Aku tahu family aku teruk layanan pada Jannah. Seperti orang gaji diperlakukan pada Jannah walhal dia isteri aku yang sah

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Aku tidak tahu, kepada siapa patut aku adukan luahan hati aku ini. Tambahan pula, aku tidak pandai untuk meluahkan perasaan hati aku kepada orang.

Sudah nama pun lelaki, memang aku pilih untuk lebih pendam seorang diri.

Lanjutan kepada cerita aku, sebelum aku bernikah dengan isteri aku, aku sudah nampak layanan setiap orang aku kepada dirinya.

Terkadang aku rasa, dunia ini terlalu zaalim buat dirinya. Isteri aku yang bernama, Jannah. Seorang wanita yang sangat istimewa dihati aku.

Hatinya mulia, semulia namanya. Seorang yang sangat ikhlas di setiap perbuatannya. Lemah lembut tutur katanya, seorang yang penyayang, ceria dan wanita yang paling indah yang pernah aku temui di dalam hidup aku.

Sewaktu di zaman universiti, begitu ramai jejaka yang ingin memiliki Jannah.

Jannah tidak pernah cerita kepada aku, tentang ini setelah kami kahwin tapi aku tahu kerana aku juga salah seorang yang menyimpan perasaan terhadap Jannah.

Beliau seorang yang sangat anggun. Baik budi pekerti dan peramah terutama kepada tenaga tenaga pengajar kami di universiti.

Jannah dan aku dahulunya satu course yang sama. Aku selalu melihat beliau dari jauh. Jannah selalu melebihkan orang lain dari diri beliau sendiri.

Beliau sentiasa memikirkan orang lain dari diri sendiri sehinggalah sudah kahwin pun, beliau masih seperti itu.

Apabila sudah jodoh, tidak akan kemana. Aku tidak tahu, bagaimana aku menjadi rapat dengan Jannah. Dia terlalu baik untuk aku.

Aku tidak pernah berangan untuk memiliki dia kerana aku tahu, aku tidak layak untuk dirinya.

Aku lelaki yang biasa sahaja jika hendak dibandingkan dengan lelaki lain yang cuba untuk menawan hati Jannah.

Tetapi, Jannah tidak pernah melayan usikan sesiapa yang cuba menambat hatinya.

Dia sentiasa fokus dengan pelajaran, dia seorang yang berwawasan tinggi. Jannah selalu bercerita kepada aku bahawa dia ingin menjadi seorang akauntan yang terulung di Malaysia. Aku tidak pernah jemu mendengar Jannah bercerita.

Terkumat kumit mulutnya, sangat comel apabila di pandang. Jannah membawa kebahagian dalam hati aku. Aku sangat cintai Jannah tetapi di dalam diam.

Siapalah aku. Hanya, yang aku mampu adalah memastikan Jannah sentiasa gembira, sihat dan selamat.

Sejak aku jatuh hati kepadanya, aku sudah berjanji aku tidak akan biarkan sesiapa menyakiti hatinya.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Akhirnya, kami berjaya di dalam kerjaya masing masing.

Dan waktu ini, barulah aku mempunyai keberanian untuk melamar Jannah menjadi suri hati aku.

Alhamdulillah, majlis kami selesai dengan lancarnya, tidak aku sangka aku berjaya memiliki Jannah sebagai isteri aku. Cantik sangat isteri aku ketika beliau memakai busana pengantin berwarna putih itu.

Masih segar dalam ingatan aku biarpun sudah hampir 2 tahun kami bergelar suami isteri.

Ya, aku sudah berjanji untuk menjaganya, membahagiakannya. Namun aku gagal. Aku gagal membuatnya bahagia.

Jannah isteri yang sangat baik dan penyayang. Sikapnya tetap sama, ketika awal dahulu aku mengenali dirinya. Dia sentiasa mendahului orang lain daripada dirinya sendiri sehingga diri beliau sendiri terluka.

Aku tahu, Jannah terluka dengan sikap dan perangai dari ahli keluarga aku.

Aku tahu, aku suami yang gagal kerana aku membiar mata aku buta melihat kezaliman yang keluarga aku lakukan kepada Jannah. Aku juga pekakkan telinga ketika Jannah mengadu kepada aku tentang perasaannya.

Walaupun aku tahu, keluarga aku zalim kepadanya tetapi, Jannah tidak pernah mengeluh atau memburukkan keluarga aku dihadapan aku, apatah lagi dihadapan orang lain.

