Tengku Puan Pahang akan bantu balu anggota b0mba dapatkan rumah.

KUANTAN: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sedia membantu balu anggota bomba, Allahyaarham Mohd Fattah Hashim, meneruskan kehidupan termasuk mendapatkan rumah.

Titahnya, Noor Nadia Kamaludin, 29, ada menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampungnya di Kulai, Johor dan memohon untuk dibantu mendapatkan rumah baginya serta dua anak berteduh.

“Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Sultan Johor (Sultan Ibrahim Iskandar), saya akan bantu supaya hasratnya untuk mendapatkan rumah tercapai.

“Dia masih muda dan ada dua anak yang masih kecil, jika memerlukan apa-apa pertolongan dia boleh maklumkan kepada saya,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui selepas mencemar duli menziarahi keluarga Mohd Fattah di Kampung Baru Beserah, di sini, hari ini.

Turut berangkat Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah.

Tunku Azizah turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Noor Nadia dan juga keluarga arwah.

Terdahulu, suasana bertukar hiba apabila Tunku Azizah dilihat sebak dan menitis air mata sambil memeluk Noor Nadia.

Dalam kejadian Rabu lalu, Mohd Fattah,34, antara enam anggota bomba yang maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lemas di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong.

Dalam pada itu baginda juga meminta pihak berkuasa untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk meningkatkan tahap keselamatan di kawasan bekas lombong.

Titahnya, kejadian lemas di kawasan lombong bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia sering berlaku membabitkan mangsa pelbagai peringkat umur.

“Antara langkah terbaik adalah memagarkan kawasan lombong bagi memastikan orang ramai khususnya kanak-kanak tidak memasuki kawasan itu.

“Selain itu, kawasan lombong boleh juga dibangunkan sebagai pusat rekreasi dan dipantau secara berkala, secara tidak langsung ia dapat mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini,” titahnya.

Sementara itu, Noor Nadia berkata, dia mahu mengambil pakaian seragam milik suaminya untuk mengubati kerinduan kedua-dua anaknya terhadap suaminya.

“Anak bongsu saya (Muhammad Meqa Al Asyraf, 22 bulan) sering mengigau dan terjaga ketika tidur dan memanggil arwah, manakala anak sulung (Nur Medina Aisya, 3) kerap bertanya di mana ayahnya. Sejujurnya hati saya terusik dan sedih melihat keadaan kedua-duanya kerana mereka masih belum memahami apa yang berlaku,” katanya.

Noor Nadia yang menghidap penyakit tiroid berkata, keadaan kesihatannya juga sedikit terjejas sejak pemergian arwah kerana dia terlalu bersedih dan tertekan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *