Lepas 20 tahun baru aku rancang nak ke pejabat agama. Aku rancang nak jual rumah di kampung nak habiskan sisa-sisa hidupku

Salam perkenalan semua.

Kenalkan, nama saya Bunga. Pemegang ijazah bidang agama di satu universiti terkemuka tempatan. Suami pun sama. Anak 4. Berasal dari selatan tanah air.

Usia perkahwinan dah mencecah 20 tahun lebih. Dalam usia perkahwinan begini, ikutkan telah menuju ke titik matang.

Umur pun akhir 40 dan suami awal 50 an. Hati sepatutnya dah tenang. Anak anak, semuanya di universiti. Yang bongsu, sedang menunggu keputusan sambung belajar. Semua belajar agama dan tahfiz.

Ingin mohon pandangan pembaca, memandangkan saya dah buntu, stress dengan masalah kewangan suami yang berpanjangan hingga kini.

Pendekkan cerita, saya isteri yang bekerja. Guru. Suami, dari awal perkahwinan kerja tak tetap. Kerja sendiri, sentiasa bertukar tukar pekerjaan sampai sekarang.

Saya ingat keadaan ini akan berubah. Saya bersabar daripada awal membantu segala kekurangan suami.

Mana mana yang perlu, saya modalkan untuk mulakan pekerjaan baru dengan harapan ianya akan mengubah taraf hidup kami. Saya ikhlas bantu kekurangan sumber suami. Namun, gagal berterusan.

Awal kahwin, saya dah bantu kongsi duit hantaran. 2k saya dan 2k suami. Masa tu dia kerja percetakan bersama rakan kongsinya.

Selesai majlis, dia minta semula duit 2k yang diberi kepada saya atas alasan dia pun berhutang pada kawan. Bila saya bertegas, dia hanya kata ‘nak buat macam mana, itu aje yang ada’. Saya rasa dah tertipu di awal perkahwinan.

Duit mas kahwin, saya terpaksa batalkan beli cincin kenangan kerana bantu beli katil untuk rumah sewa setelah 5 bulan tinggal bersama mertua yang terlalu cerewet dan semua yang dibuat salah. Hingga saya terkena migrain.

(Saya adalah seorang yang multi task boleh buat semua tugasan kerja rumah dengan cekap sehingga kawan kawan panggil Liziqi Malaysia)

Masa tu saya belum bekerja. Suami pula kerja. Masa saya banyak dihabiskan di rumah yang serba tak kena.

Jadi, kami terpaksa ambil keputusan berpindah. Adik beradik suami juga sokong keputusan kami kerana katanya takut nanti terbuka semua aib ibunya. Daripada pandai buat kerja, saya telah berubah menjadi seorang yang penakut dan tak confident.

Mana taknya, sampai tahap susun pinggan pun mak mertua susun balik. Dan banyak lagi. Bukan nak cerita keburukan mertua, cuma nak cerita itu sebab kami berpindah.

Buat pengetahuan pembaca, saya adalah menantu pilihan mertua tapi mertua sejenis yang tak boleh duduk lama lama, nanti dia jemu.

Macam tu la berlaku antara dia dan adik beradiknya. Bila dekat busuk, bila jauh wangi. Macam macamlah dengar cerita yang negatif bila dah lama tinggal bersama.

Gelang emas simple batal air sembahyang, suami kata hilang dari poket kerana saya terpaksa tanggalkan semasa berada di wad untuk bersalin. Menangis tak berair mata.

Dia berjanji untuk ganti, tapi saya tak pernah dan tak berani meletakkan harapan yang tinggi. Memang tak berganti sampai sekarang pun.

Nafkah zahir suami memang tak lepas. Pakaian raya saya, anak anak dan suami setahun sekali pun saya yang beli. Pakaian dalam saya dan anak perempuan pun saya beli. Kadang, tak tergamak tengok dah terlalu lusuh. Makan kami suami beli ala kadar.

Alhamdulillah, saya dan anak anak tak merungut. Syukur seadanya. Kadang belanja barang dapur pun tak cukup. Suami gaji seminggu sekali.

Ibarat kais pagi makan tengahari. Teringin sesekali makan sedap, beli sendiri.

Perbelanjaan bersalin, bil hospital , rawatan dalam pantang semua saya bayar kerana niat membantu sebab dia sentiasa dalam kesesakan.

Tak pernah ada duit lebih.

Tempat tinggal, alhamdulillah. Ada rumah sendiri. Dulu beli masa zaman ekonomi cantik sikit. Harga rm132k. Rumah ni nama berdua sebab gaji suami tak cukup kukuh untuk loan tersebut.

Part bayar rumah dan yang berkaitan, suami yang bayar. Saya bayar part saya, kereta, pinjaman peribadi bantu suami, bil bil air, elektrik dan maintainance rumah di kampung tinggalan orang tua. Seminggu sekali kami balik bersihkan dan kemas.

Sejam perjalanan dari rumah yang kami tinggal bekerja sekarang. Dalam saya banyak top up bayaran bayaran besar seperti kereta rosak 2 ribu, 6 ribu… ribu ribu lah, suami masih minta bantu benda benda kecil seperti isi minyak balik kampung, tol dan lain lain.

Yang menjadi masalah, suami selalu tak menjaga komitmen bayaran bulanan. Dia culas. Biarkan bil macam tu saja. Rumah pernah hampir dilelong. Tunggakan banyak. Bil air, letrik pun sama. Hampir kena potong.

Sayalah yang bantu bayarkan hutang hutang yang ada dalam keadaan saya juga ada komitmen sendiri. Ibarat kata, tutup lubang sana, sini berlubang. Berulang kali. Saya rimas. Stress. Lelah.

Walaupun dah pesan pada suami, jangan suka tangguh bayar. Tapi dia buat juga. Suruh cari kerja tambahan, supaya tak mengharapkan satu gaji, tak mahu juga.

Hinggalah berlarutan lebih 20 tahun masih dengan masalah yang sama. Sedangkan saya berhempas pulas, buat macam macam. Meniaga macam macam. Alhdmdulillah, ada saja hasilnya walaupun saya penat. Sakit.

Rezeki tak pernah putus. Pernah menjadi dropshipper emas, pada masa yang sama niat untuk menyimpan untuk kesesakan kewangan.

Alhamdulillah, dengan emas yang dikumpul dapat dijadikan modal pusingan di rahnu untuk keperluan hidup. Pernah meniaga kerepek, ambil order dan jual. Syukur sangat. Berjaya.

Suami pun cuba juga, dia ambil dalam jumlah yang banyak sebagaimana saya buat. Bezanya dia tak ambil order terlebih dahulu.

Walaupun saya dah nasihat, beli sikit sikit dulu. Tapi dia tak dengar kata, akhirnya membazir begitu saja.

Pernah berdua buat biz yang sama, suami tak nampak hasil. Tapi saya berjaya bawa dia pergi haji, renovation rumah dan upgrade kereta yang lebih selesa untuk kegunaan bersama.

Suami pernah berniaga di Pahang. Buat benda besar iaitu restoran. Saya halang kerana kos dan jauh. Dia tetap teruskan kerana modal kawan dah beri. Akhirnya gagal dan dia menanggung muflis dan membayar esolvensi hingga kini.

Banyak perkara yang saya nasihatkan agar tidak memilih pekerjaan tertentu, termasuk ibu saya nasihatkan. Tapi dia tetap berdegil.

Sudahnya, saya yang menanggung kos kegagalannya. Sedih bukan kepalang. Hanya Allah tempat mengadu.

Sejak awal perkahwinan, memang kami amalkan tahajud dan bangun malam hingga kini. Tapi, saya tak tahu kenapa tak nampak jalan keluar bab yang ini.

Baru ni, surat mahkamah pula sampai, suami tak bayar maintainance rumah. Akaun saya disekat. Menyebabkan saya sakit emosi dan fizikal menanggung semua ini.

Dulu pernah janji, nak bayar personal loan untuk top up mana mana kekurangan, akhirnya saya bayar sendiri.

Pernah janji bayar insuran takaful keluarga bersama, akhirnya bayar sendiri. Dan saya telah berhentikan kerana kekangan kewangan yang kami hadapi.

Kereta? Dari awal kahwin, saya yang beli. Bermula dari kereta buruk, kancil dan upgrade sikit sikit ke kereta mpv semua saya yang beli dan bayar. Bayar bulan, maintainance, rosak saya bayar.

Kepala kena sentiasa ligat dan bersedia dengan wang ringgit hadapi masalah masalah besar.

Saya kena bijak menyimpan dan merancang kerana saya tau suami tak berduit hingga tahap duit kecemasan pun tiada. Hidupnya penuh santai. Tiada kerisauan di hati.

Sebab bila kecemasan, dia tau saya ada dan jika saya juga sempit, dia mesti berhutang.

Bila saya tiada duit, saya kena usaha dan ikhtiar sendiri. Bila suami tak berduit, dia cari saya, cari pada maknya yang uzur terlantar atas katil, cari pada kakaknya tanpa ada rasa malu. Tak pernah malu. Bagai tiada maruah dan harga diri.

Saya yang malu. Sepatutnya, selaku anak lelaki dialah perlu bantu orang tua. Ini tidak. Hutang banyak. Tapi hidupnya sentiasa macam tu.

Tak terbayar.

