Naim berlaku curang saat isterinya tengah hamil. Mcm mana aku nak minta maaf sedangkan aku pun terinaya

Assalamualaikum, ini kisah aku. Maaf kisah ini agak panjang. Kisah yang terjadi beberapa tahun lepas yang menjadi pengajaran buat aku dan mungkin boleh diambil iktibar pada mereka yang sedang mencari jodoh.

Aku seorang perempuan lewat 20an. Orang cakap jodoh perlu berusaha. Jadi aku tidak terkecuali untuk mencuba mencari di socmed walaupun bukan terdesak nak berkahwin pada masa tu dan saja mencuba nasib.

Aku berkenalan dengan seseorang yang aku gelarkan sebagai Naim. Di awal perkenalan Naim menyatakan dirinya belum berkahwin dan hidup sendiri. Naim seorang yang berpendidikan dan bekerja di sektor swasta.

Setelah berkenalan melalui socmed kami mengambil keputusan untuk berjumpa. Dari segi mesej nampak baik dan sejenis yang tidak mengambil kesempatan.

Jadi aku memberanikan diri keluar dengannya walaupun itu kali pertama dalam hidup aku berjumpa dengan orang yang tidak pernah aku kenal.

Aku tidaklah meletakkan harapan yang tinggi untuk meneruskan perhubungan selepas berjumpa kerana niat awal aku bukanlah terdesak untuk berkahwin lagi.

Kali pertama jumpa dia datang menjemputku dan kami pergi makan. Di awalnya biasa biasa sahaja. Kami bersembang perihal masing masing. Sesi suai kenal katakan. Naim nampak seperti orang yang beragama dan menjaga solat.

Malam itu selepas dia menghantar aku pulang aku mendapat mesej darinya supaya tidak tinggalkan dia. Aku sedikit pelik tapi tidak membalas mesej tersebut kerana sudah larut malam. Dia sangat risau jika aku terus menghilangkan diri.

Keesokannya aku mendapat mesej dari Naim dan aku membalas seperti biasa. Dia sangat lega kerana aku tidak menghilangkan diri.

Beberapa lama setelah itu aku ada menyatakan bahawa aku ingin menunaikan umrah pada tahun tersebut. Kebetulan juga Naim menyatakan ibunya juga bakal menunaikan umrah pada tahun yang sama.

Setelah itu dia juga ada bercakap soal kawen. Yang bagusnya dia ada bagi aku satu doa untuk aku amalkan. Katanya jika aku bukan jodohnya sekejap saja kami akan berpisah.

Makanya tanpa rasa was was aku memang amalkan doa tersebut setiap kali selesai solat memandangkan pada masa tersebut aku juga tidak mempunyai sesiapa tapi aku bukanlah seorang yang terburu buru untuk memilih pasangan.

Segalanya aku serahkan kepada Allah. Aku melakukan istikharah beberapa malam. Memohon merayu pada yang Maha kuasa untuk tunjukkan aku jalan dan petunjuk jika dia orang yang benar. Sesungguhnya aku tidaklah kenal siapa Naim yang sebenar.

Masa berlalu begitu pantas. Aku sering tertanya tanya bagaimana untuk mendapat maklumat Naim kerana aku tidak ada info pun mengenainya hatta Facebook dan IG.

Bagaimana mungkin aku akan percaya semua maklumatnya melalui percakapan sahaja. Boleh jadi apa yang di cakap adalah tipu semata mata fikirku.

Jika ada socmed tersebut mungkin aku boleh stalk dia. Perempuan kan pakar dalam bab stalking ni. Hehe.

Beberapa ketika aku menunaikan istikharah dan bersungguh memohon petunjuk dari Allah. Sabar dan terus sabar.

Maha suci Allah yang Maha berkuasa benarlah janjiNya tidak sia sia bagi orang yang meminta petunjukNya.

Ketika aku menonton tv di rumah sambil kepala ligat memikirkan bagaimana untuk aku siasat siapa Naim sebenar tetiba Allah ilhamkan aku dengan satu petunjuk yang tidak pernah terlintas difikiranku.

Petunjuk ini bukanlah melalui mimpi dan juga bukanlah melalui media social kerana aku tetap tidak tahu FB dan IG nya. Keesokannya aku mencari apa yang diilhamkan Allah kepadaku.

Bagaikan tamparan yang hebat aku dapat tahu bahawa dia mempunyai isteri dan anak tapi mengaku bujang kepadaku. Dari petunjuk itu juga aku dapat mencari socmed Naim.

Dalam masa yang sama aku mendapat mesej darinya tapi tanganku teragak agak untuk membalas mesejnya. Bagiamana mungkin aku ingin menyakiti hati kaumku sendiri sedangkan aku tahu dia suami orang.

Aku mengambil keputusan untuk berjumpa dengannya buat kali terakhir untuk merungkaikan semua penipuannya sementara aku dapat pulangkan bukunya yang aku pinjam sebelum itu.

Hari itu tiba. Aku tawakal kepada Allah. Apa nak jadi pun jadi la. Risau jugak aku kalau perkara yang tidak diingini berlaku. Beberapa minit dalam kereta Naim bertanyakan aku rindukah aku pada dia kerana ingin bertemu dengannya.

