Sedang nyusukan anak yang masih merah suami datang. Masa tu aku jadi multitasking terpaksa dan dipaksa melayan lelaki aku sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Kebanyakan perempuan yang bertukar imam dari ayahnya kepada suaminya akan terpinga pinga tentang bab ini.

Ketaatan kepada suami dan hubungan intim ibarat taboo yang tidak boleh langsung dibincangkan dengan jelas kerana ianya ibarat membuka cerita dalam kain dan aib rumahtangga.

Maka, merana lah perempuan itu seorang diri, terkapai kapai dengan ikutan agamanya dan imam yang langsung tidak boleh membimbingnya dalam bab ini.

Kerana itu adalah kepentingan imamnya, mana mungkin ada cinta yang so selflessly mengenepikan kepentingan batin sendiri demi kebahagiaan isterinya.

Ilmu hubungan intim rumahtangga dan bilangan kekerapannya yang normal tidak diajarkan di mana mana. Tiada juga dalam kursus persediaan kahwin yang kononnya menyediakan kita ke arah rumahtangga yang harmoni berlandaskan syariah islam.

Ihsan seorang suami kepada isterinya dan hikmah ihsan tidak lantang disarankankan, yang sering kedengaran ialah ketaatan isteri kepada suami sehingga sang isteri sungguh sungguh merasa sebagai golongan yang ditindas dalam institusi kekeluargaan ini.

Dalam menjaga anak anak kecil, kau sarapan menghirup teh dengan santainya sambil menyelak suratkahabr membaca berita. Anak anak kecil kau biarkan pada isteri untuk menyuap mereka, sambil menyusukan seorang lagi bayi di riba, kenapa lah kau tak viral sahaja?

Isteri ini makan caca merba, dalam satu mangkuk itulah sisa anak tapi tetap ditelannya demi mendapatkan bekal susu dan tenaga.

Bila makan di restoran bersama keluarga besar, isteri menyusui anak dahulu kemudian makan makanan yang dah sejuk dengan lapisan minyak beku di atas lauknya, sambil semua menunggu supaya dia cepat menghabiskannya.

Anak lima tidak sekali kau mencebok mereka bila buang air tatkala keluar bersama. Kau harus kemas dan kekal suci kerana kau akan solat di waktu seterusnya. Apa isterimu tidak solat?

Dengan baju lengan panjang dan tudung melabuhi dada lebih sukar menjaga air dari terpercik supaya dia juga dapat solat, menjaga kewajipannya.

Membawa anak anak ke tandas kerana masing masing perlu membuang air. Kau cebokkan yang seorang, seorang lagi dah main air longkang tandas, seorang lagi dah buka pili tandas.

Empat orang dalam satu pintu tandas, hanya seorang dewasa yang berfungsi. Mungkin kau fikir ada isteri lebih untung dari pembantu rumah tangga, semua saja boleh dilakukannnya.

Sifat feminin isteri yang manja dan naif dikikis sedikit demi sedikit oleh percubaannya untuk tampak kuat di mata dunia, menggalas beban yang cukup berat di bahunya walau golongan ketua sering menidakkan sumbangannya.

Apa sangat pada isteri yang berkali kali melahirkan, itu memang tanggungjawab mereka, seperti tanggungjawab lelaki mencari nafkah.

Adakah sama berat timbangannya sehingga boleh dibandingkan tugas lelaki dan perempuan secara terus sebegitu?

Adakah semua lelaki mencari nafkah sehingga melukai dirinya dengan luka luar dan dalam badan berbulan bulan?

Kemudian kesakitan itu ditutup dengan rutin setiap hari menjaga keluarga dan juga pergi bekerja seperti lelaki di luar sana?

Nafkah batin isteri yang terkenal hanyalah hubungan intim di kamar. Siapa wakil ustaz yang lantang membicarakan untuk menjaga hati isteri dengan tutur kata dan senyuman, kerana isteri itu sungguh halus hatinya?

Bila mana isteri yang melahirkan, keluar bekerja dan dipaksa untuk menghadap maki hamun suami serta ketegasan suami tidak kena pada tempatnya, apa hatinya tidak hancur?

Demi agamanya, dia meletakkan kedua ibubapanya di tempat kedua setelah mengangkat suaminya ke tempat utama..

Betapa dia sakit dalam setiap proses yang kononnya mendewasakannya, sedikit demi sedikit meluputkan sifat riang manjanya sebagai perempuan yang pernah dilabel kaum yang lemah dan perlu dilindungi.

Kehendak hatinya begitu bertentangan dengan kewajipan yang perlu digalas olehnya, setelah hatinya di siat siat, dia wajib akur jika suaminya menginginkannya di kamar.

Adakah malaikat melaknat suami yang menyakiti hati isteri sepertimana isteri yang enggan meneruskan hajat sang suami untuk bersama di katil?

Demi Allah, isteri mengenepikan sakit melahirkan dan menerima jahitan di farajnya pada hari ke 45 setelah nifasnya kering dan siapa yang perasan tubuh sang isteri menahan gigil untuk membahagiakan suaminya?

Semasa dalam pantang, adakah isteri melepaskan tugasnya? Tidak, walaupun tubuhnya belum pulih, walaupun masih nifas dia menggunakan saluran dan cara lain untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Ye, tanggungjawabnya melayan batin suami tak pernah padam walau dia baru bertarung nyawa. Walau nak membuang air besar pun ngeri dan nyeri terasa, kerana takut jahitan yang hampir dengan dubur itu terbuka..

Ketika menyusukan bayi yang masih merah dan dia didatangi suaminya, kerja gila tetap diteruskan. Multi tasking menahan perit menyusu sambil melayan suami, itulah definisi tanggungjawab wanita berkahwin, kepada anak dan suami.

Kau akan fikir itu giila, bagaimana suami boleh berfantasi dalam keadaan isteri sedang menyusui anak, tapi kau tetap juga tidak menghargai walau secebis ucapan terima kasih.

Acara balik kampung sering berat sebelah oleh imammu, ibarat ibubapamu hilang harga setelah kau mengahwini anaknya.

Sang isteri menahan rindu kepada ibunya, bila bertemu hanya tiga hari sahaja, sehari perjalanan pergi, sehari di kampung dan sehari perjalanan pulang.

Dia melihat ke dalam mata ibunya, ibarat ingin memberitahu kesakitan menjadi seorang wanita. Tapi mulutnya terkunci, dia kira ibunya akan memahami dan mendoakannya.

Di kala ayahnya sakit dan dikejarkan ke hospital, wanita yang menangis kerana merisaukan ayahnya ini terpaksa juga melayan suaminya sebelum dia bersetuju membawa isterinya balik kampung menemui orang tua yang sakit…

Apakah kau masih terangsang bila melihat wanita yang pecah empangan airmatanya, pernahkah kau simpati jika kesedihannya itu juga kesedihanmu?

Aku sakit menjadi wanita, ya Allah. Aku sakit meneruskan tugasku tanpa dihargai, aku sakit berjalan tanpa tangan yang menarikku kepadaMu ya Allah.

Dalam kesakitan itu, dibiarkan tubuhnya dicari suami tiga kali seminggu minimum kerana baginya yang hancur hanya hatinya, kenyataannya tubuhnya bukan miliknya, hanya pinjaman dari Allah.

Kadang baru semalam bersama, harini didatangi lagi. Kadang baru pagi bersama, malam kau mendatanginya lagi.

Walau dah tiada cinta, walau dah terkikis rasa, walau penat beranak kecil tak berhenti henti selama menjalani usia bersama, yang tinggal hanya lah jasad yang digerakkan setiap masa…

Jika jihad lelaki itu bila batang tubuhnya diberi dalam perjuangan menegakkan agama manakala jihad wanita itu dalam mentaati suaminya, namun berapa ramai suami yang menyakiti wanita ini boleh menyakiti musuh agama?

Berapa ramai lelaki yang berani melangkah menahan luka memperjuang agama?

Bersunat saja dah terlantar seminggu dua, tapi mengharap semua wanita cemerlang dalam jihad mereka?

Bukan tak pernah meminta cerrai kerana usia perkahwinan pun sudah menjangkau belasan tahun dengan lima anak kecil, tapi talak itu bukan ditangannya.

Mungkin suaminya nak menggunakannya sehabis pakai sebelum membiarkan dia menemui kebahagiaannya?

Apa kau fikir setelah dilanyak sebegitu rupa, dia masih lagi mahu hidup di bawah pimpinan suami kedua?

Entah entah keluar mulut harimau masuk mulut sang buaya. Baik sendiri sahaja, seperti Rabiatul Adawiah mencintai Rabbnya.

Ambillah apa sahaja hak mu wahai suami, tetapi ingat, setiap hakku yang tidak tertunai di dunia, aku menunggu hari kau menjawabnya.

Kerana Allah itu Tuhan aku dan kau.