Rasa macam ada orang masuk rumah aku. Nak bg tahu member tapi takut ada yang tak percaya. Last pasang cctv

Assalamualaikum dan Salam sejahtera semua.

Pengalaman mistik aku bermula lebih kurang pertengahan tahun lepas. Sebelum tu, izinkan aku perkenalkan diriku untuk kelangsungan cerita.

Aku lelaki berumur pertengahan 30-an. Single. Duduk di sebuah kondo di ibukota.

Sejak pandemik, aku bekerja di rumah. Asalkan kerjaku siap sebelum deadline dan bos puas hati, dia benarkan aku meneruskan kerja di rumah. Aku cuma pergi ke pejabat untuk mesyuarat mingguan.

Aku tinggal seorang dengan kucingku, Breta di kondo tersebut sudah 6 tahun. Untuk seseorang yang berpesonaliti ‘introvert’ sepertiku, memang situasi kediaman-kerja aku cukup ideal.

Memang aku cakap terus terang aku kurang percaya benda benda mistik dan sebelum ni tak pernah ada pengalaman sedemikian.

Aku pun tak minat tengok cerita seram. Aku lebih gemar cerita komedi dan anime.

Bila sebenarnya aktiviti mistik bermula, aku kurang pasti. Tapi ia berlaku secara kecil kecilan dan pada mulanya aku pun tak sedar.

Aku ingat kadang kadang aku terhidu bauan seperti rumput lepas hujan. Bau segar macam tu.

Padahal aku tinggal di tingkat 11 dan aku tidak ada bela tumbuhan dalam rumah. Bau paling kuat waktu subuh dan maghrib.

Bau tu tak menggangu sebenarnya dan agak menyenangkan. Jadi aku ingat mungkin juga bau sabun mop atau baju jiran yang di sidai di balkoni rumahnya. Jadi aku pun tak adalah mengesyaki apa apa yang pelik.

Beberapa minggu selepas tu, aku perasan barang-barang di rumahku di alih. Benda kecil kecil saja pada mulanya. Macam kunci rumah dan kunci kereta.

Kadang kalau aku masuk rumah, aku campak je kunci di meja makan. Keesokan harinya aku jumpa kunci tersebut dalam mangkuk tempat aku letak semua kunci kunci milikku. Elok tersusun.

Lepas tu aku perasan buku buku atau bahan bacaan yang aku bawa baca di bilik air masa aku lepas hajat, sudah dipindahkan dari atas tangki jamban ke rak buku tempat asalnya.

Aku masih tak pelik sebab aku ni pelupa orangnya. Mungkin aku yang pindahkan.

Kemudian aku perasan pinggan mangkuk yang aku tak basuh semalaman, esok pagi dah basuh dan tersusun rapi di rak tepi singki. Aku kata pada diriku yang mungkin aku tak sedar aku basuh pinggan.

Sama juga macam baju. Baju yang sudah dikeringkan, aku humban dalam bakul. Dulu sampai penuh bakul, baru aku lipat.

Tapi masa tu, bila aku tengok, dah sedia lipat atas sofa. Siap ikut jenis lagi – t-shirt, kemeja, seluar, pakaian senaman dan pakaian dalam. Haaaa yang ini susah sikit aku nak ‘explain’ sebab kalau aku lipat memang tangkap muat je.

Ini lipatannya macam baru beli di kedai. Siap susun ikut warna lagi.

Dalam masa yang sama ada lagi benda yang tak masuk akal tapi semuanya baik baik saja.

Paling aku hairan, satu hari aku balik dari pejabat, aku tengok ada makanan atas meja. Panas lagi. Nasi dan sup sayur.

Bukan tu saja. Breta pun dah kenyang makan ‘wet food’nya. Aku tak sempat pun bagi sebelum aku keluar tapi aku nampak ketul ketul makanan tak habis dalam mangkuknya. Breta pun dah selamat tidur terbongkang kaki ke atas, kekenyangan.

Aku pun telefon Kak Hamsiah, seorang warga Indonesia yang datang seminggu sekali ke rumahku untuk mengemas.

“Terima kasih, Kak, beri makanan pada saya dan Breta,” kataku.

Dia kata dia tak datang ke rumahku. Katanya dia sudah seminggu kena C0vid. Jadi masih dalam kuarantin. Lagi pun dia tak ada kunci rumahku. Tak ada siapa lagi pegang kunci rumahku.

Masa ni aku mula rasa tak sedap. Aku yakin yang ada orang masuk rumahku dan alih barang barang ku.

Tapi tak kan aku nak telefon polis kot? Apa aku nak kata?

“Hello pulis. Ada orang masuk rumah saya, kemas barang barang saya dan siap masak untuk saya!”

Nak cakap pada kawan kawan pun, tak ada yang aku rasa boleh bincang benda pelik macam ni. Aku rasa mesti diaorang gelak dekat aku.

Jadi aku beli dan pasang kamera cctv di ruang tamu dan bilikku. Malam tu aku tidur nyenyak juga sebab aku yakin yang misteri di dalam kondo ini akan terjawab.

Mula mula aku periksa cctv dalam bilik tidur melalui phoneku. Biarpun gelap, cctv ni mempunyai ‘night vision’ kerana ada pilihan infra-red automatik.

Kamera diletakkan di atas meja ‘study’ depan katilku. Jadi aku nampak dalam screen phone aku tengah bersiap siap nak tidur.

Lepas tu Breta naik atas katil dan jilat jilat badannya di kakiku. Lama juga Si Breta ni mandi. Tapi badan masih berbau hamis.

Lebih kurang pukul 2 pagi aku nampak Breta main main dengan kakiku sebelum melompat ke meja study. Aku nampak hidungnya menghidu kamera cctv tersebut sebelum ditolaknya semua ke bawah meja.

Rasa macam nak cekik je kucing gendut tu. Nasib sayang. Aku tengok cctv di ruang tamu juga tak ada apa yang bergerak atau terusik. Hampa juga rasanya.

Kejadian kemas mengemas dan bauan seperti rumput masih lagi berlaku. Aku pun pasrah saja. Asal dia tak kacau. Aku tengok Breta pun macam selesa je. Tak ada pula dia ‘hiss’ atau ketakutan.

Aku pun rasa selamat sebab selalu orang kata binatang ni ada ‘sixth sense’. Pernahlah sekali-dua Breta tengok je pada satu tempat. Tapi aku rasa tu dia tengok cicak la tu.

Aku rasa aku hidup macam tu berbulan bulan juga. Rasa pelik masih ada tapi aku buat tak peduli.

Sehinggalah satu malam, aku basuh baju lewat sikit sebab sibuk menyiapkan kerja. Bila dah letak baju kotor dan sabun dalam mesin basuh, aku pun tutup pintu mesin basuh.

Aku pakai mesin ‘top loader’, jadi aku tutup bahagian atas. Kebetulan aku pasang lampu dapur, lampunya berada betul betul atas mesin basuhku dan pintu mesin basuh diperbuat dari kaca.

Jadi bila aku tutup pintu mesin, aku nampak di kaca pintu mesin tu, refleksi bayang dari atas siling. Bayang tu bentuknya seperti manusia.

Aku terkejut sampai terjatuh ke lantai. Aku tak rasa sakit pun. Tapi aku masih tak faham apa yang aku tengok tu. Aku tengok di siling, tak ada apa apa.

Aku pun pergi balik tengok betul betul di pintu mesin basuh. Bukan nak kata berani tapi sel-sel otak macam tak berhubung.

Betul ke apa yang aku tengok tu? Mesin basuh sedang berkocak air di dalamnya dengan buih buih sabun. Tapi aku masih boleh lihat refleksi dari atas siling.

Bayang hitam tu ada lagi. Kali ni aku boleh lihat dengan lebih jelas rambutnya panjang terurai ke bawah, jadi mukanya tak nampak. Bagus la juga.

Posisi badannya macam merangkak terbalik atas siling tapi aku tau matanya memandang aku di bawah. Hanya sesaat dua saja, lepas tu aku nampak dia merangkak lari di atas siling. Macam lipas tu.

Aku memang tak tunggu lama. Aku ambil carrier kucing dari bilik setor, aku sumbat Breta dalam tu, ambil kunci kereta, terus cabut keluar.

Dalam kereta pun aku masih mengigil. Nak ‘unlock’ phone pun sampai beberapa kali cubaan. Aku panggil kawan sekerja yang paling dekat, Mat, tanya boleh tak bermalam di rumahnya.

Dalam kereta aku kejap kejap tengok bumbung kereta, tengok tempat duduk belakang takut ‘maid’ tak rasmi aku ikut. Nak harapkan Si Breta, dia dah tidur dalam carrier di belakang sebab suka sejuk aircon.

Mungkin sebab lama tinggal dengan aku, dia punya ‘sixth sense’ pun macam tak berfungsi.

Tak malu aku mengaku yang bila sampai di rumah Mat, aku macam kena histeria. Nasib anak bininya dah tidur. Aku ceritakan semuanya pada Mat.

Pagi tu kebetulan dia pun ‘off’ kerja. Dia ajak aku pergi rumah ayah mertuanya. Ayah mertua Si Mat ni orang alim juga, pensyarah pencen. Orang panggilnya Professor tapi lama-kelamaan namanya jadi Prop.