Tapi kata katanya dibalas dengan jawapanku “mungkin ini yang terakhir saya jumpa awak” dengan nada bersahaja. Terkejut Naim mendengar jawapaku dan bertanya kembali adakah aku serius.

Aku hanya senyum dan diam. Setelah berbual seketika aku mula bertanyakan status dia yang sebenar. Tetap dia mengaku bujang. Sampai aku tanya betul atau tidak dengan nada yang sinis.

Dan akhirnya Naim mengaku dia suami orang. Mempunyai isteri dan anak. Maka terungkai lah segala cerita disini.

Tidak kusangka hari pertama kami bertemu isterinya sudah dapat menghidu perbuatan suaminya dan melarikan diri dari rumah.

Oleh kerana dia jatuh hati padaku maka dia memilih untuk tidak meninggalkan aku dan kerana itu dia menghantar mesej padaku pada larut malam tersebut supaya jangan meninggalkannya.

Yang lebih memilukan lagi isterinya sarat mengandung dan Naim berlaku curang ketika itu. Rasa bersalah yang menebal dalam diriku. Bagaimana aku ingin meminta maaf kepada isterinya sedangkan aku juga teraniaya.

Andai aku berada ditempat isterinya bagaimana perasaan untuk berhadapan dengan situasi begini. Sungguh aku tidak mampu. Jika iman aku tidak kuat mungkin aku menerima Naim untuk jadi isteri kedua tanpa memikirkan isterinya.

Jika dilihat luaran Naim ada semuanya yang wanita impikan. Naim juga tidak memburukkan isterinya seperti kebiasaan lelaki yang memburukkan isteri jika ingin memikat wanita lain.

Katanya dia tidak pernah berniat untuk berkahwin lebih pada seorang sampailah dipertemukan dengan aku.

Manisnya mulut lelaki. Aku sedikit pun tidak teruja. Katanya jika tidak jadi isteri pun bolehkah dia nak jadikan aku kawannya selepas ini dan dengan pantas aku menjawab tak nak dan tak nak ada kaitan pun dengannya selepas ini.

Sempat la jugak aku tarbiah dia sementara perjalanan nak sampai rumah. Diselitkan juga supaya jangan menyakiti hati isterinya yang sanggup berkorban melahirkan anaknya dan jangan hancurkan kepercayaan isteri terhadapnya.

Aku juga lantang menyatakan kepadanya supaya jangan lagi terjebak dengan semua ni. Hargailah apa yang ada supaya tidak menyesal kemudian nanti. Aku juga teraniaya dalam situasi ini kerana aku tidak tahu Naim suami orang.

Aku tahu aku lebih muda padanya dan tidak layak untuk menasihatinya tapi entah mana datangnya keberanian untuk aku lantang menyuarakan apa yang terbuku di hati kerana aku juga seorang perempuan seperti isterinya.

Sebelum berakhir hubungan kami Naim ada berpesan kepadaku jangan keluar dengan lelaki yang tidak kenal. Nasib aku terjumpa dengannya.

Jika orang lain mungkin aku tidak akan pulang ke rumah dan jangan percayakan lelaki. Dia sendiri lelaki pun dia tidak percayakan dirinya. Katanya lah.

Sampai saja di rumah sebelum keluar dari kereta aku pulangkan buku yang dipinjam dan mengucapkan selamat tinggal.

Sempat aku berpesan kepadanya, “jangan sampai isteri awak datang cari saya dan jangan kacau saya lagi”. Sambil aku tersenyum kepadanya buat kali terakhir.

Nampak seperti Naim sangat terkilan dengan situasi itu. Hubungan kami berakhir di situ dan baik baik sahaja.

Mungkin juga asbab doa yang Naim bagi tempoh hari aku amalkan sungguh sungguh dan Allah pisahkan kami dengan cara yang baik.

Setelah beberapa bulan berlalu aku ada melihat socmed Naim. Mungkinkah kebetulan atau Naim begitu terkesan dengan perkenalan singkat denganku sehinggakan nama anaknya yang baru lahir ada namaku.

Semasa aku menunaikan umrah pula sekali lagi kebetulan yang telah Allah aturkan. Ibunya pula adalah satu kumpulan mutawif denganku dibawah company yang sama. Itupun pada awalnya aku rasa seperti kenal dengan wanita tersebut.

Sehingga sekilas lalu aku terdetik wajah wanita itu seperti ibunya dan teringat kembali Naim pernah menyatakan bahawa ibunya akan menunaikan umrah juga pada tahun tersebut.

Namun aku abaikan perasaan itu pada mulanya sehingga hari terakhir berada di sana Allah tunjukkan sekali lagi yang wanita itu memang benar ibunya.

Tidak salah dan memang pasti. Terpinga pinga aku mungkin ada hikmah disebalik semua kejadian ini. Siapa tahu rahsia Allah.

Sekian saja cerita aku beberapa tahun lepas dan sekarang aku telah berkahwin dengan lelaki kiriman Allah yang sangat sempurna di mata aku dan yang pastinya bujang serta dikurniakan seorang cahaya mata. Nikmat apa lagi yang hendak didustakan. Terima kasih Allah.