“Yana, walau aku ber ijazah tapi hidup aku susah dan telah di ceraikan suami” Aku malu walau kau tidak berpelajaran tapi hidup kau senang berkereta mewah.

Sejak kebelakangan ini aku sibuk uruskan kemasukan adik bongsu aku ke universiti. Universiti terkenal di Malaysia. Adik aku lepasan STPM. Aku tumpang berbangga dengan kejayaannya menempa nama di universiti terbabit. Sekali sekala ingatan aku terimbau saat aku juga ingin ke universiti enam atau tujuh tahun dulu.

Aku ada kawan baik sejak di zaman persekolahan. Nama dia Yana. Pergi dan balik sekolah selalu bersama. Habis sekolah menengah, dia pilih untuk bekerja. Aku duduk di rumah goyang kaki, tunggu tawaran tingkatan enam.

Aku teringin juga mahu bekerja. Tambah-tambah duit poket. Tapi ibu ayah menegah. Aku jadi penganggur terhormat. Tidur atas katil empuk, bangun tengahari. Nikmati cuti sepuasnya. Macam tuan puteri. Yana pula bangun awal pagi. Siapkan makan minum untuk ibunya yang lummpuh. Hantarkan adiknya ke sekolah. Basuh sidai kain baju.

Bersiap ke tempat kerja. Kerja siang sampai malam. Beza hidup dia dengan aku. Baru hari ini aku rasa kagum dengan pengorbanannya di usia semuda itu. Mungkin baru hari ini aku matang dan terbuka mata hati.Beban yang ditanggung di usia 18 tahun. Usia kami sama, tapi cerita kami berbeza. Keputusan SPM diumumkan. Dia dapat 6A. Hebat kan? Bagi aku hebat. Dia gifted.

Sungguh, dia jarang-jarang buat kerja rumah yang diarahkan guru. Buku nota juga hampir tidak pernah wujud. Dari tingkatan empat sampai lima, buku nota biologi aku tidak pernah nampak. Tapi dia dapat A biologi. Aku? Aku siang malam salin nota, kadang-kadang exam pun bawa t0yol. Aku dapat 2A saja. Aku mula rasa tergugat.

Aku dapat tawaran form 6. Sama juga seperti Yana. Bidang sama, sekolah yang sama. Tapi dia menolak. Dia pilih untuk terus bekerja. Aku rasa geram juga. Aku rasa dia bagaikan tidak memikirkan masa hadapan. Nasihat aku bagai mencurah air ke daun keladi. Hubungan kami mulai renggang bila aku kembali bersekolah. Aku sibuk.

Dia juga sibuk bekerja. Sekali sekala dia ajak aku berjumpa bila ada masa terluang. Aku cebikkan mulut tanda enggan. Aku lebih suka habiskan masa cuti dengan rakan sekelas. Masa depan lebih cerah, lebih berpendidikan. Kononnya. Lama aku tak jumpa dia. Walhal rumah kami cuma selang sebuah. Sampai suatu pagi, dia datang rumah aku.

Mak kejutkan aku daripada lena. Yana datang, katanya. Aku keluar dalam keadaan mamai. Yana di muka pintu tersenyum, manis. Di tangannya ada sebuah kotak. Dia hulurkan pada aku, Happy Birthday!! Teriaknya. Aku terkejut. Bercampur terharu. Ditambah rasa bersalah yang membuak. Apa tidaknya. Hari lahir Yana sudah berlalu seminggu lepas.

Aku langsung tidak mengucap walau sepatah ayat, malah aku terlupa juga. Tapi hari lahirku, dia buat kejutan. Susah payah dia balut cantik-cantik kotak hadiah untukku. Aku, kawan baiknya sejak sekolah. Aku yang cepat sangat lupa diri mungkin. Aku rasa sebak. Berinci-inci rasa bersalah mengongkong hatiku. Air mataku mahu jatuh bertalu. Aku empang cermat-cermat.

Aku cakap terima kasih. Dia cakap, takda hal lah. Dia pelluk aku, lama. Dan dia berlalu pulang. Aku mula terimbau susah senang kami bersama. Aku mula teringat moment sedih dan gembira sejak di sekolah rendah. Aku sebak. Aku terima tawaran ke universiti tersohor di Malaysia. Aku teringat masa tu. Yana belikan kelengkapan aku ke universiti. Baldi. Berus kain. Tuala. Sudu. Mangkuk. Gelas. Segala macam mak nenek.

Tanda dia bahagia dan tumpang berbangga dengan pencapaianku. Aku teringat pagi sebelum aku berangkat ke mahligai gading. Dia datang bertemuku. Dia dah siap berbaju kerja. Pakai stokin, tapi cuma berselipar. Dia berjalan pantas saat ayah masih memuatkan barangku di dalam kereta. Dia tersenyum lega barang pemberiannya aku angkut juga ke sana.

Dia pelluk aku lama. Dia pesan belajar betul-betul. Dia tak mampu tahan air mata di pipi. Aku kira itu air mata gembira aku berjaya ke universiti. Impian semua orang. Siapa tahu,itu air mata pilu bahawa dia juga mahu ke sana. Siapa tahu. Dia dan Allah saja tahu. Dia sumbat dalam tas tangan aku, angpow raya. Ada surat, tulisan tangannya. Ada not RM50.00,dua keping.

Tak sempat aku mahu menolak dia berlalu pulang. Suratnya aku baca di atas katil sesampainya aku ke universiti. Tulisan tangannya indah berseni. Berbunga-bunga. Hatiku direntap sayu. Dia throwback masa kami kecil, kami panjat pokok. Makan meggi atas pokok. Kami balik sekolah, jalan kaki. Kami ke sekolah agama bermain kejar-kejar di petang hari.

Aku kesat air mata dengan hujung jari. Satu saja pintanya. Semoga aku tidak melupakannya. Aku di universiti, belajar. Dia di kampung, bekerja. Dia buat kejutan padaku. Tiba-tiba dia sampai di depan mataku. Dia luangkan cuti bersamaku. Hatiku di usik cemburu. Dia sudah beli kereta. Sekali sekala dia kirimkan aku duit semasa aku belajar.

Dia anggap aku macam adik. Macam darrah daging. Apa-apa yang diberi ikhlas, hatinya luhur. Tapi masa tu aku rasa terpukul. Aku rasa apa yang dia bagi, dia bantu semacam perlian. Untuk membuktikan kehidupannya lebih berjaya daripada aku yang masih belajar. Padahal pemberiannya tidak bermaksud begitu. Aku saja yang terlalu pesimis. Aku yang prejudis.

Aku terlalu berbangga dengan gelaran siswa siswi. Aku yang terlalu mengagungkan ijazah yang aku ada. Aku semacam terkena kejutan budaya bila menginjak ke universiti. Manakan tidak. Selama ini terperuk di kampung. Bila keluar ke bandar, aku mula bersosial. Cuti travel bersama kawan. Bergaya, beli baju seluar berjenama. Orang berak besar, aku pun mahu berlawan.

Sudahnya hujung bulan telefon Yana. Minta pinjam duit sedikit. Tebal sikit muka. Dia cemas tahu duitku tiada. Alasanku assignment semua pakai duit. Padahal, sakan aku berjimba meronggeng, dengan kawan universiti. Ya, kawan yang berpendidikan tinggi, setaraf denganku. Tapi bila susah, telefon juga kawan yang kerja entah apa-apa itu. Haha. Aku ketawakan diri sekarang.

Aku tamat pengajian beberapa tahun berikutnya. Gelaran fresh graduate semacam sumpahan. Bila memohon kerja di mana-mana yang dipinta adalah pengalaman. Mana nak datang pengalaman, aku ini baru keluar universiti. Ya, benar. Bukanlah mudah mahu mendapat kerja di bahagian yang diimpikan, apatah lagi mendapat kerja di dalam bidang yang dipelajari.

Aku jadi penganggur bulan-bulan awal bergelar graduan. Sebelum memohon kerja di kilang selepas rasa tidak berguna jadi penganggur di usia 20 an. Aku mula rasa putus asa.Apa nak dikata. Hidup harus diteruskan. Yana pula sementara aku belajar, dia sudah dapat kerja lain. Kerja dengan syarikat bekalan elektrik terkemuka di Malaysia.

Sudah berkahwin, di tahun akhir aku belajar di universiti. Hati aku terusik. Rumahnya. Dia sudah beli rumah. Waktu aku masih terkial-kial mahu membentuk kerjaya. Dia berkahwin, suaminya kacak. Macam aktor indonesia,Herjunot Ali. Siapa kenal? Ya, irasnya begitu. Dia dilamar anggota polis itu semasa bekerja. Eloklah, dua-dua kerjaya ada masa depan.

Aku tak kata salah belajar. Yang mana sedang belajar, teruskan. Yang mahu sambung, silakan. Tahniah aku ucapkan. Yang salah, bila kita underestimate kawan-kawan kita yang tidak belajar tinggi. Kawan-kawan yang bekerja atas alasan tertentu. Sebab hidup ini, hebat dan berjaya bukan diukur daripada tinggi mana kita belajar.

Jangan mudah menghakimi orang, siapa tahu hidup di kemudian hari. Yana sendiri bukan tidak layak untuk belajar tinggi. Cuma waktu itu kesihatan ibunya, lummpuh. Siapa mahu menjaga kalau dia jauh? Mulia hati dia. Dunia akan layan kita, the way kita layan orang sekeliling kita. Untuk apa yang dia miliki hari ini sebenarnya tidak cukup untuk membayar perit jerih pengorbanan yang pernah dilakukannya untuk keluarga, untuk aku.

Hatinya lurus, putih suci. Aku sendiri tidak tahu perlu mula dari mana untuk membalas satu-satu jasa baiknya. Bila sudah berkeluarga, aku faham. Keluarga menjadi keutamaan. Suaminya, anaknya. Aku kagum bila tonton video di laman facebooknya, anaknya fasih berbahasa Inggeris. Sudah tentulah Yana ajar. Aku tumpang bahagia.

Aku kahwin dua tahun lepas. Dengan kawan sekuliah. Dia mengajar di sebuah sekolah agama. Aku fikir hidup akan bahagia bila menikahi orang yang ilmu agamanya tinggi. Tapi aku salah. Selepas bersalinkan anak sulung, hidup mula diselimuti derita.

Suamiku tidak mahu pindah keluar, mahu tinggal terus dengan ibunya. Ibu mertuaku itu pula menganggapku bagaikan perampas, aku merampas anak tunggalnya. Hidupku yang selama ini mewah selama dibesarkan oleh ibu bapaku tiba-tiba daif selepas mendirikan rumah tangga. Aku berhenti kerja, fokus jaga anak di rumah.

Sementara suami cari rezeki. Tapi aku tidak mampu bertahan lama apabila ibu mertuaku melayanku semacam hamba apabila anaknya tiada di rumah. Makan minumku dicatu. Kerja di rumah, membasuh menyapu semua aku lakukan. Aku rasa macam babu, bila bilik tidur ibu mertuaku juga aku yang harus kemaskan. Duit belanja juga jarang diberi oleh suami, alasannya semua kelengkapan sudah cukup.

Sudahnya, aku minta pulang ke rumah ibu bapaku. Sayu hati mereka, melihat tubuh kurus keringku. Dan begitulah aku sampai kini, meneruskan fasa-fasa perceraian. Aku khabarkan berita duka pada Yana. Dia datang berjumpa aku. Tanpa kata, dia dakap tubuh aku. Kalau selalu dia menangis. Kali ini, aku dulu teresak pilu atas bahunya.

Menangis sepuas hati melepas segala bisa. Barulah aku sedar. Tak guna kawan ramai. Bila susah bila sedih semua lari. Baik ada kawan sedikit, tapi bila kecewa mereka boleh pinjamkan bahu. Wawa, sabar wawa. Bisiknya di telingaku. Aku lihat air matanya tumpah, di pipi putihnya. Aku melirik perutnya. Berisi lagi, untuk kali keduanya.

Aku lirik lengannya. Besar sungguh gelangnya. Aku hantar dia ke kereta, kereta baru. Jenama luar negara. Bukan soal siapa kaya, siapa belajar tinggi. Siapa rajin kerja, siapa ada ijazah. Bukan. Ini soal rezeki kita rahsia Allah. Rezeki aku, dapat sambung belajar tinggi. Dapat genggam segulung ijazah. Tapi susah nak cari kerja, dapat suami jodoh tak panjang.

Rezeki Yana bekerja, dapat jodoh baik. Dapat pakai kereta elok, gelang elok. Tapi tak berpeluang belajar tinggi dulu. Orang cuma nampak kita bila kita dah berjaya. Bila kita ada semua. Orang tak tahu, macamana seksa kita semasa susah. Kan? Teruskan buat apa yang terbaik.

Pedulikan apa orang nak kata. Sebab susah ke senang ke kita ni, orang cuma boleh mengata. Bila lapar, kita juga yang kena beli beras. Bila sakit, kita sendiri yang kena beli ubat. Orang cuma mampu mengata. Yang sedang belajar tinggi, tahniah.

Yang sedang bekerja pun, tahniah. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kawan yang belajar tinggi. Semuanya bermula dengan hati. Minta yang baik-baik. In sha Allah Dia hadirkan yang terbaik untuk kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *