Masa tu kami pergi asing2 sbb dia kata ada urusan lain. Aku booking bilik asing tiba2 A ajak aku keluar

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Aku ingin kongsikan kisah hidup aku yang penuh liku. Aku berusia 30an, dan masih belum berkahwin.

Aku harap kisah yang aku akan ceritakan ini menjadi tauladan agar tidak ada lagi gadis yang akan terpedaya dengan janji manis lelaki durjana.

Kisah bermula ketika aku tamat belajar di universiti dan aku diterima bekerja setelah lebih setahun bertukar tukar kerja. Aku bekerja di bidang professional dan kedudukan kewangan aku agak baik.

Aku berkenalan dengan seorang pemuda, A di usia aku 24 tahun. A aku kenali melalui chatting online. Kemudian dari seorang kawan baik, kami menjadi kekasih.

A seorang yang sangat baik, caring, memahami dan terima aku seadanya. A seorang jurutera.

Sebelum A, aku tidak pernah ada hubungan serius dengan mana mana lelaki. Sekadar berkawan rapat atau cinta monyet sahaja.

Ditambah pula dengan latar belakang aku yang baik pegangan agama dan aku cukup menjaga batas hubungan.

Aku jarang bertemu A kerana komitmen kerjanya yang tidak menentu, ditambah pula kami tinggal di negeri yang berlainan.

Dalam sebulan mungkin sekali bertemu tetapi A akan message dan menelefonku setiap hari. Aku sangat bahagia dan menyangka bahawa A adalah cinta yang didatangkan tuhan untuk ku.

Aku selalu nyatakan kepada A untuk berkahwin kerana aku rasa tidak elok untuk terus bercinta.

Tetapi A mengatakan dia perlukan masa untuk kumpul duit dan sebagainya dan aku, kerana sayang, terima alasan itu seadanya.

Tidak ku sangka bahawa A akan mengambil kesempatan kepadaku. Tidak sama sekali.

Tragedi hitam ini berlaku menjelang tahun baru. A mengajakku untuk pergi bercuti di satu pusat peranginan yang sudah lama aku idamkan untuk pergi.

Kami pergi secara berasingan kerana A katanya ada urusan dan akan terus ke situ untuk berjumpa.

Aku booking bilik yang mempunyai 2 bilik yang berasingan. A sampai agak lewat malam. Setelah A sampai dia mengajak ku ke kawasan taman di luar untuk ambil angin katanya.

Untuk pengetahuan kalian, A tidak pernah menyentuhku sebelum ini. Hatta pegang tangan pun tak pernah.

Setelah pulang dari berjalan jalan di bawah aku terus ke bilik ku dan A memanggilku ke biliknya. Aku dengan kebdohanku pada waktu itu seakan tidak dapat berfikir lalu hanya menurut.

Dan malam itu aku serahkan segalanya kepada A. Kesucian diri yang aku pertahankan selama ini, diragut oleh A.

Dan selepas kejadian itu, aku seakan dipukau setiap kali A datang ke tempatku, kami akan melakukan perkara terkutuk itu. Ia berlarutan sehingga beberapa tahun.

Sepanjang tempoh itu aku menangis setiap kali aku bertaubat kerana aku tidak pernah melakukan dosa sebesar ini. Aku menggesa A untuk mengahwiniku tetapi dia sering beralasan.

Sehingga suatu waktu aku seperti ada instinct untuk menyiasat tentang A. Aku mintak tolong rakanku untuk menyamar sebagai agen insuran dan menelefon A.

Alangkah luluhnya hati ku bila mendapat tahu A sebenarnya adalah seorang pemuda yang telah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak.

Aku meraung menangis semahunya. Aku rasa bdoh, jijik dengan diri aku sendiri. Aku tidak pernah menyangka bahawa aku akan ditipu oleh A, satu satu nya lelaki yang paling aku sayang selepas bapak.

Aku rasakan diri aku sangat kotor. Selepas itu aku mengambil keputusan untuk berdepan dengan A dan dia agak terperanjat kerana tidak menyangka bahawa aku akan ketahui tentang dirinya yang telah berkahwin.

Aku putuskan hubungan, aku block nombor telefon A dan tidak lagi berhubungan dengannya.

Tetapi yang aku kesalkan, tiada langsung maaf atau sesalan dari A tentang apa yang telah dia lakukan kepada aku. Aku suci, aku naif ketika dia merampas segalanya dari aku.

Hingga kini, aku tidak percayakan lelaki. Aku berjanji kepada diri sendiri bahawa aku tidak akan percaya lagi dengan janji janji manis lelaki.

Siapa yang akan mengambilku sebagai isteri jika dia tahu cerita silamku? Aku kotor. Aku jijik. Aku malu dengan diriku sendiri.

Hingga ke saat ini, aku masih belum terbuka hati untuk mana mana lelaki. Aku tahu kalian akan mengatakan betapa bodohnya aku sewenangnya serahkan kesucianku kepada A.

Tetapi jujur aku katakan setiap kali berjumpa A, aku seperti mengikut segalanya.. merelakan semuanya.

Kemudian bila aku pulang ke rumah, aku akan menangis semahunya. Aku akan bersujud lama di sejadah. Aku bertaubat. Dan hingga sekarang aku masih setia menunaikan solat taubat.

Aku harap Allah swt akan mengampunkan segala dosa dosaku.

Dan jika kalian membaca cerita ini, mohon doakan aku agar aku diampunkan Allah swt, dikurnia rasa cinta dan akan berbahagia satu hari nanti.