Walau pun adik beradik satu ibu dan ayah, hati tetap lain-lain. Kena ingat hati dan akal manusia berbeza

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kisah ini sebenarnya tak berapa best pun nak baca tapi jadikanlah sebagai satu pengajaran.

Adik Beradik walau lahir sama mak, sama ayah, tapi hati lain lain. Perangai pun lain lain.

Sepupu walau satu pertalian drah, tapi kena ingat akal dan hati setiap manusia berbeza beza.

Aku hanya ada keluarga kecil sahaja. Sebenarnya keluarga aku besar kalau dikumpulkan semua saudara mara.

Tapi!

Hanya kerana mulut, kata kata nista, dan bertuhankan duit, aku dan keluarga kecilku disisihkan bertahun bertahun.

Mak aku selalu cerita yang baik baik tentang adik beradik dia, bagitahu aku yang aku ada sepupu. Mak akulah paling excited kalau adik beradik panggil datang kenduri. Excited tolong sebab mak aku sayang adik beradik dia.

Tapi setelah bertahun, aku hairan kenapa susah betul nak nampak batang hidung pakcik makcik aku datang ziarah atau berjumpa.

Pernah sekali, makcik aku datang ke kampung kerana hadiri kenduri kahwin, langsung tak singgah rumah. Bila mak aku panggil, terus lari.

Adik beradik yang lain? Senyap membisu.

Setelah bertahun tahun barulah mak aku dapat tahu cerita tragis. Adik mak aku dan isteri dia sebarkan fitnah kepada adik beradik lain yang mak aku makan duit pusaka, pulaukan diorang masa tengah susah. Gunakan duit untuk kepentingan peribadi.

Paling sakit hati, dituduh pulak aku guna duit untuk belajar. Orang kampung percaya dengan fitnah. Mak aku dikata, dihina dan disisihkan.

Bertahun tahun mak aku disisihkan hanya kerana cerita palsu tanpa ada sorang pun datang nak periksa. Kejadahnya perangai.

Hati siapa tak hancur. Hati mana yang tak sedih. Adik kandung sendiri yang selama ini ditolong. Sanggup bergadai emas yang sepatutnya boleh digunakan untuk masa depan semata mata nak tolong adik dalam kesusahan. Uruskan banyak perkara terutama ketika kereta ditarik gara gara perangai adik.

Tapi mak aku sabar. Hancur hati dia. Lagi hancur apabila makcik aku datang rumah semasa hari raya, belum sempat buka kasut masuk pintu rumah. Mak aku dituduh memutuskan silaturahim dengan keluarga.

Allahuakbar. Beginikah perangai orang baru balik umrah?

Percayakan isteri adik mak aku merangkap pakcik aku lebih dari mak aku yang bertahun tahun kenal. Walhal makcik aku ni, mak aku dah anggap dia macam kakak kandung sendiri.

Tiap tiap tahun semangat nak raya sebab sayangkan kakak dia. (Makcik yang aku ceritakan ni kakak ipar mak aku).

Luluh hati dan perasaan. Setiap hari menangis. Susah payah mak aku cari duit nak sekolahkan aku, tampung hidup. Aku sendiri kerja sambilan untuk cari duit poket.

Fikirkanlah, kalau betul kami gunakan duit pusaka untuk kepentingan peribadi, sudah tentu hidup kami senang lenang.

Buat apa mak aku susah payah kerja sampaikan sekarang dia sendiri sakit lutut. Buat apa aku kerja sambilan? Kereta tak pernah bertukar.

Adik mak aku pulak beli kereta mewah, motor besar, pergi berjalan sana sini. Sedangkan dia kerja pun tak menentu.

Bila dah tahu cerita, mulalah aku dicari. Tapi khabar yang ditanya, diselitkan dengan duit pusaka.

Sejak dari itu, aku dapat tangkap tujuan semua saudara mara tanya khabar aku dan mak aku. Kalau nak sangat duit tu, uruskanlah sendiri.

Satu kisah lagi, semasa aruwah nenek aku hidup, tak pernah seorang pun keluarga adik beradik mak aku balik kampung. Tanya khabar tidak, ziarah tidak, kirim surat atau telefon? Jauh sekali.

Sejujurnya mak aku bukan anak kesayangan dan aku bukan cucu kesayangan.

Tapi sampai aruwah nenek sakit dan hembuskan nafas terakhir, mak akulah orang yang jaga dan rawat beliau. Bila dah meninggal?

Masa tu lah tiba tiba muncul mereka mereka ini. Hairan juga aku. Aku bersangka baik mungkin mereka tinggal di planet lain. Sukar nak dapat roket balik kampung.

Apapun,

Aku dan mak aku tak nak ambil tahu. Bawalah duit pusaka tu sampai mati. Cukuplah kami menderita dengan fitnah yang dijaja. Cukuplah kesan derita yang ditinggalkan. Mak aku hari hari menangis dan kerap jatuh sakit.

Cukuplah dengan sakitnya aku, insan yang dulunya teringin sangat nak rasa keluarga besar tapi sebabkan ego pakcik makcik aku, semua tu baik aku kuburnya sahaja.

Aku bahagia hidup dengan mak aku sekarang. Walau sederhana tidak kaya, tapi alhamdulillah ada sahaja rezeki.

Kepada anda yang masih mempunyai adik beradik, jaga betul betul walaupun sudah berjauhan, ambil peduli walau sudah berkeluarga sendiri. Jangan ego dan mudah percaya satu khabar berita.

Mulut boleh bawa binasa, kata kata yang celaka boleh menjahanamkan jiwa dan hati yang hancur sangat sukar untuk dipulihkan.

Ingat kifarah itu ada!