Aku rindu sangat dekat ayah aku. Hanya sekadar air mata yang boleh dizahirkan bila rindu mula datang

Ayah.. lahirnya pada 16 Oktober 1941, sebagaimana tertulis didalam kad pengenalannya. Genap sudah 81 usianya.

Seorang yang cukup tenang. Seingat aku, sepanjang aku dewasa, tidak pernah ada kemarahan yang keluar dari mulutnya.

Apa lagi perkataan pelik pelik yang selalu aku dengar dari orang lain, sekarang.

Kami dibesarkan dengan cara tersendiri. Ayah yang kami kenali, tidak memanjakan kami. Tiada belaian malah pelukan. Tapi aku tidak pernah sesal kerana itu caranya.

Bukanlah ayah tidak pernah marah. Jika dia diam, itu tandanya dia sedang marah. Hanya diam. Tanpa kata.

Tapi dalam gembira, ayah akan menyanyi sendirian. Lagu lagu lama yang kadangkala aku sendiri tidak pernah mendengar liriknya. Sambil menyiram bunga bunga hasil tanaman emak.

Kami anak anaknya tersenyum dan tertawa kecil di ceruk dapur. Seronok mendengarnya.

Ayah lahirkan kasihnya dengan membeli barang barang mainan mengikut kemampuannya. Aku si anak bongsu dan kakakku yang paling beruntung kerana kami lahir di zaman yang telah banyak pilihan mainan.

Aku pernah mendapat kereta merah yang perlu dikayuh untuk bergerak. Masih ada sisanya hingga hari ini.

Kasih ayah kepada emak sungguh tiada tandingan. Kami, anak anaknya yang menjadi saksi. Emak meninggalkan kami selamanya kerana knser payuudara sejak tahun 2007.

Sejak itu, ayah tidak lagi tidur dibilik mereka yang dikongsi bersama sekian lama. Ayah lebih selesa tidur di ruang tamu. Cuma masuk ke biliknya jika hendak menyalin pakaian dan solat. Kuatnya kasih ayah.

Ayah masih tinggal dikampung, bersendirian. Tidak mahu tinggalkan rumahnya walaupun anak anak memujuk.

Kami yang selalu pulang menguruskan dia semampunya. Ayah masih kuat, walaupun dunianya hanyalah didalam rumahnya sendiri.

Masih terbayang bayang ketika ayah mendapat tv baru kerana yang lama telah rosak. Senyumnya meleret leret. Lega aku melihatnya.

Tidaklah ayah kesunyian lagi.

Sejak kami dewasa, ayah tempat kami bercerita. Kebanyakan kisah seharian kami, kisah sanak saudara, anak cucunya.

Aku jarang bercerita tentang masalah kami. Tapi seorang ayah, duka yang kami sorokkan, sentiasa mampu dibacanya.

Bagi aku, cukup sudah mendengar suaranya, segala masalah seolah diterbangkan angin. Walaupun kadangkala hanya sementara. Ketenangan yang tiada dimana mana, hanya ada pada ayah.

Tahun lepas, entah dari mana datang keinsafan dalam diri aku. Setelah sekian lama menghabiskan gajiku tanpa melihat hasil, aku terfikir untuk membeli rumah.

Waktu ini, ayah sudah kurang sihat kerana jatuh parit dan ditindih dengan motosikalnya. Akibatnya, dia mudah lupa. Banyak perkara tidak mampu lagi diingat.

Pencarian rumah berhasil. Niat aku, setelah selesai semua, akan kubawa ayah tinggal bersama kami. Agar makan dan pakai ayah terjaga.

Tapi aku tidak ceritakan kepada ayah perancanganku. Sudah terbayang bayang kelibat ayah dirumahku. Duduk dimeja makan sambil menikmati makan petang, ataupun bersila di sofa sambil menonton tv bersama cucunya.

Rupanya angan anganku tidak kesampaian. Pada 10 September 2021 bersamaan 3 Saffar 1443H, di awal pagi Jumaat yang mulia, ayah telah dijemput Ilahi.

Perginya ayah cukup mudah dan tenang. Didalam tidur, ayah meninggalkan kami.

Setelah genap seminggu ayah tidak boleh bangun dan bercakap dengan betul. Tiada selera makan tapi masih mampu tersenyum ketika kami berbual bual dengannya.

Rindunya aku pada ayah, tiada kata yang mampu menggambarkan rasanya. Hanya airmata dan secebis doa menjadi teman diwaktu rindu yang tak mampu dizahirkan.

Ayah semasa hayatnya seorang anak yang baik. Setiap hari, dia akan menjenguk nenek yang tinggal tidak jauh dari rumah kami.

Dibelikan sarapan dan lauk pauk untuk santapan nenek. Apa yang tidak cukup dirumah nenek, akan dicukupkan seadanya.

Malah, dipenghujung usia nenek, ayah bawa nenek tinggal bersamanya. Ayah uruskan nenek sendirian. Malah nenek sudah tidak mampu berjalan, ayahlah yang mendukungnya ke tandas.

Ayah yang memasakkan nasi, menyediakan makanan dan pakaian nenek. Kain baju nenek dibasuh dengan tangan oleh ayah. Sehinggalah ke akhir hayat nenek.

Akhir kalam, berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa kita dan ibu bapa mertua yang sepatutnya sama taraf dengan ibu bapa kita.

Walaupun seribu tentangan kita rasa perlu dibetulkan. Simpan. Usia mereka sudah tidak lama. Senangkan hati mereka. Ada balasannya yang telah dijanjikan olehNya.