia membuka pintu Shah berada di hadapan rumah. Dan ketika itu ada seorang wanita berdiri disisi Shah bersama seorang kanak-kanak lelaki.

Boleh bayangkan tak apa yang Mia lakukan? Shah memperkenalkan wanita tersebut adalah isterinya dan kanak-kanak lelaki itu adalah anaknya. Shah memberitahu mereka telah berkahwin selepas 6 bulan Mia berkahwin dengan Shah.

Perkahwinan mereka dilangsungkan di negara jiran tanpa pengetahuan bapa mertua Mia. Apa yang paling mengejutkan Mia waktu itu adalah perkahwinan itu diketahui oleh ibu mertua Mia sendiri. Shah menyorokkan hal tersebut daripada pengetahuan bapanya disebabkan hubungan baik bapanya dan papa Mia.

Ada berita yang lebih mengejutkan daripada itu. Wanita tersebut yang memperkenalkan dirinya sebagai Hana memberitahu dia & Shah perlu berkahwin waktu itu disebabkan Hana telah mengandungkan anak mereka. Allahuakhbar, dugaan apakah ini Ya Allah. Mia mengucap panjang dan akhirnya air mata Mia tumpah jua.

Hati seorang wanita tidak sekuat yang dibayangkan. Shah dan Hana berulang-ulang kali memohon maaf. Mia hanya mampu terdiam dan cuba mencari kekuatan dalam diri. Apa yang perlu Mia buat sekarang? Apa reaksi mama & papa bila tahu mengenai hal ini?

Macam mana dengan status Mia? Berlegar-legar soalan bermain di benak Mia. Akhirnya Mia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah orang tua Mia dengan keizinan Shah. Mia ingin ruang untuk berfikir. Ruang untuk berfikir secara waras. Setiba di rumah mama & papa, mereka menyambut kedatangan Shah tanpa sebarang keraguan.

Dan ketika itu Mia sendiri memberitahu Mia akan menetap disini sehingga masalah rumahtangga kami selesai. Mama & papa tidak menyangka kami berada di dalam situasi yang tegang. Mereka beranggapan kami seperti pasangan suami isteri seperti yang lain.

Mia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri daripada menjawab pelbagai persoalan daripada keluarga. Setelah puas berfikir, Mia telah membuat keputusan untuk menceritakan perihal yang sebenar kepada mama & papa. Airmata Mia lagi sekali tumpah setelah menceritakan perkara yang sebenar.

Mama menangis teresak-esak di bahu Mia dan papa terdiam di sofa. Papa tak menyangka Shah sanggup bertindak sebegitu. Keluarga mertua Mia dan Shah dipanggil ke rumah untuk berbincang. Shah membuka mulut dengan menceritakan perkara daripada A-Z. Bapa mertua Mia melempiaskan marahnya kepada Shah dengan menampar muka Shah dengan penuh kemarahan. Kemudian ibu mertua Mia meminta maaf kepada Mia kerana menyembunyikan hal tersebut.

Akhirnya setelah berfikir dengan semasak-masaknya, Mia membuat keputusan untuk berpisah dengan Shah. Mia dah tak mampu untuk pertahankan rumahtangga yang dibina tanpa cinta ini. Mia nak bercerai.

Tolong lepaskan Mia, Shah. Pada tanggal 26 Februari, Shah telah melafazkan cerai keatas Mia dengan talak 1. Mia mengambil keputusan ini untuk kepentingan & kebahagiaan Shah dan Hana. Semoga kalian berbahagia kelak. Segala apa yang berlaku Mia sudah maafkan. Selepas penceraian itu, Mia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di luar negara.

Shah ada mengirimkan email kepada Mia dan dia memohon maaf diatas apa yang telah berlaku. Dia menyesal kerana memperlakukan Mia sebegitu. Untuk bekas suami Shah, Mia redha dengan apa yang berlaku. Ada hikmah untuk semua ini. Kehidupan kita perlu diteruskan & yang berlaku ini adalah suratan yang telah tertulis untuk kita.

Bila difikirkan balik, adakah ini hukuman kepada Mia disebabkan suatu ketika Mia pernah melukakan dan menghampakan perasaan seseorang yang begitu mencintai dan menyayangi Mia. Ya, suatu ketika dulu….

Salam Sayang, Damia

Unutk pengetahuan semua nama dalam artikel ini telah diubah bagi mengelakkan pembaca mengenali semua yang tertulis dalam luahan ini. Jadikan cerita ini sebagai pengajaran. Jika bermanfaat boleh lah share.