Saya 30 tahun, suami pula 32 tahun. Lepas kahwin rasa normal je. Lama-lama lain pula jadi

Assalamualaikum pembaca yang budiman. Apa yang saya tulis ini, saya mohon dibaca dalam keadaan positif dan tenang.

Saya berumur 30 tahun dan sudah berkahwin. Suami saya berumur 32 tahun. Kami mempunyai dua orang anak, seorang berumur 2 tahun dan kakaknya berumur 4 tahun.

Pada pandangan mata kasar, rumahtangga kami nampak normal. Kami dikenali oleh kawan-kawan yang sama memandangkan kami bekerja berdekatan.

Kawan-kawan saya mengenali suami saya dan begitu juga saya mengenali kawan-kawannya. Apa yang mahu diceritakan adalah saya sudah mula tawar hati dengan sikap suami saya.

Pada awal perkahwinan, saya rasa kehidupan saya normal. Punya seorang suami yang rajin bekerja dan ramah dengan orang sekeliling. Dia seorang bapa yang penyayang dan suami yang mengambil berat akan sesuatu hal.

Namun Allah mahu tunjukkan pada saya sisi sebenar suami saya. Pada hari kejadian, saya terjumpa sesuatu di dalam beg peribadinya. Ya, ia adalah blok ganja.

Mula mula saya tidak yakin itu adalah ganja. Saya menangkap gambar tersebut dan bertanya pada seseorang teman (yang pernah sama sama praktikal di AADK).

Saya bergaduh dengan suami mengenai hal ini dan dia mengaku dia terlibat. Namun katanya dia hanya menjadi orang perantaraan antara penjual dan pelanggan. Dia merayu untuk berubah dan memohon sokongan dan galakan dari saya.

Dia sudah mula tidak melepak malam dan berjaga malam. Namun itu hanya seketika, bila keadaan mula tenang sikapnya yang dahulu datang kembali.

Kali ini lagi extreme dan saya sudah mula mendiamkan diri. Memandangkan setiap kali saya ungkitkan isu ini dia akan mengamuk dan marah.

Dia menjadi seorang yang kuat tidur dan susah untuk berkomunikasi. Kami jarang bersembang seperti pasangan lain. Bermesra pun jarang sekali. Agak kekok untuk saya.

Pernah sekali dalam keadaan pergi ke kerja, dia memandu dalam keadaan ‘lalok’. Mata kuyu dan hampir-hampir menutup mata.

Bercakap dalam keadaan separa sedar dan saya sangat takut jika kami dalam keadaan seperti itu.

Saya hanya mendoakan jika kami terlibat kemalangan,biarlah dia yang mati bukan saya. Anak-anak saya masih menunggu kepulangan ibunya.

Solat?

Ya dia memang seorang yang mendirikan solat namun agak culas. Dia solat namun dalam keadaan akhir akhir waktu.

Untuk pengetahuan pembaca, dia adalah seorang pelajar dari institusi agama. Pengajiannya bukan calang calang subjek. Punca saya menerimanya sebagai suami adalah kerana latarbelakang pendidikannya.

Saya harapkan dia menjadi pembimbing terbaik untuk saya dan anak anak namun Allah Maha Mengetahui.

Seingat saya, hanya saya yang rajin bertanya pasal solat dan mengajaknya solat bersama-sama. Kadang kadang dapat reaksi positif kadang kadang sebaliknya.

Di bulan ramadhan ini, saya mempunyai naluri yang dia tidak berpuasa.

Pertama, setiap petang pasti dia akan keluar dengan kawannya menaiki kereta. Tujuan untuk mencari juadah berbuka.

Namun balik dalam keadaan tangan kosong dan bersahaja. Saya masih bersangka baik.Namun keadaan ini berulang ulang. Sehinggalah saya terbaca perbualannya bersama temannya itu.

Ya perbualan mereka tidak jelas namun ada tanda yang mereka tidak berpuasa. Saya ingin melihat lagi tindakannya. Saya meminta tolong untuk menyiapkan air manis untuk berbuka puasa.

Saya menyedari ada kesan air di gelas seolah-olah seseorang baru sahaja minum air tersebut. Saya mendiamkan diri.

Cuma saya berdoa jika dia betul tidak berpuasa, biarlah Allah tunjukkan betul betul berlaku di hadapan saya. Ini akan menjadi asbab dia akan malu dengan sikapnya.

Bukan itu sahaja, saya yang lebih banyak menguruskan anak anak. Saya yang banyak mengajar anak-anak membesar dan belajar. Suami saya memang tidak merasai pengalaman tersebut.

Saya masih ingat sepanjang anak anak kami membesar, dia tidak pernah berjaga malam jika anak-anak kami demam dan juga buat perangai.

