7 jam lepas bersalin anak perempuan ke-2. Mertua cakap dia tak hapy sbb dpt cucu perempuan lagi

Aku berkahwin pada tahun 2011. Sudah sebelas tahun aku melayari bahtera bersama suami aku dan kami dikurniakan dengan empat orang anak.

Sebelum berkahwin, aku sudah bekerja dan aku baru sahaja pulang ke kampung halamanku untuk bekerja di sana dan duduk bersama ibu dan ayahku.

Dalam pada masa yang sama, aku sudah mempunyai teman lelaki yang aku baru kenal dalam tempoh 4 bulan. Kami sudah bercadang untuk berkahwin.

Selepas 6 bulan kami berkawan, dia telah mengajak aku untuk berjumpa dengan ibu dan ayahnya.

Aku tidak bersetuju kerana aku berpendapat bahawa dia yang terlebih dahulu perlu berjumpa ibu dan ayahku.

Bila aku beritahu hal ini kepada ibu dan ayahku, mereka mengatakan bahawa tidak menjadi isu kepada mereka jika aku yang bertemu keluarga teman lelakiku dahulu.

Dalam masa yang sama, teman lelakiku memberitahu bahawa ibunya berasa amat risau kerana ibu dan ayahku duduk di negeri Kelantan dan risau akan ada isu bahasa kerana mereka dari Kedah.

Pada masa ini, aku merasakan bahawa ibunya melebih lebih sedangkan dia memang sudah diberitahu bahawa ibu dan ayahku banyak merantau dan juga pernah tinggal di Kedah selama 13 tahun.

Semasa pertemuan itu, ibu dan ayahnya juga berkali kali menyebut bahawa aku perlu berhenti kerja dan berpindah ke negeri di mana teman lelakiku bekerja selepas berkahwin nanti.

Kami tidak boleh PJJ kerana ia akan menghabiskan duit anaknya untuk perjalanan bertemu aku.

Mereka juga berasa risau jika ibu dan ayahku tidak membenarkan aku berpindah mengikut suami.

Selepas beberapa hari daripada pertemuan itu, rombongan meminang pun sampai. Kenapa cepat sangat datang meminang? Ibu dan ayahku pun belum berjumpa dengan teman lelakiku.

Kisahnya, sepatutnya, teman lelakiku akan singgah ke rumah adikku di Negeri Sembilan kerana ibu dan ayahku ada di sana (aku juga) semasa dia hendak pulang ke rumah tempatnya bekerja.

Namun, ibu dan bapanya terlalu risau bahawa ibu dan ayahku tidak akan melayan dia dengan baik dan membuat keputusan untuk datang bersama.

Lantas ibuku mencadangkan untuk datang merisik namun mereka menolaknya kerana hanya mahu meneman.

Dan aku mengatakan bahawa nanti jika bertunang, majlis akan diadakan di rumah ibu dan ayahku kerana mereka dan aku akan pulang pada hujung minggu tersebut.

Selepas mendengar berita ini, ibu teman lelakiku terus bersetuju untuk bertunang sebab mudah katanya tak perlu ke Kelantan. Maka kami bertunanglah dalam keadaan tidak membuat persiapan besar besaran.

Aku hanya sampai ke rumah adikku jam 11 malam hari sebelumnya kerana aku pergi bercuti dengan kawan kawanku.

Mereka pun tidak tahu yang aku bakal bertunang. Baju tunang aku? Aku pinjam baju raya kakak aku.

4 bulan selepas itu, kami pun berkahwin. 2 hari selepas berkahwin, suamiku membawaku tidur di hotel sebelum dia pulang ke kampungnya.

Semasa kami sampai di sana, mertuaku menelefon dan apabila diberitahu bahawa kami berada di hotel, mereka terus bertanya apa tujuan dia membawaku ke hotel lantas suamiku menjawab saja hendak duduk di tepi pantai. Aku pula hairan apa jenis soalan la yang mereka tanya ni.

Dua minggu selepas kenduri di sebelah aku, aku ke Kedah untuk kenduri di pihak suami. Malam selepas majlis, aku ditanya lagi bila mahu berpindah mengikut suamiku.

Aku hairan kerana setahu aku, suamiku sudah memberitahu mereka. Ooo, rupanya mereka mahukan pengesahan dariku untuk berhenti kerja dan berpindah.

