Saya kasihankan isteri angah sebab sungguh saya rasa bersalah pada dia. Dipandang rendah oleh ibu mertua

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. saya adalah seorang lelaki, suami dan ayah yang boleh digelar Pak Tam.

Saya merupakan seorang ayah kepada 6 orang anak, 3 lelaki dan 3 perempuan. Anak pertama hingga ketiga, semuanya lelaki dan 3 yang terakhir adalah perempuan.

Hebat sungguh kan perancangan Allah, tersusun cantik. Alhamdulillah. Kesemua anak anak saya telah mendirikan rumahtangga bersama pilihan hati masing masing.

Alhamdulillah, kesemua anak saya merupakan insan yang berjaya cuma yang ketiga tidak menyambung pelajaran kerana dia lebih berminat dalam bidang perniagaan. Kini, perniagaan dia semakin maju hasil kerja kerasnya selama ini.

Ketika anak anak saya mula membesar dan menyatakan hasrat ingin membina keluarga, hati saya pasti berdebar debar.

Untuk anak lelaki, bolehkah dia mendidik dan membimbing keluarganya kelak? Terlalu besar tanggungjawab seorang suami yang perlu digalas.

Dan untuk anak perempuan, ini yang paling mendebarkan. Bolehkah dia diterima di dalam keluarga barunya? Bolehkah dia menyesuaikan diri dengan persekitaran baru? Risau. Sungguh saya risau.

Anak pertama yang berkahwin ialah angah, seorang pegawai perubatan dan isterinya juga memegang jawatan yang sama.

Pada mulanya segalanya indah belaka sehinggalah anak pertama dan ketiga juga turut berkahwin.

Along bekerja sebagai penjawat awam dan isterinya seorang pendidik manakala Ateh membuka perniagaan kecil kecilan yang dibantu isterinya.

Apabila mempunyai tiga menantu perempuan, isteri saya mula menunjukkan sikap membanding bandingkan menantu.

Isteri Angah menjadi sasarannya kerana rumah mereka yang kurang terurus berbanding menantu yang lain.

Baju kain tidak dilipat dengan baik, dihimpun di dalam bakul. Susun atur rumah agak berterabur, agak berhabuk dan jarang memasak. Sangat berbeza dengan menantu yang lain.

Rumahnya tidak kotor, bersih sahaja cuma nampak yang dia tidak mengemas secara teliti di rumahnya. Itupun kami tahu ketika berkunjung ke rumahnya secara tiba tiba.

Untuk pengetahuan pembaca, anak saya yang keempat dan kelima menetap bersama Angah kerana tempat kerja dan belajar mereka berdekatan dengan rumah Angah.

Apabila tiba musim PKP, anak saya yang keempat dan kelima pulang ke kampung kerana terpaksa work from home dan kuliah ditangguhkan.

Hampir dua minggu duduk bersama mereka, setiap hari saya boleh katakan isteri saya akan menjerit menyuruh mereka membuat kerja.

Saya memerhati dan memikirkan sejenak, jika isteri saya tidak menyuruh anak anak membuat kerja rumah pasti mereka hanya duduk diam di dalam bilik sahaja.

Mereka melipat baju kerana disuruh, basuh pinggan, menyapu rumah dan menolong ibu mereka memasak juga kerana disuruh.

Dan tentunya, bangun pagi jarang sekali. Selepas solat subuh berjemaah, mereka ke katil semula kecuali jika anak keempat ada meeting online pada pagi hari tersebut.

Akhirnya saya memanggil isteri dan mengajaknya berbincang. Saya bentangkan padanya tentang perangai anak anak perempuan kami. Saya bandingkan juga dengan menantu yang sering isteri rungutkan.

Sebagai seorang kakak ipar, saya rasa tidak mungkin isteri Angah akan menjerit meminta mereka membuat kerja rumah. Dengan anak yang sedang membesar dan waktu kerja tidak menentu, tentunya dia tidak mempunyai waktu lapang.

Saya katakan pada isteri, di saat dia merungut menantu belum keluar dari tempat tidur, cuba dia perhatikan juga di mana anak anak kami?

Di saat dia merungut menantu malas menyapu dan memasak, di mana anak anak kami? Isteri diam dan tidak lama selepas itu dia menelefon isteri Angah meminta maaf.

Isteri Angah mengatakan dia perasan sahaja mak selalu menyindir dia di status Whatsapp atau di Facebook, tetapi dia diamkan kerana hanya dia sahaja yang tahu apa yang dia sedang lalui.

Dan dia juga meminta maaf kepada isteri saya kerana tidak menjaga anak kami dan rumah dengan baik.

Luluh hati saya. Kasihannya isteri Angah. Sungguh saya rasa bersalah padanya. Sudahlah dua anak perempuan saya di bawah jagaan dia dan Angah, dipandang rendah oleh ibu mertua pula.

Selama tiga tahun adik adik iparnya menetap bersama, segala kebajikan mereka dijaga dengan baik. Apa lagi yang kami harapkan dari dia?

Pada saya, setiap ibu bapa yang mempunyai menantu mestilah sentiasa muhasabah kembali keluarga sendiri.

Menantu ialah insan yang bukan dididik oleh kita, mereka dididik oleh orang lain. Sedangkan anak yang kita jaga dari kecil juga tidak memenuhi apa yang kita inginkan, apa lagi anak orang lain?

Muhasabah semula keluarga sendiri. Ketika kita merungut menantu malas memasak, lihat semula anak anak kita malas atau rajin.

Ketika kita menyindir menantu malas mengemas rumah, lihat semula di mana anak anak kita.

Dan ketika kita membuat muka masam jika menantu bangun lewat, tengoklah jam dan perhatikan pkul berapa anak kita bangun tidur.

Mendapat menantu yang pandai masak ialah rezeki. Mendapat menantu yang suka mengemas juga rezeki.

Mendapat menantu yang tidak memasak dan jarang mengemas, tetapi kaya dengan budi bahasa dan sopan santun juga adalah rezeki. Yang penting rumah bersih, tidak kotor dan menjijikkan.

Begitu juga dengan menantu lelaki. Mendapat menantu lelaki yang rajin menolong isteri juga rezeki.

Mendapat menantu yang pandai menukang dan membaiki perkakas juga adalah rezeki. Mendapat menantu lelaki yang pemurah juga rezeki. Asalkan mereka menjaga anak kita dengan baik, sudah cukup.

Tidak perlu mengharapkan lebih dari mereka. Terima sahaja apa adanya. Sebagaimana anak anak yang bermacam ragam, begitu jugalah menantu.

Alhamdulillah sekarang semuanya tenang tenang sahaja. Anak anak perempuan pun sudah berkahwin dan saya langsungkan dalam satu majlis sahaja.

Walaupun takut melepaskan mereka, tetap saya sentiasa doakan mereka berubah menjadi lebih baik dan disayangi keluarga mertua.