Dia memang tak sekolah. Pernah kena label org tak ada masa depan tapi sekarang semua hairan bila jumpa

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Pertama sekali saya ingin kenalkan diri sebagai Sara.

Saya merupakan pelajar berkelulusan luar negara dan telahpun berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah swasta di Semenanjung Malaysia.

Apa yang saya nak ceritakan dekat sini ialah mengenai kisah tunang saya yang tidak menamatkan persekolahannya akibat faktor kemiskinan.

Untuk pengetahuan semua, ibu bapanya bercerrai ketika dia masih kecil.

Bapanya langsung tidak menafkahi kehidupan mereka sekeluarga malah sanggup mengatakan bahawa dia dan adik beradiknya adalah bukan dari drah dagingnya dengan erti kata lain anak luar nikah hasil dari hubungan dengan lelaki lain.

Meskipun ayahnya meninggalkan mereka terkontang kanting tanpa secebis belas namun ibu tunang saya kuat membanting tulang dengan bekerja sebagai pembantu kantin demi untuk membesarkan anak anaknya.

Selepas ibu bapa tunang saya berpisah, mereka tinggal di rumah usang peninggalan aruwah datuknya.

Setiap pagi seawal Subuh ibunya sudahpun bergegas ke tempat kerja manakala dia dan adik beradiknya mengayuh basikal ke sekolah sejauh dua kilometer setiap hari.

Bayangkan ketika dia masih bertadika, tatkala mana rakan rakannya dihantar dan dijemput oleh waris masing masing dari tadika dia sahaja kanak kanak yang berbasikal tika itu.

Terdetik di dalam hatinya alangkah seronoknya andai ayahnya dapat berbuat demikian sama seperti kawan kawannya yang lain.

Demi Allah, luluh hati saya mendengar kata katanya ketika itu. Tak sedar air mata mengalir bersama.

Tahun bersilih tahun, syukur ibu tunang saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang sanggup menerima mereka sekeluarga seadanya meskipun lelaki tersebut bukanlah berharta.

Ketika ada di antara adik beradiknya yang tinggal di asrama, tunang saya yang ketika itu telahpun menginjak sekolah menengah telah mengambil keputusan untuk berhenti sekolah kerana tidak sanggup untuk menyusahkan ibunya.

Katanya dia belajar tidak pandai jadi tidak perlu ibu membazirkan duit menyekolahkannya. Ibunya hanya terdiam.

Hendak dilarang dia tidak berdaya kerana dia yakin anaknya memahami apa yang sedang dilalui oleh mereka.

Lalu, dia membawa diri ke negeri orang dengan mengikut pakciknya berniaga di pasar malam.

Ketika remaja seusianya yang lain menikmati zaman persekolahan yang penuh warna warni, di sisi lain dia berhempas pulas mencari duit demi kelangsungan hidup pada keesokan harinya.

Niatnya cuma satu, mahu membantu ibunya di kampung dan demi menampung perbelanjaan persekolahan adik beradiknya yang lain. Biarlah dia sahaja yang berkorban.

Sepanjang tempoh yang sukar itu, pelbagai pekerjaan yang dicubanya. Sebutlah apa sahaja dari menjadi pelayan kedai makan, welding, formen dsb. Semua pernah dirasainya. Sepak terajang menjadi kuli cabuk dilaluinya penuh sabar.

Benarlah mendung pasti berlalu, mentari pasti menyinar lagi. Bertahun di negeri orang, dia pulang ke negeri asalnya.

Atas saranan orang sekeliling, dia mengambil keputusan untuk memasuki program kemahiran di Giatmara. Di situlah pintu rezekinya mula terbuka.

Berkat kemahiran yang ada dia berjaya membuka sebuah perniagaan sendiri meskipun kecil kecilan. Adat orang berniaga pasti ada susah senangnya, pasti ada untung ruginya.