Saya yang hadapi pengalaman itu sendirian. Saya kuatkan hati memandangkan itu menandakan anak anak lebih rapat dengan saya jika apa-apa berlaku kemudian hari.

Suami saya disenangi teman teman kami. Dia seorang yang peramah dan suka membantu. Dia juga seorang bapa yang suka melayan anak anak.

Suami saya juga bukan seorang yang kedekut. Dia selalu memberi ibunya duit dan juga ibu saya.

Setiap kali balik kampung pasti ada duit diberi kepada ibu dan adik-adik saya. Begitu juga dengan saya. Jika dia ada rezeki lebih, pastinya dia akan memberikan kepada saya.

Saya berterima kasih akan hal itu dan bersyukur dia tidak lupa akan tanggungjawab nafkah saya.

Namun saya ralat kenapa dia boleh terjebak dengan penyalahgunaan ddah. Adakah ini ujian untuk saya atau kifarah atas d0sa d0sa saya?

Pernah juga saya terfikir untuk menghantar surat layang kepada majikannya yang mengatakan ada seseorang kakitangan menghisap ddah (ganja). Saya mahu dia ditangkap dan menyesal.

Namun tindakan saya itu bukan sahaja memusnahkan hidup dan kerjayanya malah ia juga akan memusnahkan kehidupan saya.

Bayangkan jika dia ditangkap, pastinya saya menanggung malu di tempat kerja dan untuk berhadapan dengan teman-teman kami. Dan sudah pasti silap haribulan saya akan berhenti kerja dek tekanan menahan malu.

Saya juga terlintas di hati untuk berpisah. Biar saya dengan anak-anak saya hidup sendirian tanpa dia.

Kami pernah bergaduh dan kadang kadang terlepas dari mulutnya supaya saya keluar dari rumah tanpa anak anak. Saya tidak takut jika benar sudah tiada jodoh dan berlaku perebutan hak penjagaan anak, saya ada bukti yang mengatakan dia terlibat salahguna ddah.

Namun saya banyak pujuk hati demi anak anak dan keluarga kami. Akhirnya kami berbaik seperti biasa.

Dek kerana sikapnya, memang akan memberi kesan kepada saya. Dia seperti hilang fokus menjalani kehidupan dan saya juga sudah mula hilang pergantungan kepadanya.

Hari berganti hari bulan berganti bulan, seakan-akan sudah menjadi fenomena biasa untuk saya.

Saya sudah terbiasa melihat dia membalut tembakau dan gnja sambil menonton tv atau ketika santai.

Saya juga tahu keadaan sebelum dan selepas dia menghisap ganja. Matanya akan merah dan dia akan kerap makan.

Emosinya tenang dan kadang kadang lebih banyak bersembang. Saya jadi paran0id dan trauma dengan diri sendiri.

Saya kesal. Saya sudah mula tawar hati. Saya banyak berdoa kepada Allah untuk lorongkan dia ke arah kebaikkan dan bertaubat memandangkan dia masih ingat untuk solat dan melakukan kebaikkan terhadap ibu bapa nya dan ibu bapa saya. Hubungan dia dengan adik beradik saya juga sangat baik.

Saya yakin dia akan menjadi seorang suami yang membanggakan jika dia tidak terlibat dengan salahguna ddah. Akibat ketagihan itu dia mungkin tidak akan berpuasa seperti orang lain sebab ketagih.

Saya juga mula perasan perasaan hormat kepadanya sudah mula pudar. Saya berani untuk melakukan hal sendiri tanpa bantuannya.

Kebiasannya saya akan memikirkan dirinya namun sikap itu sudah mula hilang. Malah rasa sayang kepadanya sudah mula luntur.

Apa yang saya rasa, hanya rasa kesal kerana berkahwin dengannya. Apa yang saya inginkan jauh berbeza dengan apa yang saya hadapi sekarang ini. Saya berhajat untuk sama-sama solat berjemaah namun ia memang tidak akan berlaku.

Saya anggarkan dengan ilmu yang dia belajar, mampu menjadikan dirinya seorang suami yang berilmu namun sebaliknya berlaku.

Apa yang saya perlu buat? Benarkah tindakan saya untuk menghantar surat layang tersebut (dengan harapan dia akan berubah dan menyesal) atau teruskan berdoa dan menunggu untuk perubahannya?

Tolong saya dan maafkan saya jika tulisan ini agak berterabur. Ini adalah pertama kali saya membuat luahan secara bertulis.

Terima kasih atas pandangan dan jika kecaman yang saya dapat, saya berhak kerana ia berpunca dari kebodohan saya juga.

Terima kasih.