Aku cerita balik pada Prop dan dia cadangkan kami bertiga kembali ke kondoku.

Bila masuk kondo, sunyi saja. Pintu tak berkunci sebab aku kelam kabut keluar semalam, lupa nak kunci pintu. Prop minta aku penuhkan sebuah besen plastik dengan air.

“Ha kau duduk sini,” aku di arah duduk di tengah tengah ruang tamu, besen air di depanku. Prop menunding jarinya pada besen suruh aku tengok dalam besen.

Bayangan yang aku lihat semalam ada di siling, tepat di atas kami. Tak bergerak tapi dengan sinar cahaya matahari dari luar nampak dengan jelas. Meremang bulu roma aku. Mat dah mula berazan dah.

Bila dilihat dengan mata kasar di siling, tak nampak apa apa.

“Kau ada bela khadam ke?” Prop tanya aku. Paling akhir aku dengar perkataan ‘khadam’ tu masa aku tengok cerita P. Ramlee, Tiga Abdul.

“Ish…mana ada Prop. Apa benda tu?”

Prop ajak kami keluar balik dari kondo tu.

“Dia tu dah ikut kau lama. Kau tak nampak dia atau bayang dia sebab dia ikut ke mana kau pergi dalam rumah tu dari atas siling.”

Ooo tidak… aku terbayang sepanjang aku ada di rumah, dia merangkak dekat atas tu. Dok tengok aku tengok tv, aku kerja, tidur, aku mandi… dan lain lain.

Katanya khadam ni adalah orang suruhan. Tapi dalam dunia mistik pun ada yang pakai orang suruhan halus, walaupun syirik.

Ada benda yang aku simpan menjadi ‘tanda’ aku adalah tuannya. Tanda tu mestilah dipersetujui kedua pihak. Khadam dan tuannya.

Jadi Prop suruh aku fikir baik baik ada tak barang yang aku tak perasan tapi masih aku terima. Aku pun tak dapat nak proses segala yang dijelaskan oleh Prop.

Aku dan Breta tinggal di rumah Mat dalam beberapa hari. Aku tak sanggup duduk di hotel keseorangan. Takut tengok atas siling.

Aku dan Mat pergi ke kondo untuk ambil laptop ku, baju baju dan barang keperluan Breta. Mat buka app baca Yasiin dan surah surah lain sepanjang masa aku berkemas.

Tengah aku punggah barang, aku nampak bungkusan shopee dalam almariku. Kadang aku suka beli baju bundle tapi bila sampai, tak buka kotak. Sebab saja suka tengok parcel tak berbuka. Macam dapat hadiah.

Aku koyakkan kotak dan keluarkan baju bundle yang dibeli. Ada 2 kemeja kerja dan sepasang seluar jeans jenama Lee Cooper. Nampak ‘vintage’.

Aku cari cari ada tak lagi barang yang tercicir dari kotak. Tiada. Tergerak hatiku untuk meyeluk poket seluar jeans. Aku rasa ada benda kecil berbentuk silinder.

Bila dikeluarkan rupanya ada botol lutsinar panjang dan tirus disambung pada keychain. Dalam botol tu ada sejenis cecair kuning dan sesuatu yang kelihatan seperti beberapa helaian rambut hitam.

Aku tunjuk Mat. Dia jerit, “Confirm!!”

Aku cuba ‘chat’ dengan penjual bundle di app Shopee tapi kedainya dah tiada. Aku rasa bila aku terima bungkusan shopee tersebut dari abang J&T, di kira aku terimalah semua benda dalam bungkusan tersebut. Termasuk khadam hantu.

Kalau aku masih boleh tulis review barang dia, aku bagi 1 bintang je! Hati marah membuak buak.

Keychain botol khadam tu kemudiannya diserahkan pada Prop dan ahli ahli ilmuan untuk ‘dibebaskan’ di tempat yang sepatutnya.

Sejujurnya, aku tak salahkan khadam tu. Dia pun tak minta untuk diposkan padaku sebegitu. Aku tak tahu asal usulnya dan tak nak tahu.

Selepas khadam dibebaskan, aku dan Breta balik semula ke rumah. Mula mula takut juga tapi tiada sebarang gangguan lagi.

Rumah pun mula bersepah kembali seperti sebelum gangguan. Tak apalah. Aku mula tengok youtube belajar cara lipat baju dengan kemas.

Yang penting, jadikanlah pengalamanku sebagai pengajaran. Berhati hati beli barang online.

Bukan saja kerana scam. Periksa barang dibeli sebaik mungkin, kerana nanti kau beli barang, dapat free khadam hantu.