Sebelum ni hidup senang tiba2 pelik perniagaan mula jatuh, rumah tangga panas dan anak pula mula bermasaalah

Assalamualaikum pembaca semua. Terima kasih kepada admin kerana kerana menyiarkan confession saya, hehe. Dah lama saya tak menulis, gara gara letih dan sibuk memikir beberapa hal.

Hati saya tak tenang sebab dah lama saya simpan idea untuk menulis tentang penyakit ain dan sihir. Mungkin boleh dijadikan iktibar kepada kita semua sebab saya yakin ada lagi yang tidak tahu perkara ini.

Saya ada kawan baik yang suka post kehidupan dia, kemewahan dia, kebahagiaan rumahtangga dan sebagainya. Saya penah pesan, jangan tunjuk sangat, saya bimbang nanti ada orang cemburu dan buat benda tak baik.

Kawan saya, saya namakan Ros. Ros ni kawin dengan usahawan. Selalu post pegi bercuti, shopping barang mewah. Cerita pasal anak anak dia, suami dia buka perniagaan baru, dia pula buka restoran. Perniagaannya laris.

Selalu post pasal restoran dia untuk promosi kepada orang ramai datang berkunjung. Tiba tiba senyap agak lama. Kemudian asyik post pasal nak marah orang dengki dengan dia dan sebagainya.

Sebagai kawan, saya bertanya keadaanya. Katanya dia jatuh sakit, terkena sihir. Dia terpaksa tutup perniagaan. Jika tiada aral, dia akan buka perniagaan baru di tempat lain.

Saya cakap, sebab tu saya penah nasihat dia jangan tunjuk sangat bahagia dan kemewahan dia kat FB, hati manusia ni tak sama.

Bimbang kalau ada yang iri hati dalam diam. Lebih parah kalau orang yang rapat dengan kita. Dalam kes Ros ni, terkena sihir, bukan penyakit ain.

Sebelum saya ulas pasal penyakit ain, saya cerita sikit pasal kisah saya yang buat saya juga jadi risau. Saya penah menulis di sini dulu tentang kisah hidup saya. Bagaimana saya kehilangan kerja banyak kali dan fokus buat kerja amal untuk hilangkan kesedihan.

Gara gara saya dedah identiti saya, ada yang berusaha cari saya sampai dapat. Mereka ni lah antara penyokong kuat saya.

Tiap kali saya post pasal kerja amal, pujian melambung lambung diberi sehingga saya jadi risau pula membaca.

Awal awal dulu saya biarkan, sekarang ni saya akan hide komen mereka yang memuji terlebih lebih. Saya juga block komen komenn orang luar daripada memberi komen di fb saya.

Bimbang pasal pujian dan juga tak mahu kecaman melampau yang boleh buat saya serabut. Saya mahu hidup dengan tenang.

Bagi saya, kehidupan saya agak teruk. Saya bukan contoh orang berjaya untuk dijadikan idola pun. Banyak ujian sejak dari kecik sampai sekarang, jadi tak de sebab orang lain nak cemburu.

Rupanya saya silap besar. Seorang kawan baik yang memiliki apa yang saya tidak miliki, pernah mengaku cemburu dengan kelebihan yang saya, itu katanya. Ntah apa yang dia fikir sampai tahap tu.

Mengucap panjang saya. Saya sudah tiada mak ayah, kehidupan saya biasa biasa saje.

Sejak kecil hidup susah, struggle cari kerja tak dapat dapat sampai hari ni, saya tidak punya pasangan, tidak punya zuriat, tidak ada harta macam dia.

Tidak hidup mewah macam dia. Tergamak dia cakap cemburu dan membenci saya?

Sejak itu, saya jadi takut. Kadang kita je rasa kita ni ‘biasa’ tapi orang lain pandang kita lain.

Dia cakap dia cemburu sebab hidup saya lebih bahagia berbanding dia. Saya tak pernah merungut masalah kewangan, saya tiada komitmen dan selalu pergi bercuti dan ntah apa2 lagi yang dia nampak.

Sambung pasal penyakit ain, saya ceritakan kes lain, bukan kawan saya tapi kenal. Dia seorang wanita hebat dan hampir sempurna berbanding kebanyakan kita.

Punya rupa jelita, berjaya dalam kerjaya, berpendidikan tinggi, suami yang penyayang, hensem dan juga berjaya serta anak anak yang comel. Tiada kurang dalam kisah hidupnya.

Sehingga satu hari, ujian bermula. Kehidupannya mula kucar kacir, perniagaannya jatuh, rumahtangga sentiasa panas, bergaduh, anak anak mula bermasalah dan sebagainya.

Dia mula muhasabah diri dan akhirnya membuat keputusan bijak dengan tidak lagi memaparkan kehidupannya secara terbuka. Kehidupannya mula berubah dan berjalan seperti biasa.

Hari ini, saya nak ulas sedikit pengetahuan saya tentang penyakit ain, ia bukan sihir tapi kesannya hampir menyamai sihir.

Saya rumuskan tentang penyakit ain ni dari sebuah temuramah pihak akhbar dengan pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau Imam Muda Hassan.

Penyakit ain ni disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat hasad dengki atau iri hati.

Ia juga boleh terjadi apabila muncul rasa takjub terhadap apa yang dipandang walaupun tanpa rasa dengki atau niat buruk.

Pandangan tersebut boleh memberi mudarat kepada orang yang dipandang. Sebab itu kita tidak digalakkan post gambar baby baru lahir supaya baby tersebut terhindar dari penyakit ain yang boleh memudaratkan baby.

Seeloknya apabila melihat sesuatu atau ingin memberi pujian, sebutlah ‘masya Allah’ atau ‘tabarakallah’. Elakkan pujian pujian melampau. Walaupun dengan niat baik, ia boleh mendatangkan keburukan kepada orang yang anda puji.

Sementara itu, pendakwah Ustaz Hadi pula berkata, penyakit ain tidak mempunyai kaitan dengan sihir.

Ia berpunca daripada pandangan mata yang boleh memberi mudarat kepada orang yang dilihat tadi samada dengan rasa iri hati atau dengan rasa takjub.

Penyakit ain ni termasuk dalam perkara ghaib yang sukar dijelaskan dengan logik akal kita. Penyakit ini semacam gangguan yang tidak normal.

Tidak semestinya jatuh sakit, kadang membuatkan orang yang terkena jadi resah gelisah, tidak boleh tidur dan sebagainya.

Ajakan saya kepada diri saya dan juga pembaca. Jangan terlalu memuja, memuji secara berlebihan terhadap seseorang individu.

Juga sematkanlah dalam hati tentang rasa syukur dengan kehidupan kita. Tidak perlu berdengki dengan kehidupan orang lain.

Di sebalik ujian dan kelemahan, Allah lengkapkan dengan rahmat dan kelebihan kepada setiap hambaNya menurut aturanNya.

Ambillah hikmah dan iktibar daripada kisah hidup orang lain. Masing masing di antara kita ada jalan cerita yang tersendiri.

Kunci untuk hidup bahagia adalah menerima dengan redha apa yang telah ditakdirkan kepada kita. Allah sudah berjanji sesiapa yang bersyukur, Dia akan tambahkan nikmatNya.

Amalkanlah membaca doa “Bismillahillazi layadurru ma’asmihi syai’un fil ardi wala fis sama’i wa huwassami’ul ‘alim” (Dengan nama ALLAH yang bila disebut, segala sesuatu di bumi dan di langit tidak akan berbahaya, DIALAH yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui).

Moga moga perkongsian saya kali ini memberi manfaat dan pengajaran kepada kita semua. Sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah subhanahu wataala dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri.