Jika mak dia sendiri tak boleh lepaskan dia. Boleh bagi saya semula, biara saya yang jaga dia

Saya perempuan, umur awal 30 an, bekerjaya professional, ada 2 anak dan Alhamdulillah masih ada suami.

Saya nak kongsi cerita saya. Saya anak ke lima dan ibu bapa saya adalah ibu bapa yang tidak mengongkong anak. Mendidik dan beri kebebasan kepada kami untuk buat apa sahaja selagi tidak bertentang dengan agama.

Apabila saya berkahwin, ibu mertua saya seorang yang membuat keputusan untuk anak anaknya.

Jadi selepas berkahwin SEMUA hidup saya dan suami dia cuba aturkan. Susunan rumah kami, anak berapa, cuti bila, event cuti raya pun dia tolong saya aturkan.

Pada awal perkahwinan, perkara ini sering buat kami bergaduh. Kami pernah berhentikan kereta tepi jalan dan saling menjerit kerana suami saya akan sentiasa dengar cakap mak dia.

Saya faham syurga lelaki pada ibunya tapi agak agakla kan. Kami pernah bergaduh sehingga dia pernah menumbuk muka saya.

Peristiwa tu, menjadi titik perubahan saya dan suami. Semua yang terjadi memang saya ceritakan pada kedua ibu bapa saya.

Sampai ayah saya memberi kata dua pada suami. Kalau mak dia tak boleh lepaskan dia, pulangkan balik saya pada keluarga. Ayah saya jaga saya, besarkan dengan penuh kasih sayang bukan diberi untuk dipukul dan di kawal oleh keluarga mertua.

Saat itu suami saya berubah. Kami lebih banyak berbincang dan membuat keputusan sendiri. Mak mertua saya berkecil hati kerana anggapannya suami saya tidak mendengar katanya lagi.

Untuk saya, saya tak menghalang suami untuk balik kampung dan berbakti pada mak ayah mertua saya, cuma jangan masuk campur urusan saya dan keluarga.

Walaupun pada awalnya banyak makan hati kerana perangai pelik pelik mak mertua saya, saya buat keputusan maafkan dan lupakan anggap jela orang tua yang tak tahu budi bahasa.

Kalau balik kampung saya tolong mana yang patut selebihnya saya buka laptop pura pura sibuk.

Girls,

1. Apa apa jadi jangan simpan sendiri. Kita ada mak ayah cerita je semua. Ramai lelaki tak guna sekarang.

2. Pelik macam mana pun dia tetap mak atau ayah mertua kita. Memang menantu orang luar, anggap je la mertua pun orang luar.

Jadi tak payah beria sangat nak ambil hati. Janji hati sendiri terjaga sudah. Kurangkan expectation.

3. Kalau rasa perkahwinan itu toksik menyiksa jiwa dan raga. Tolonglah angkat kaki. Jangan gunakan anak sebagai penahan. Macam mana nak bahagia kalau diri sendiri tak bahagia.

Kalau jiwa serabut korang akan marah je anak tu. Mana nak datang bahagia? Jadi keluar dan kalau jumpa jodoh yang lebih baik apa salahnyakan?

4. Sebenarnya bagi saya cukuplah sekali kalau dia naik tangan. Memang nak tinggalkan dah, tapi ketika itu memang antara kami sangat tegang. Dia pukul saya depan anak anak.

Memang masa itu saya dah nak failkan pencerraian tapi kerana dia janji nak berubah saya beri peluang kedua dan terakhir

Dah 4 tahun perkara itu berlalu, walau lebamnya dah tiada sakitnya masih ada. Untuk perkara itu saya masih tidak boleh lupakan.

Peristiwa itu juga buat saya lebih kuat untuk bangkit dan berjuang untuk diri sendiri. Alhamdulillah kami bahagia kini, sampai bila saya tak tahu doakan saya.

Untuk perempuan yang lain. Ingat anda berhak untuk bahagia. Jangan sampai ada orang boleh tentukan hidup anda.

Dan untuk hidup kita yang tidak bahagia, kita jangan salahkan orang lain kerana hidup ini adalah pilihan. Anda yang memilih untuk keluar atau kekal bersama.

Banyak jalan ke syurga, bukan melalui perkahwinan sahaja.

Kalau berkahwin menjadikan anda isteri derhaka dan jadi highway ke neraka, carilah kunci syurga yang lain. Islam tak kejam, keluar dari lelaki yang menunggang agama. Tolonglah.

Women empowered women,