Mereka memang tidak membenarkan suami aku untuk memohon pertukaran ke negeri Kelantan sedangkan suamiku boleh sahaja memohon pertukaran kerana dia ialah penjawat awam.

Kami pun, tidak mahu tidak mendengar kata, maka kami membuat keputusan untuk aku berhenti kerja dan pindah.

Aku memikirkan kerja dan gaji yang akan diberikan kerana sudah pasti banyak bezanya nanti.

Mereka juga bertanya bila hari lahirku dan apabila aku memberitahu, ibu mertua dan adik iparku dan ketawa mengatakan aku tua 2 bulan daripada suamiku.

Selain itu, mertuaku juga bertanya mengenai rumah teres yang ibu dan ayahku tinggal sekarang dan mengatakan rumah itu kecil untuk keluarga kami yang besar.

Bukan mertuaku saja tapi makcik makcik suamiku juga ada bertanya tentang rumah ibu dan ayahku itu.

Sebulan selepas aku duduk bersama suamiku, aku telah disahkan mengandung. Apabila berita ini diberitahu kepada ibu dan ayah mertuaku, respon mereka ialah aku masih belum dapat kerja kenapa sudah mengandung dan selepas itu terus suamiku off loud-speaker mode.

Pada masa itu, aku sangat sedih kerana merasakan mereka tidak bersyukur yang aku telah berhenti kerja dan duduk dengan suamiku seperti yang mereka harapkan dan tidak bersyukur yang Allah telah mengurniakan rezeki anak kepada kami.

Selepas tiga bulan berkahwin, suamiku membawaku ke bercuti di satu tempat percutian yang tidak jauh dari rumah mertuaku.

Namun mereka tidak bersetuju dan mengatakan bahawa suamiku hanya membazir membawaku untuk tidur di sana sedangkan kami boleh balik hari. Kami diam saja tidak mahu membalas pendapat mereka.

Sebelum berkahwin, aku dan suami telah bersetuju untuk bercuti di luar negara pada hujung tahun itu.

Setelah berkahwin, aku mengandung dan tidak mempunyai kerja, suamiku memutuskan untuk membatalkan percutian tersebut kerana adik iparku telah memberi pelbagai hujah kenapa ia tidak patut diteruskan.

Dan ibu mertuaku juga turut sama mengatakan bahawa ia adalah satu pembaziran jika diteruskan (deposit RM4000, dan bakinya RM7000).

Kata mereka, baiklah burn saja RM4000 tu dari meneruskan percutian dengan tambahan RM7000.

Lagipun mereka tahu bahawa ia adalah idea aku kerana suamiku memang tidak pernah bercuti kerana mertuaku tidak membawa mereka bercuti.

Mereka hanya tinggal di rumah atau pulang ke kampung semasa cuti sekolah atau cuti perayaan.

Suamiku risau jika dia meneruskan percutian itu, ibu, ayah dan adiknya akan mengungkit ungkit hal tersebut maka aku dalam terpaksa bersetuju untuk membatalkan percutian tersebut.

Aku masih mengalami alahan mengandung yang sangat teruk, namun mertuaku selalu menelefon suamiku dan bertanya tentang perkembangan pencarian kerjaku.

Ibu mertuaku juga menyuruh aku untuk tidak melayan alahan mengandung dan kena cari kerja.

Selepas 5 bulan, aku mendapat kerja atas ihsan pakcikku yang memberitahu kepada rakannya bahawa aku sedang mencari kerja dan dia pada ketika itu juga sedang mencari pengganti kepada pekerjanya yang akan berhenti kerja untuk menyambung pelajaran menjadi seorang guru.

Semasa kami memberitahu jantina anak di dalam kandungan ialah bayi perempuan, adik iparku mengatakan bahawa anak perempuan sebagai anak pertama adalah tidak best dan memberikan alasannya tersendiri.

Ibu mertuaku juga menyokongnya dan mengatakan lebih bagus jika anakku yang pertama ialah seorang lelaki.

Selepas aku melahirkan anakku, ibu dan ayahku datang menjagaku selama seminggu dan pulang semula ke Kelantan dan ibu bapa mertuaku datang pula selama seminggu.

Anakku suka menangis sampai kami pun tak tahu apa yang hendak dibuat. Pada masa ini, setiap kali anakku menangis, ibu mertuaku terkocoh kocoh masuk ke bilik kami tanpa mengetuk pintu, tak kira masa. Anak kami baru merengek sedikit, dia sudah muncul dalam bilik.

