Ayah penoreh getah. Emak pun tolong sama. Rutin mak akan buat sarapan pagi sebelum pergi kebun pagi

Namaku Alang. Bukan nama sebenar. Aku anak keempat dari lapan beradik.

Lewat situasi kini, isu miskin dan kemiskinan banyak diperkatakan. Aku seakan ditolak untuk menoleh masa silamku. Masa jadi anak orang miskin. Miskin sangat, bukan miskin biasa-biasa.

Aruwah bapa seorang penoreh getah. Emak juga membantu bapa menoreh getah. Tapi, mereka menoreh di kebun milik orang sama ada pajak atau bahagi dua.

“Along, nanti masak ya. Celur pucuk ubi. Buat sambal gesek. Goreng telur”.

“Ateh, sapu laman. Alang, basuh pinggan. Acik, basuh baju, sidai sekali”.

Itu rutin arahan Mak sebelum turun ke kebun menoreh getah. Jangan sangka tugasan itu sama setiap hari.

Ya, Mak akan tukar-tukarkan kerja kami. Tapi bila Mak ke kebun, kadang-kadang kami buat tugasan tersebut sama-sama.

Malangnya, semua tugasan tersebut untuk anak-anak perempuan sahaja.

Dua abang yang atas sudah bekerja di luar. Seorang abang yang ada di rumah ni jarang ada tugasan khas. Adik lelaki barangkali kerana dia masih kecil memang terlepas dari kerja rumah.

Hari Sabtu dan Ahad, cuti sekolah pula, aku dan Along membantu Mak menoreh getah. Maka, balik menoreh kami selesaikan kerja-kerja rumah.

Kerja rumah ada yang berat seperti angkat air di sungai, cari kayu api, cari sayuran liar dan sebagainya. Semuanya tugas anak perempuan!

Air, elektrik, dapur gas memang tiada masa tersebut. Bayangkan, selepas cari kayu api, membelah kayu pun anak perempuan atau Mak yang akan buat.

Aruwah bapa ialah tipikal lelaki Melayu tradisi. Sangat tradisi.

Apabila sampai masa Bapa makan, waima semua lauk dan nasi sudah ada di bawah tudung saji, sama ada Mak atau anak perempuannya kena angkat tudung saji tersebut. Begitulah…

Aku membesar dengan percaya bahawa memang tugas perempuan begitu dan lelaki harus dilayan begini.

“Along, mana air masak?” Soal abang.

“Ada dalam tong, baru sejukkan”. Balas Along.

Memang untuk sejukkan air masak, perlu botol berisi air panas yang baru dijerang dimasukkan dalam tong drum, yang digunakan untuk menadah air yang diambil dari sungai.

“Panggg”.

Sekeping penampar hinggap di muka Along. Begitulah kehidupan masa lalu aku. Andai ada yang tak puas hati, Along selalu jadi mngsa baran abang. Tapi, aruwah bapa tak seperti itu. Bapa sabar dan jarang marah kami.

Aku selalu ingin lindungi Along. Tapi, dengan tubuh kurus keringku ini, aku hanya mampu melihat. Paling penting, aku merakam semua peristiwa itu. Akulah saksi Along selalu dibuli abang.

Aku menahan marah. Aku menahan rasa.

“Maafkan aku Along. Aku tak dapat tolong Along”

Untuk pengetahuan pembaca, bapa tak ada tanah walau sedikit pun. Jadi kami selalu berpindah-randah. Maka, tiap kali pindah, bapa buat “rumah” baharu.

Rumah yang bukan rumah, cuma pondok tempat berteduh. Tapi Mak sangat pentingkan kebersihan.

Walaupun seburuk mana pondok yang bapa bina, dengan tiang dari kayu kebun, lantai dari buluh yang disusun dan atap dari nipah yang dianyam… Mak ajar kami menyapu dan membuang sampah dengan baik.

Bapa pula mengasuh kami makna usaha. Aku saksi bapa membuat beberapa kerja dalam satu masa. Pagi menoreh, petang ambil upah menebas. Pada masa yang sama jadi tukang jaga kebun tempat kami menumpang membuat pondok.

Sayangnya, yang sentiasa membantu bapa ialah anak-anak perempuan. Manakala anak lelaki kurang mewarisi usaha kental bapa, tapi meneladani sikap tradisi lelaki Melayu tipikal.

“Kakak, ambil basuh tangan”.

Mataku memerhati dengan tajam dan geram. Saat berkunjung ke rumah abang, sungguh dia umpama raja! Raja tiada takhta… walau sudah ada kemudahan sinki dan paip di rumah…

Kini, kami telah dewasa, sudah punya kehidupan sendiri. Adik beradik perempuan ada kerjaya yang baik. Mungkin kerana dari kecil anak perempuan ada banyak kerja, maka kami dah terbiasa berusaha.

Manakala yang lelaki ada yang masih seperti kehidupan lampau kami. Cuma, mereka kekal menjadi raja di rumah sendiri.

Miskin itu takdir kita tapi pengotor itu pilihan.

Melihat kehidupan ibu bapa adalah teladan. Kita boleh memilih yang baik untuk dijadikan ikutan. Yang tidak kita simpan sebagai kenangan.

Maka, saya memilih mendidik anak tanpa kenal jantina. Basuh pinggan bukan untuk anak perempuan, tapi tanggung jawab sebagai insan. Begitulah…

Biar miskin, tapi bersih.

Biar susah, tapi berusaha.