Aku nak ikut ibu tapi bila nampak ayah nangis aku rasa kesian pula pada ayah

Assalamualaikum para pembaca semua. Terima kasih kiranya admin sudi menyiarkan luahan aku ini.

Aku gelarkan diriku Tipah. Aku mempunyai 5 adik beradik dan aku anak kedua. Umurku sudah pun menghampiri 40-an. Mempunyai 3 orang anak yang amatku sayangi. 2 perempuan, 1 lelaki.

Apa yang aku nak ceritakan adalah tentang kehidupan aku dari kecil hingga dewasa.

Ayah dan ibu ditakdirkan bercerrai ketika aku berumur 16 tahun. Ayah berkahwin 2.

Awal perkahwinan ayah dan mak (mak tiri) , ibu aku mampu bertahan hinggalah kemuncaknya kerana ayah sangat tidak adil. Setelah ayah kahwin baru, mak tiap tahun mengandung.

Dari awal mengandung hingga habis pantang, ibu aku yang menguruskan madunya itu. Bawa ke klinik untuk check up, jaga ketika berpantang dan bermacam macam lagi. Tapi mak tiri langsung tak berterima kasih.

Kisahnya, sebelum berkahwin baru, ayah ada membina rumah kononnya untuk kami sekeluarga tinggal. Namun selepas mak muncul, ayah terus lupa dengan janjinya.

Rumah baru tersebut di beri kepada mak untuk tinggal bersama anak anaknya sedangkan kami 5 beradik dan ibu tinggal di rumah sempit yang buruk. Itulah kemuncak kesabaran ibuku.

Ibuku minta ayah mencerraikanya dan ibu pulang ke kampung negeri kelahiran ibu di utara.

Masih aku ingat malam itu, nenek dan tokwan datang menjemput ibu. Menangis nangis kami adik beradik minta ibu jangan tinggalkan kami.

Ibu menangis dan memeluk kami, dia minta kami bersabar dan berjanji akan mengambil kami semula.

Manakala ayah ketika itu menghalang kami semua yang sedang mengejar kereta nenek dan tokwan yang sudah berlalu pergi.

Umur ku ketika itu 16 tahun, masih bersekolah menengah. Abang sudah tamat SPM dan bekerja di bengkel motorsikal. Adik ku masing masing berumur 15, 14 dan 11 tahun.

Bermula dari situ, aku menggantikan ibu dalam menguruskan kerja rumah. Ayahku hanya berulang alik dari rumah mak tiri dan rumah kami untuk menghantar barang dapur. Datang pun sekejap sekejap saja, bermalam di situ lagi lah tidak.

Kasihan aku lihat adik adik yang hilang tempat bermanja. Ada ayah pun jarang luangkan masa.

Keadaan seperti ini tidak lama kerana ibu kembali dan ingin membawa kami tinggal di kampung ibu.

Maka bermulalah babak babak perebutan anak antara ibu dan ayah. Ayah menangis minta anaknya tidak meninggalkan ayah.

Sungguh, aku mahu ikut ibu, tapi hati aku terlalu kasihan pada ayah. Adik adikku masing masing mahu tinggal bersama ibu. Ibu mengajak aku ikut ibu pulang ke kampung, ayah merayu dan menangis.

Masih aku ingat bait bait yang ayah ucapkan, “Angah, jangan tinggal ayah. Adik semua tinggal ayah, angah tak kesian ayah ke?”.

Dan kerana ayah berkata begitu lah aku jatuh simpati pada ayah dan membuat keputusan untuk tidak ikut ibu balik kampung.

Malam itu, aku hanya mampu menangis sambil melihat kereta yang membawa ibu dan adik adikku pergi.

Ibu berpesan pada ku Abang sememangnya tidak ikut ibu kerana abang sudah ada kerja di sini, lagi pula abang dah besar.

Tapi, aku terasa telah buat kesilapan yang besar. Ayah membawa aku tinggal di rumah baru bersama mak tiri dan adik adik yang masih kecil. Manakala abang tinggal di rumah Atok dan nenek (sebelah ayah).

Ku kira ayah akan menjaga dan melayan aku sebaiknya, tapi rupanya hanyalah harapan sahaja.

Aku tinggal di rumah itu tapi tempat tidurku hanya di ruang tamu. Bayangkan aku seorang perempuan yang sedang meningkat remaja dibiarkan tidur di ruang tamu. Almari pakaian di bilik stor, nak tukar baju pun perlu tukar di bilik air.

Ayah bukanlah jahat, cuma ayah seperti kurang ambil berat. Mak tiri aku baik ke jahat? Jawapan aku adalah jahat.

Sejak aku tinggal di situ, aku lah yang jagakan adik adik tiri aku. Aku yang buat kan kerja rumah, mak tiri hanya tahu mengandung saja.

Selepas SPM, aku berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun mak tiri menghasut ayah agar tidak benarkan kerana kekurangan duit.

Ayah minta aku bekerja saja. Aku terpaksa mengikut saja kata kata ayah dan bekerja kilang.

Apabila dah ada duit sendiri, aku berikan juga pada ayah. Aku minta ayah tolong bina 1 bilik untuk aku dengan duit aku bekerja.

Kata ayah perlu beberapa bulan baru cukup duit untuk bina bilik. Seronoknya aku bila tahu akan ada bilik sendiri. Hari hari aku bekerja lebih masa nak bagi duit cukup.

Tapi bulan ke bulan, langsung tak nampak tanda tanda ayah nak buat bilik untuk aku. Yang aku nampak, ayah belanja makan yang sedap sedap di rumah. Beli baju baru untuk mak tiri, beli set sofa baru.

Aku cuba bersangka baik, mungkin itu duit ayah sendiri. Aku mula bertanya tentang bilik aku, sedihnya tak tahu nak cakap bila ayah cakap dia perlu guna untuk perkara yang lebih mustahak.

Beli set sofa lebih penting ke? Dari bina bilik untuk anak daranya sendiri. Lagi pun duit aku sendiri juga. Mak tiri tersenyum sinis selepas lihat aku menangis lepas bergaduh dengan ayah.

Bermula dari itu, aku berazam untuk segera keluar dari rumah ayah. Dan satu satunya cara untuk keluar rumah adalah berkahwin.

Ketika itu umurku 21 tahun. Di kilang tempatku berkerja, ada seorang senior yang suka mengusikku.

Aku tanpa banyak berfikir, bertanya sekiranya dia suka pada aku. Dan jika suka, aku minta dia masuk meminang terus.

Dan dalam beberapa bulan selepas itu, aku pun menjadi isteri kepada M.

Terkejut ayah aku bila aku cakap aku nak kahwin, ayah minta aku fikir sehabis baik, dan apa yang aku fikir yang terbaik adalah keluar dari rumah ayah. Itu yang ada di fikiran aku.

Segalanya berjalan lancar selepas berkahwin. M sudah ada rumah sendiri dan aku terus berpindah ke rumah M.

Namun langit tak sentiasa cerah, selepas melahirkan anak ke tiga dalam usia perkahwinan 6 tahun, M mempunyai perempuan lain di belakangku.

Terimbau memori tentang ibu dan ayah. Anak anak menjadi mngsa. Sungguh aku takut anak anak aku akan jadi seperti itu.

Aku minta M berubah. Sama ada lupakan perempuan itu atau aku akan bawa anak anak jauh dari M.

M yang sangat sayang anak anaknya berjanji takkan menghubungi perempuan itu lagi. Namun makin lama, M makin kurang bertanggungjawab pada kami.

M bekerja sendiri, manakala aku sudah dinaikkan pangkat di tempat kerja lama ku. Oleh kerana pendapatanku lebih banyak, jadi semua belanja dapur dan anak anak, aku yang uruskan. M hanya bayarkan bayaran bulanan rumah dan bil-bil.

Tahun demi tahun, hubungan ku dengan M semakin hambar. Seolah perkahwinan kami hanya bertahan kerana anak anak.

Hingga hari ini, aku masih bertahan. Mungkin selamanya begini. Asalkan ada anak anak aku.

Ibuku dan adik adik aku yang tinggal di utara, selalu saja aku dan anak anak pergi melawat apabila cuti sekolah.

Aku cemburu lihat adik adik aku yang sangat manja dengan ibu. Tapi bila aku cuba untuk bermanja, aku sendiri terasa kekok.

Aku selalu berkata kalaulah malam itu aku ikut ibu dan adik adikku pulang ke kampung, mungkin keadaan ku lebih baik.

Mungkin aku tak perlu kahwin seawal umur 21 hanya kerana nak keluar dari rumah ayah. Mungkin aku dapat sambung belajar.

Bukanlah aku tidak menerima takdir, cuma terkadang perkara ni terlintas dalam fikiran.

Maaf sekiranya luahan aku terlalu panjang. Terima kasih sudi membaca.