Aku sangat tidak selesa dengan keadaan itu. Dan dia juga menyuruh aku untuk tidak tidur di dalam bilik kerana suamiku perlu bekerja dan terpaksa berjaga malam apabila anak kami menangis.

Pada malam itu, aku masih tidur di dalam bilik kami dan esoknya ibu dan ayah mertuaku menyuruh suamiku untuk tidur di bilik lain supaya dia dapat tidur dengan lena. Nasib baik suamiku tidak menurut kata mereka.

Aku hanya memberi susu badan kepada anakku dan mertuaku sangat tidak menyokong apa yang kami telah setuju.

Aku beritahu suamiku bahawa aku yang penat menyusukan anak tetapi kenapa mereka pula yang sibuk hendak suruh beli susu formula. Dan isu ini berlarutan bertahun tahun dengan anak yang seterusnya.

Selepas setahun bekerja, aku memutuskan untuk membeli kereta kerana wang simpanan untuk bayaran deposit sudah mencukupi. Kami memilih untuk membeli kereta import.

Apabila suami memberitahu hal itu, ibu dan ayah mertuaku terus membuat keputusan untuk datang ke rumah kami.

Mereka tidak bersetuju dengan pilihan kereta kami dan mengatakan bahawa baik beli kereta Alza.

Tapi, suami aku memang tak nak Alza bukan sebab kereta itu buatan Malaysia tapi design kereta itu sendiri.

Semasa mereka di rumah kami, kami membawa mereka untuk test drive kereta pilihan kami dan kami telah membayar deposit pada hari yang sama.

Sehingga 3 hari selepas itu, mereka masih tidak berpuas hati dengan keputusan kami dan tak henti henti bercakap tentangnya.

Aku masih bekerja namun aku sudah tidak berasa gembira. Bos aku (bukan rakan pakcik) mula mencari kesalahan aku dan membuatkanku bekerja hingga 10-11 malam setiap hari dan juga pada hujung minggu.

Aku sudah tidak punya masa untuk keluargaku. Hendak pulang ke kampung pun susah kerana majikanku hanya membenarkan aku cuti sehari sahaja.

Pada masa ini, memandangkan aku belum mendapat kereta yang sudah ditempah, maka suamiku lah yang perlu menemanku bekerja hingga malam memandangkan tempat kerjaku sangat sunyi.

Ia amat sukar kerana anakku menyusu badan dan tidak minum susu di dalam botol jika aku ada bersamanya.

Maka, kerjaku di pejabat jadi sangat lambat kerana aku perlu melayan anakku. Ada beberapa kali, mertuaku tahu keadaan ini namun menyuruh aku untuk terus bekerja.

Aku dan suamiku pula sudah tidak tahan dengan situasi ini dan atas sebab beberapa kejadian lain, kami memutuskan untuk aku berhenti kerja. Kerja yang dibuat dengan gajiku juga tidak setimpal.

Aku menerima keretaku dalam tempoh aku masih bekerja, baki sebulan sebelum aku berhenti kerja. Kami mendapat rebate di atas pembelian kereta tersebut.

Kebetulan mertuaku datang ke rumah kami pada minggu tersebut dan suamiku membawa ayahnya menaiki kereta baru kami.

Setelah mereka pulang ke kampung, mereka memberitahu bahawa pakcik suamiku membeli Alza dan mendapat hadiah seperti payung dan beberapa hadiah lain dan mengatakan bahawa kami rugi kerana tidak mendapat apa apa hadiah. (Mereka lupa agaknya kami dapat rebate yang berkali ganda dari harga payung).

Pada masa ini, suami membuat keputusan untuk tidak memberitahu ibu dan ayahnya yang aku bakal berhenti kerja tapi akhirnya kami memberitahu mereka selepas aku sudah berhenti kerja.

Mereka sangat tidak gembira kerana jika aku tidak bekerja, suamiku lah yang perlu membayar ansuran kereta atas namaku.

Sudahlah mereka tidak bersetuju dengan pilihan kereta kami (mereka mengatakan bahawa kami hanya mahu berlagak dengan kereta import) dan mengatakan kepadaku bahawa anak mereka pula perlu membayar ansuran kereta tersebut kerana aku tidak bekerja namun kereta tersebut atas namaku.

