Ibu aku ni sebenarnya bukan ibu kandung aku tapi aku syg sgt sehinggakan aku tidak boleh terima kenyataan selepas dia pergi buat selamanya.

Dari kecik aku membesar dengan ibu aku, ibu aku ni sebenarnya bukan ibu kandung aku. Ibu aku cerita waktu dia muda, kawan dia ni ( mak kandung aku ) nak buang aku sebab suami dia ni lari dengan perempuan lain. Tapi ibu aku halang dan nak jaga aku.

Ibu aku ni anak yatim yang membesar dekat rumah anak yatim yang kena tinggal depan masjid waktu umur baru berapa minggu. Jadi dia taknak aku rasa benda yang sama. Jadi kami ni hidup berdua tak saudara mara tak ada kenalan. Sebab lepas ambik aku jadi anak dia, ibu pindah ke negeri lain.

Kami berdua duduk dekat rumah flat 4 tingkat dua bilik. Awalnya, setakat menyewa tapi lambat laun tu. Tuan rumah sebenar, dia terdesak nak duit perlukan banyak juga. Kebetulan ibu ada duit sejumlah tu. Jadi ibu pun beli rumah ni. Lepas beli rumah tu kami tak ada duit simpanan jadi memang kena berjimat cermat. Tapi yang penting setiap bulan tak payah bayar duit sewa. Jadi hilang sikit bebanan.

Rumah kami memang tak ada peti sejuk atau mesin basuh. Biasanya memang ibu atau aku basuh dan sental baju pakai tangan. Selalunya ibu yang basuh aku pula yang pulas baju tu dan jemur. Lenguh juga sebenarnya. Ibu pula kerja kedai makan. Subuh pagi 6 pagi dah keluar dan balik 6 petang.

Biasa kalau cuti aku akan kerja. Kerja mudah, kedai runcit pasar tolong kedai jual goreng pisang. Dapat lah berapa ringgit. Kadang-kadang tu kalau ibu nak belikan sesuatu aku rasa takut, tengok harga mahal semua. Tapi ibu cakap tak apa. Aku selalu kalau boleh memang “takpelah bu” kalau kasut koyak pun aku diamkan.

Kalau ibu tahu nanti dia mesti nak belikan yang baru. Biasa kalau tapak koyak tu aku pakaikan sahaja. Selalu aku tolong kerja nanti ada makcik pakcik cakap ada baju seluar sekolah dengan kasut dia nak buang, tapi tak jadi sebab nak kasi aku.

Nasib baiklah muat. Banyak kerja aku buat dan semua duit aku dapat tu aku simpan. Nak beli mainan macam budak lain payah juga. Setakat pinjam main sekejap je. Habis spm aku ingat nak kerja terus. Tapi ibu marah, sebab result aku bagus jadi dia paksa aku sambung belajar. Aku waktu tu takut juga pasal hal duit semua ibu pula sorang.

Tapi dah ibu suruh aku pun pergi. Sambil belajar aku sambil kerja. Habis belajar aku terus kerja, waktu hari convocation aku cakap dengan ibu nanti kalau dapat gaji pertama tu kita pergi keluar makan seafood. Ibu tak makan ayam, tapi seafood dia makan. Selama kami hidup berdua cuma sekali je makan luar. Makan kfc ke mcd tu semua pun merasa sebab jiran kasi.

Tapi sayang, lagi berapa hari aku nak dapat gaji pertama ibu meningggal. Waktu ni aku … Tapi aku teruskan hidup. Kerja siang malam balik office petang aku kerja malam aku kerja. Sabtu ahad cuti tu pun aku kerja, bab sosial tu memang aku kurang. Rasanya 6 tahun aku kerja non stop. Kecuali cuti raya.

Hari yang lain kebanyakkan aku kerja. Sampai sekarang aku menentap dekat rumah flat lagi. Kalau dulu rumah ni kosong. Sekarang aku dah letak mesin basuh peti sejuk tv, sofa. Kalau dulu setakat bentang toto atau tilam nipis tidur sekarang dah ada katil. Kalau dulu setakat ada satu kipas sekarang aku dah pasangkan penghawa dingin.

Lepas 6 tahun berkerja aku rasa penat. Aku berhenti kerja, bos aku terkejut. Aku cuma kasi tahu yang aku ada masalah. Aku berhenti aku duduk rumah. Waktu siang aku kemas rumah dan masak. Malam pula aku berjaga, cuba resipi baru. Bil air api pun setakat berapa puluh. Kereta aku dah habis bayar rumah pula tak perlu bayar apa.

Aku duduk je rumah, kalau nak keluar pun tengah malam untuk buang sampah. Sebulan 2 kali aku belanja nak re-stock makanan dan benda penting. Aku rasa taknak bercakap. Aku nak hidup dalam rumah ni, rumah aku ni dunia aku. Orang ketuk rumah , bagi salam aku biarkan. Aku buat tak tahu. Kawan telefon aku biarkan. Aku tukar nombor telefon.

Sepanjang dua tahun aku duduk rumah sorang. Bab duit aku tak ada masalah aku ada simpanan. Lagipun sepanjang aku terperap dekat rumah tu, aku belajar cara buat duit gunakan iklan dan banyak lagi. Setiap bulan tu aku boleh 3-4 ribu.

2 tahun tu aku duduk rumah macam-macam resipi masakan kek kuih yang aku buat. Aku rasa dalam 2 tahun tu aku cuma bersosial dengan tempat cashier je. Jadi lepas 2 tahun aku rasa makin penat. Waktu ni aku rasa macam sensitif, mudah menangis. Rasa macam sunyi sangat hidup. Waktu ni aku ada terfikir nak suicide.

Aku siap beli tali dan dah ikat tinggal sangkut leher je. Tapi tak jadi, tali tu aku cuma biarkan. Makin hari aku makin penat. Rasa makin susah nak bernafas. Tak boleh tidur, siang malam asyik nak menangis. Pagi waktu bangun tidur badan aku berat. Aku tak boleh nak bangun.

Aku cuma mampu pandang siling dan sekeliling aku. Tali gan tung tu masih ada dekat situ. Aku pun bangun dan cuba sangkut leher aku dekat situ. Lepas beberapa saat aku turun dan keluar rumah. Waktu ni aku rasa macam tak betul.

Aku turun bawah masuk dalam kereta buka enjing duduk dalam berpuluh minit dan drive sekeliling kawasan. Aku drive jauh lepastu aku patah balik. Aku pergi satu tempat. Kedai makan. Kedai makan jual nasi campur ibu kerja dekat kedai makan ni bertahun-tahun. Kadang-kadang aku ikut ibu. Kedai ni tak berubah langsung. Tak sekeliling dia ada rumah tinggi bangunan tinggi. Aku pun makan dekat situ.

Tengah makan ni, aku nampak macam ibu aku tengah ambik order. Aku apa lagi menangis dekat situ. Nasib baik tak ada orang. Akak dekat situ dah confuse. “Adik okay tak, kenapa ni ?” Aku bayar dan balik. Malam tu aku cabut tali gan tung tadi.

Aku cari kerja baru. Dalam seminggu aku dapat kerja. Waktu tu, aku baru rasa boleh bernafas. Bercakap dengan orang. Keluarkan suara. Berjalan, ketawa. Dan banyak lagi. Duit gaji aku yang pertama aku masih simpan. Aku simpan dalam sampul surat dan aku letak surat. Dalam tu aku letak gambar aku dengan ibu dan aku selitkan dalam buku 555 ibu.

– Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *