Hairan dengan perangai Ibu Aidan.Sebijik macam isteri pertama yang tak restu dengan poligami

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Hi semua. Aku seorang wanita yang baru melangkah ke alam perkahwinan. Masih baru dan sepatutnya masih dalam fasa bahagia.

Tapi apakan daya, jodoh yang hadir saat aku benar benar perlukan tempat berpaut hanya membuatkan aku lebih banyak menitiskan air mata.

Sebelum bernikah, aku dan bakal suami, Aidan sama sama berbincang tentang lokasi rumah sewa. Mulanya Aidan bercadang berpindah ke Bandar A yang lebih dekat dengan pejabat aku dan aku tak perlu menempuh kesesakan lalu lintas yang lama.

Bagi Aidan, biarpun jarak ke pejabat dia lebih jauh, dia tiada masalah kerana boleh saja menunggang motorsikal bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Hasil perbincangan itu, aku mula mencari rumah yang sesuai dan membuat temujanji dengan agen dan tuan rumah.

Aku maklumkan pada Aidan dan dia berjanji untuk sama sama hadir untuk viewing.

Sehari sebelum temujanji viewing, Aidan memberitahu bahawa dia mahu menukar lokasi rumah di Bandar B.

Alasannya mahu mencari rumah yang berdekatan dengan rumah ibunya supaya lebih mudah untuk menjenguk ibunya.

Aku cuba memahami tetapi hati kecilku benar benar terasa saat Aidan menyuruh aku membatalkan temujanji begitu saja.

Kami bergaduh dan akhirnya aku dapat tahu bahawa Aidan berubah fikiran akibat drama air mata dari ibunya apabila Aidan menceritakan tentang lokasi rumah yang bakal kami pilih.

Aku mengalah dan memilih Bandar B walaupun aku tahu aku bakal menempuh kesesakan lalu lintas setiap hari.

Selang beberapa bulan kemudian, kami bernikah. Aku sebagai isteri mula berfikir tentang kehidupan kami berdua.

Namun minggu pertama perkahwinan kami penuh dengan air mataku. Aku benar benar kecewa. Aku sangkakan Aidan dan aku akan memulakan hidup bersama sama serumah.

Tapi tidak. Sebaik sahaja pulang dari kampung, aku ditinggalkan sendirian di rumah kami. Aidan pulang ke rumah ibunya dengan alasan ada kecemasan.

Keesokkan paginya dia datang ke rumah kami tersenyum bagai tiada apa yang berlaku. Apabila aku bertanya kenapa tidak pulang,

Aidan memberi alasan dia terlalu letih dan mengantuk selepas pulang dari hospital. Jadi dia memilih untuk tidur di rumah ibunya tanpa memberitahu aku.

Aku cuba berdiam diri dan bersabar tapi malangnya keadaan itu berulang lagi. Kehidupan kami dipenuhi dengan giliran bermalam antara aku dan ibu mertuaku.

Dua minggu berlalu dan kesabaran aku makin menipis. Ku tanyakan pada Aidan apa yang dia mahukan sebenarnya.

Dia kulihat tiada sekelumit pun niat untuk berpindah bersamaku. Tiada baju baju atau barang barang yang dibawa untuk disimpan di rumahku.

Sebaliknya dia hanya akan membawa sepasang baju pejabat sahaja setiap kali pulang ke rumah kami.

Kami bergaduh dan aku membawa diri pulang ke kampung. Di sana aku lebih bahagia apabila dikelilingi keluargaku.

Sebulan berlalu, keadaan masih sama. Aku cuba berbincang tetapi Aidan masih dengan keputusannya untuk bergilir gilir atas alasan ibunya sudah tua dan tiada siapa yang menjaga.

Dia sebagai anak lelaki perlu menjaga ibunya. Aku hairan. Setahu aku Aidan mempunyai bapa, kakak dan abang.

Dia bukan anak tunggal dan adik beradiknya tinggal tidak jauh dari rumah ibu mertuaku. Jadi di mana keperluan mendesak sehingga Aidan sahaja yang perlu berkorban?

Akhirnya terkuak bahawa ibu mertuaku sekali lagi bermain drama air mata beberapa hari sebelum pernikahan kami. Dia tak mahu berpisah dengan Aidan walaupun selepas kami bernikah.

Bermula dari itu, hiduplah aku dengan giliran bermalam seperti seorang isteri kedua.

Lebih memburukkan keadaan, ibu mertuaku sering mengawal jadual Aidan. Ada sahaja kecemasan setiap kali Aidan pulang ke rumahku. Dan Aidan juga wajib pulang ke rumah ibunya sebelum pulang ke rumah kami.

Apa sahaja barang yang ada di rumahku, pasti yang sama akan ada di rumah ibu mertuaku. Sikapnya betul betul persis isteri pertama yang tak merestui p0ligami dan mencuba sebanyak mungkin untuk merosakkan hubungan kami suami isteri.

Aku benar benar hairan dengan sikap ibu Aidan.

Seandainya dia tidak bersetuju dengan perkahwinan kami, lebih baik dibantah saja sebelum kami menikah. Bukan menyeksa aku seperti ini.

Yang lebih menyakitkan hati, ibu mertuaku selalu play viictim dalam setiap hal kerana dia kelihatan seperti wanita lemah tak berdaya dan aku yang jenis direct to the point selalu terlihat jahat.

Baru baru ini aku tambah terkilan saat aku tahu ibu mertuaku meminta Aidan untuk mengeluarkan wang KWSP dan Aidan menurut sahaja permintaannya.

Bila aku tanyakan kenapa, Aidan berkata ibu mertuaku hanya meminta tetapi tidak memberitahu untuk tujuan apa. Aku sebagai isteri tiada apa pun yang dikongsi.

Hutang Aidan denganku sewaktu dia menghadapi masalah kewangan sebelum ini pun belum dilunaskan. Aku ingatkan dia akan bayar dengan wang KWSP tapi ternyata tidak. Semua untuk ibunya.

Raya? Aku yang banyak membeli barang keperluan raya. Aidan lebih fokus membuang duit pada ibu mertuaku.

Bahkan Aidan memilih untuk bermalam di rumah ibunya dan hanya akan pulang ke rumah kami selepas solat sunat Aidilfitri.

Pengorbanan aku yang tidak pulang ke kampung dan sanggup beraya di sini hanya dipandang sebelah mata. Betapa tak berharganya diriku di mata suami sendiri.

Disebabkan letih dan muak dengan semua itu, aku yang terlalu banyak memendam rasa akhirnya meletup. Kami bergaduh besar dan aku meminta untuk dilepaskan.

Aku penat terpaksa mengalah dalam semua hal. Maruah aku bagai dipijak pijak oleh seorang wanita bergelar ibu.

Namun Aidan menolak permintaanku. Baginya tiada apa yang salah dengan keadaan sekarang.

Andai saja aku boleh berpatah balik, pasti aku memilih untuk hidup bersendirian daripada begini. Tolong doakan aku buat keputusan yang tepat kali ini.