Saya belikan kereta untuknya 2 kali, tapi satu hampir jadi besi buruk sebab bila rosak dia tinggal. Satu lagi waktu yang lain, kereta yang sedia ada untuk ambil dan hantar anak ke sekolah yang saya belikan, saya terpaksa jual sebab dia tak tahu nak jaga maintainance.

Terbiar.

Sebab pada masa yang sama, dia memerlukan van untuk mengangkut murid murid sek (kerja baru). Saya modalkan beli dan modalkan tukar kepada gas supaya jimat minyak.

Dia selalu mengadu, duit gaji habis pada minyak. Tapi, akhirnya dia tak dapat bayar bulan bulan ansuran van tersebut dan akhirnya dijual dan dia bertukar kepada kerja yang lain lagi. Begitulah berulang.

Guna kereta pula lasak, bahu jalan pun selalu dilanggar. Saya yang tukang bayar bulanan dan kerosakan, hanya mampu pejamkan mata dan menangis dalam hati.

Sesekali membebel tapi ada sahaja jawapannya. Dia yang bawa kemalangan, saya yang kena repair. Alasan… tak ada duit.

Alasan jika rosak… standardla kereta dah lama.

Motor? Saya pernah belikan motor aruwah ayah untuk kemudahan suami ke masjid atau ke kedai. Pakai tak lama, rosak sikit, dia tinggalkan macam tu aje. Sedih…

Basikal? Ibu saya pernah belikan suami basikal lipat awal awal kahwin kerana berjalan kaki ke tempat kerja yang tak berapa jauh. Sudahnya, suami jual atau beri pada orang lain.

Kalau sesekali ingin lapangkan hati, bercuti. Ketepikan sedikit duit gaji, bawa dia dan anak anak. Sepenuhnya saya bayar. Jika ada part dia pun, makan. Itupun dia minta duit ibunya, minta duit anak anak (duit raya dan duit baru belajar kerja part time).

Malunya saya. Itupun, saya masak juga masa bercuti. Tak pernah dalam sejarah hidup, dia ajak saya bercuti, merai dan lain lain….seringkali, saya yang bawa dia dan bayar sepenuhnya.

Bab sakit, saya sakit saya bayar bil rawatan. Di sakit, saya juga yang bayar. Bab alat solek, saya jenis yang tak kisah. Murah pun tak apa janji ok dan serasi.

Pernah, saya beli bedak compact eco 4 unit. Biasa saya beli, saya bayar, asing bakul. Tapi saya dah letih, teringin sesekali nerasa dia bayarkan.

Bukan mahal pun, tak sampai rm10. Itu pun dia dah bising. Sedih teramat masa tu mengenang nasib diri dapat suami berkira. Sedangkan saya dah banyak pengorbanan bayar macam macam untuk bantu dia.

Pendidikan anak anak, semua saya tanggung sepanjang sekolah rendah. Bila sekolah menengah, saya mahu rehat dan berikan part untuk dia sebahagiannya.

Sedihnya, apa yang berlaku dia tangguh bayar hingga jadi hutang. Hinggalah saya terpaksa bayarkan setelah bertahun anak saya tinggalkan bangku sekolah.

Sampai satu kes, anak lelaki tidak dibenarkan menyambung persekolahan kerana yuran tergantung selama 8 bulan. Semua di luar pengetahuan saya, kerana saya jaga part saya, tapi jika beri part pada dia pasti berlaku masalah.

Kadang ada masa, bukan tak mahu bantu, tapi saya dah penat. Biarlah berdikari sebagai suami. Itu yang berlaku hutang yang banyak. Saya makin nampak, dia mengambil kesempatan dengan caranya yang santai, senang hati sebab saya selalu bantu.

Baru baru ini, saya sudah tak tahan, fizikal menanggung stress dan masalah saraf menjadi jadi. Saya mengadu pada doktor yang merawat.

Ikutkan sejarah, saya pernah mengalami halusinasi. Saya perlukan kaunselor. Doktor beri surat rujukan ke psikatri untuk ke kaunseling.

Tapi saya tangguh. Saya sedang merancang untuk ke pejabat agama. Saya merancang untuk jual rumah di kampung yang saya sayang dan lupakan semuanya.

Saya mahu tinggal dan habiskan sisa sisa hidup saya di pondok warga emas (saya dah berurusan) supaya saya lebih tenang untuk beribadah dan mengakhiri hidup saya di sana, tanpa gangguan emosi yang berterusan daripada insan yang saya pernah sayangi.

Bantulah beri pandangan dan sokongan. Apakah yang perlu saya buat?

Saya bertahan selama ini kerana saya ikhlas dan fikir orang lain lagi susah. Mohon jangan kecam. Terima kasih dan minta maaf jika tulisan saya menyinggung sesiapa.