Tidak lama selepas aku berhenti kerja, aku mengandung kali kedua. Apabila berita ini diberitahu kepada mereka, respon mereka ialah anak sulung kami masih kecil (1 tahun 7 bulan) dan aku masih tidak bekerja.

Aku juga alami alahan yang teruk kali ini dan mereka tetap menyuruh aku memasak kerana masakan di luar tidak sihat untuk anak kami dan anak lelaki mereka.

Mereka siap menyuruh suamiku jangan asyik membeli makanan dari kedai nanti duit cepat habis kerana makanan di kedai mahal sedikit dari memasak di rumah.

Aku bersalin anak kedua dan anak ini juga seorang perempuan. Mertuaku tidak gembira kerana masih mendapat cucu perempuan (cucu kedua mereka) dan mengatakannya semasa melawat aku di hospital selepas baru 7 jam aku bersalin.

Aku hairan kerana mereka siap beritahu jika anak kedua kami ialah lelaki, mereka mahu menyuruh kami untuk tidak mengandung lagi kerana sudah cukup mempunyai sepasang anak.

Malamnya, aku pulang ke rumah bersama anak kedua kami. Esoknya, adik iparku datang ke rumah kami bersama pakcik suami yang mempunyai kerja di negeri tempat tinggal kami.

Semasa mereka sampai, aku sempat bertemu muka dan membawa anakku keluar dari bilik untuk pakcik suamiku melihat baby yang baru lahir.

Selepas itu, aku pun masuk tidur. Selepas aku bangun, aku lihat kereta pakcik suami sudah tidak ada dan bertanya kepada suamiku adakah pakciknya sudah ke hotel dan dia menjawab ya.

Tidak lama selepas itu, adik iparku yang baru bangun tidur pula bertanya kepadaku di mana pakciknya dan aku mengatakan bahawa pakciknya sudah ke hotel.

Dua hari selepas itu, pakcikku dan makcikku pula sampai ke rumahku untuk melihat anakku yang baru lahir.

Kebetulan mereka berada di sini atas urusan kerja dan singgah ke rumahku sebelum pulang ke rumah mereka di Pahang.

Makcikku mempunyai kelainan di sebelah kakinya dan setelah mereka pulang, ayah mertua terus bagitahu aku yang sekiranya anakku ada kecacatan seperti itu, ia datang daripada keluargaku dan bukan keluarga mereka. Aku hanya berdiam diri malas mahu memanjangkan isu tersebut.

Selain itu, ibu mertuaku memberitahu suamiku bahawa dia terasa denganku kerana aku mesra dan melayan pakcik makcikku semasa mereka meziarahi aku sebaliknya aku tidak bersembang mesra dengan adiknya yang datang ke rumah kami 2 hari sebelum itu.

Suamiku juga telah terpedaya dengan apa yang dicakap oleh ibunya dan bermasam muka denganku.

Aku mengatakan bahawa aku kan baru hari kedua bersalin, masih penat kerana anak tidak tidur malam itu, dan pakciknya itu pendiam dan suamiku juga bukan bersembang mesra dengan pakciknya pun,

Lagipun pakciknya sibuk dengan handphone (kan datang atas urusan kerja), adiknya pun tak tahu yang pakciknya sudah balik, tapi kenapa ibunya menjadikan ia isu dengan aku.

Hal memberi susu badan kepada anak kami masih menjadi isu besar kepada mereka. Memandangkan anak anak aku kurus, mereka mengatakan bahawa anak anak aku tidak cukup zat dengan hanya minum susu ibu, tiada susu formula diberikan.

Semasa anak keduaku berusia 1 tahun, aku telah disahkan mengandung kali ketiga. Berita ini diberitahu kepada ibu dan ayah mertuaku semasa kami pulang ke kampung.

Ibu mertuaku terus berubah muka menjadi masam dan mengatakan bahawa kenapa sudah mengandung sedangkan aku masih belum mendapat kerja dan berlalu pergi dari ruang tamu dan masuk ke biliknya.

Semasa aku mengandung anakku yang ketiga, anakku yang pertama demam dan perlu bermalam di hospital.

Kebetulan ibu dan ayah mertuaku telefon dan segera datang ke rumah kami. Aku menemani anakku di hospital dengan perut yang sarat mengandung 7 bulan.

Semasa kami di hospital, suami mencadangkan untuk menyewa sebuah katil untuk memberi keselesaan kepadaku namun mertuaku mengatakan itu satu pembaziran dan cukup dengan hanya menyewa 1 kerusi malas untuk aku tidur. Dan mereka terus meminta nurse untuk berikan kerusi malas kepadaku.

Suamiku meminta maaf kepadaku kerana terpaksa mengikut kata ibu dan ayahnya. Katil pesakit di sebelah anakku kosong tapi aku tidak berani menggunakannya, lagipun aku tidak membayar untuk menggunakannya.

Setelah 2 hari di hospital, aku pulang ke rumah dan aku sangat penat kerana hanya tidur di atas kerusi malas.

Malam itu, aku sangat mengantuk dan anak keduaku pula meragam mahukan perhatianku. Ibu dan ayah mertuaku memarahiku kerana membiarkan anak aku menangis dan mengatakan bahawa kami memang tidak pandai menjaga anak sejak dari anak pertama kami dilahirkan.

Aku telah melawan cakap mereka pada malam itu kerana selama ini kami hanya berdiam diri apabila mereka mengatakan itu ini kepada kami. Suami terkejut kerana pada malam itu, ayahnya marah marah selepas aku melawan.

Suamiku beritahu dia tidak pernah melihat ayahnya marah sebegitu dan ibu mertuaku juga berulangkali mengatakan bahawa aku orang yang pertama buat ayah mertuaku marah. Aku meminta maaf kepada mereka kerana telah melawan mereka.

Aku marah kerana mereka sesuka hati mengatakan kami tidak pandai menjaga anak sedangkan mereka walaupun mempunyai dua orang anak, mereka hanya menjaga anak mereka semasa anak mereka sudah 12 dan 9 tahun.

Itupun selepas penjaga mereka (datuk dan nenek) sudah sakit. Selepas kejadian itu, aku masih cuba berbaik seperti biasa namun aku sudah mula menjarakkan diri kerana aku tidak mahu dinilai mereka.

Aku disahkan mengandung anak keempat setelah anak ketiga aku berumur 3 tahun. Semasa ini, adik iparku telah berkahwin.

Di sinilah aku nampak bahawa layanan mereka terhadap aku sesuai dengan tajuk di atas kerana aku bukan anak perempuan mereka.

Adik iparku mendapat majlis gilang gemilang semasa bertunang kerana mendapat masa yang cukup untuk membuat persediaan tidak macam aku dahulu. Majlis kahwinnya lagi gemilang kerana mertuanya orang berada.

Mertuanya menjawat jawatan penting di organisasi mereka bekerja dan mertuaku sangat menyanjung mereka kerana mereka orang kaya.

Adik iparku belum bekerja semasa berkahwin selepas tamat belajar PhD. Dan suaminya sebenarnya berumur 6 tahun lebih muda darinya.

Tapi mereka mendiamkan isu ini dan mengatakan bahawa suaminya adalah rakan universiti. Semua menyangkakan bahawa mereka sama sama baru habis PhD.

Aku hanya tersenyum kerana teringat bahawa dia dan ibu mertuaku mentertawakan aku yang tua dua bulan daripada suamiku.

Selepas berkahwin, mereka pergi ke tempat peranginan (yang suami aku pernah bawa dahulu yang kami tidur satu malam) dan berada di sana selama lima hari.

Sedikitpun aku tidak dengar mertuaku tidak setuju kerana menantu lelakinya membawa anak perempuannya bercuti.

Takkan nak marah kan sebab yang mendapatnya ialah anak perempuannya, bukan aku kerana aku bukan anak perempuan mereka.

Walaupun adik iparku tidak bekerja, dia banyak menghabiskan masa di rumah mertua aku dan hanya sesekali pulang ke rumah suaminya di bandaraya Kuala Lumpur.

Aku mahu tergelak kerana dulu mertuaku risau ibu dan ayahku menghalang aku berpindah untuk tinggal bersama suami, tapi sekarang, anak perempuannya pula yang tak tinggal dengan suaminya.

Anak perempuannya boleh tinggal jauh dari suami tapi aku tidak boleh buat kerana aku bukan anak perempuan mereka.

Dan rupa rupanya adik iparku dibenarkan mencari kerja tidak kisah di mana, dan dia boleh PJJ dengan suaminya namun aku dahulu tidak dibenarkan oleh mertuaku untuk terus bekerja dan suamiku pindah ke negeri tempat kerja aku. Aku tidak boleh buat begitu kerana aku bukan anak perempuan mereka.