Dia pernah bercerita kepada saya, dia sendiri pernah ditipu rakan perniagaan, aibnya dijaja dan dibuka sehingga dia hampir putus asa.

Mujurlah Allah itu sentiasa ada. Semua dugaan ditempuhinya dengan gagah kerana mengenangkan susah payah dia membina perniagaannya dari tiada apa apa sehingga kini dia mampu untuk menggajikan beberapa orang pekerja.

Bayangkan dia sendiri tidak berpelajaran. Kata orang sekolah pun tak habis. Pernah dicop sebagai orang yang tiada masa depan.

Namun kini tatkala mana bekas guru guru sekolah terjumpa dengannya, mereka berasa hairan bagaimana dia mampu untuk sampai ke tahap ini.

Sedangkan rakan rakan yang sebayanya yang lain biarpun berpelajaran tinggi tetapi masih ada yang menganggur dan kewangan masih tidak stabil.

Sedangkan dia budak yang tidak habis sekolah pun mampu untuk memiliki aset sendiri meskipun tidaklah seberapa. Jujur dia katakan, tak pernah merasa bangga dengan apa yang dia punya.

Untuk pengetahuan semua pada umurnya yang masih belum mencapai 30 tahun, dia sudahpun memiliki dua cawangan perniagaan serta rumah sendiri yang mana rumah tersebut telahpun dihadiahkan kepada ibunya sendiri.

Adik beradiknya yang lain semuanya memiliki kerjaya yang bagus.

Saya pula jadi ‘segan’ dengannya. Walaupun saya berpendidikan tinggi tetapi gaji saya cuma biasa biasa saja. Betullah kata orang rezeki manusia ini lain lain.

Mungkin saya diberikan Allah rezeki belajar ke luar negara namun kerja cuma biasa biasa berbanding tunang saya yang pendidikan pun tidak setinggi mana tetapi perniagaanya sukses dan berjaya. Syukur Allah itu Maha Adil lagi Maha Sempurna.

Biarpun sehingga ke hari ini dia sukar untuk memaafkan kesilapan ayahnya yang telah pun dijemput Illahi beberapa tahun dahulu namun dia berulangkali memberitahu saya bahawa dia tidak akan sesekali mengulangi kesilapan serupa.

Kerana baginya cukuplah penderitaan yang ditanggung oleh dia sekeluarga. Dia tidak mahu anak anaknya nanti menerima kesan yang sama.

Ya sejujurnya ketika awal perkenalan kami saya bimbang dia mengalami trauma atau depresi kesan dari peristiwa silam itu namun syukurlah dia tidak menyimpan dendam cuma dia susah untuk melupakan semua yang terjadi.

Berulangkali saya mengingatkan dia bahawa setiap manusia itu tidak sempurna. Seburuk apa pun sikap orang tua kita, mereka tetap insan yang membuatkan kita wujud di dunia.

Saya nekad menerima setiap kelebihan dan kekurangannya seperti mana saya juga punya cacat celanya.

Bukan harta dan rupa yang saya pandang tetapi keikhlasan serta budi pekertinya yang menawan hati saya.

Keluarga saya juga menerima dia seadanya.. lelaki yang tidak berpelajaran tetapi kuat membanting tulang.

Biarlah orang kata saya tidak sekufu dengannya. Biarlah orang mengata dia tidak sepadan dengan saya tetapi yang saya tahu dia lelaki yang paling saya kagumi dek kecekalan dan ketabahannya.

Ketika di sekolah, saya sering mengingatkan para pelajar saya terutamanya yang tidak berminat dalam bidang akademik untuk menceburkan diri dalam bidang kemahiran kerana rezeki Allah itu luas.

Jangan merasa rendah diri jika tidak hebat dalam akademik tetapi berjuanglah untuk bangkit dalam bidang yang kamu minati.

Terima kasih kepada semua pembaca yang dikasihi. Doakan pernikahan kami yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Salam sayang, Sara