Adik iparku mengandung walaupun masih belum bekerja tapi ibu bapa mertuaku sedikit pun tidak bersungut seperti mereka menerima berita aku mengandung dahulu.

Aku kan bukan anak perempuan mereka maka mereka fikir bahawa aku berhak terima segala kritikan mereka.

Semasa adik iparku mengandung, dia mendapat tawaran bekerja berdekatan dengan rumah ibu dan ayah mertuaku dan akan masuk kerja selepas cuti bersalin maka dia tinggallah di rumah ibu dan ayahnya (yang mana ibu dan ayah mertuaku dahulu tidak bagi aku buat kerana aku bukan anak perempuan mereka).

Semasa balik rumah mertua, aku lihat semua urusan berkaitan anak perempuannya memang diserahkan kepada ibu mertuaku.

Ada ketika, dia pulang lewat dari kerja dan ibu mertuaku memberitahu suamiku bahawa dia banyak kerja. Tapi sebenarnya dia pergi ke shopping mall untuk makan bersama kawannya.

Mertuaku tak nak beritahu hal sebenar kepada suamiku kerana ibu mertuaku selalu mengadu bahawa dia penat menjaga cucu tapi dia tak nak anak perempuannyanya tahu hal itu.

Adik iparku masuk kerja jam 9.30 pagi, perjalanan hanya 10 minit dari rumah tapi tiap pagi, ibu mertuaku yang menyiapkan anaknya. Tengahari pula, adik iparku pulang ke rumah untuk makan atau tidur sebentar.

Mana aku tahu? Adik ipar aku yang bagitahu aku sendiri. Dia kata senang sebab ibu yang jaga anak dia.

Dia boleh berjalan jalan selepas kerja. Balik lewat pun tak apa sebab ibu yang akan tidurkan anaknya.

Setahun selepas bekerja, kontraknya tidak disambung. Dia pun mencari kerja lain dan mendapat kerja di Selangor.

Akhirnya dia pun tinggal bersama di rumah suaminya. Rumah itu adalah rumah ibu dan ayah suaminya namun mereka tidak tinggal di situ.

Dalam masa yang sama, adik iparku telah pergi ke luar negara untuk bercuti dan fully sponsored oleh ibu dan ayah mertuanya.

Ibu mertuaku sangat seronok kerana anaknya tidak perlu keluar duit untuk pergi bercuti.

Aku dahulu, tidak boleh bercuti keluar negara kerana menggunakan duit anak lelakinya, aku kan bukan anak perempuan mereka maka aku tidak layak mendapat kemewahan dan keselesaan.

Adik iparku bercerita tentang hasratnya ingin membeli kereta kerana kereta yang ibu dan ayah mertuaku beri itu sudah tidak muat. (Kereta sedan import). Aku hairan apa yang tidak muat kerana dia baru mempunyai seorang anak.

Dia memberitahuku bahawa ibu dan ayahnya melarang dia untuk membeli kereta buatan tempatan sebaliknya baik beli kereta 7 seater buatan luar negara.

Aku beritahu padanya dahulu mereka tidak menyokong tindakan kami membeli kereta import tapi lain pula halnya dengan anak perempuan mereka.

Yelah, anak perempuan mereka berhak diberi keselesaan dan kemewahan tapi tidak aku, kerana aku bukan anak perempuan mereka.

Setelah beberapa tahun bekerja di Kuala Lumpur, adik iparku mendapat kerja lain dengan bantuan ibu dan ayah mertuanya dan kali ini, suaminya akan berhenti kerja dan mengikutnya ke negeri itu dan cari kerja di sana.

Aku beritahu suamiku bahawa adiknya beruntung kerana mempunyai mertua yang ada contacts dan senang dapat kerja kerjanya selama ini.

Ibu dan ayah mertuanya mahukan dia bekerja dan ada menyumbang tapi aku, mertua mahu aku bekerja tapi mereka tidak menyumbang pun.

Selain itu, aku dahulu, mertua tidak benarkan suami aku mohon pertukaran (permohonan akan berjaya) untuk duduk dengan aku di negeri di mana aku sudah mempunyai kerja pun. Kenapa?

Kerana aku bukan anak perempuan mereka maka aku wajar susah, tidak mendapat keselesaan apatah lagi kemewahan.