Suatu hari itu, Jannah mengajak aku berbincang. Lembut sahaja dia berkata,

“Abang, Jannah tak nak menyusahkan Abang tapi, Jannah nak ajak Abang jalani hidup baru dengan Jannah di rumah baru, boleh ?”.

Aku tidak tahu, kenapa aku tengking Jannah waktu itu.

Aku rasa, Jannah seperti mahu aku mengabaikan tanggungjawab aku sebagai anak yang patut menjaga orang tua aku.

Aku rasa, Jannah seperti mengajak aku tinggalkan orang tua aku. Aku marah Jannah. Aku tengking Jannah sehingga beliau mengangis.

Tetapi, Jannah tidak pernah marahkan aku balik, sebaliknya beliau cuma berkata,

” Jannah minta maaf sebab Jannah tak faham perasaan abang. Abaikan permintaan Jannah tadi ya “. Jannah ingin salam dan cium tangan aku tetapi, aku lari dari dia.

Aku tidak tahu, kenapa aku melukakan hati orang yang dahulu aku janji untuk menjaga dirinya sebaik mungkin.

Aku mengambil kunci kereta, aku keluar tenangkan fikiran yang kusut.

Aku tinggalkan Jannah sendiri di rumah orang tua aku. Aku tidak faham dengan diri aku. Aku tahu Jannah terluka.

Ada satu tahun itu, aku mendapat bonus yang banyak hasil dari titik peluh aku. Aku bercadang untuk membawa Jannah berjalan jalan makan angin.

Orang tua aku membantah. Katanya, daripada aku bazirkan duit lebih baik aku gunakan untuk tolong mereka baiki atap rumah yang selalu bocor itu.

Aku bdoh. Aku tidak pernah fikirkan perasaan Jannah waktu itu. Aku cuma fikirkan orang tua aku sahaja. Aku minta maaf kepada Jannah.

Tetapi, Jannah cuma diam dan memberi senyum nipis kepada aku. Aku tahu dia kecewa. Tetapi, aku kasihan akan orang tua aku juga.

Aku tahu, keluarga aku zalim terhadap Jannah. Jannah selalu diabaikan tidak kurang seperti orang gaji dirumah orang tua aku. Padahal dia adalah isteri aku.

Aku juga bdoh, cuma diam sahaja. Sehingga Jannah menjadi seorang yang pendiam. Tersangat pendiam. Beliau selalu termenung.

Baru baru ini, Jannah dibawa ke hospital kerana beliau mengkelar tangannya sendiri. Prestasi pekerjaan aku juga menurun kerana, terpaksa ambil emergency leave berhari hari kerana Jannah sentiasa sakit. Jannah selalu meracau.

Waktu itu, baru aku sedar Jannah menghidap penyakit kemurungan tahap yang paling teruk sekali.

Aku rasa bersalah terhadap Jannah. Bersalah terhadap keluarganya. Keluarga Jannah tidak putus putus bertanya kepada aku, bagaimana Jannah boleh jadi seperti ini.

Aku hanya mampu menangis di dalam hati apabila ditanyakan soalan itu.

Aku suami yang gagal. Aku gagal menjaga Jannah dengan baik. Aku gagal menjadi suami yang sempurna buat Jannah.

Aku rindukan Nurul Jannah yang ceria, aku rindukan Nurul Jannah yang petah berkata kata.

Aku rindu ingin dengar Jannah bercerita kepada aku seperti dahulu.

Aku rindu ingin melihat wajah manisnya yang sentiasa tersenyum bahagia.

Aku rindu ingin melihat wajahnya yang merah malu apabila aku pujinya cantik.

Aku rasa begitu tertampar dengan apa yang terjadi kepada Jannah. Aku minta maaf kepada orang tua Jannah.

Aku ingin meluahkan rasa kesal aku kepada mereka dan menceritakan tentang apa yang berlaku kepada Jannah sehingga beliau menjadi seperti itu tetapi, Jannah menyuruh aku untuk tidak membuka aib keluarga aku.

Butanya aku ya Allah, aku sia siakan pengorbanan bidadari syurga aku.

Aku minta maaf kepada Jannah, tetapi Jannah seperti sudah tawar hati kepada aku. Keluarga aku juga mohon maaf kepada Jannah. Namun Jannah bagai endah tidak endah sahaja memaafkan mereka. Aku tahu Jannah masih terluka dan kecewa.

Aku berbincang dengan keluarga aku untuk membawa Jannah pindah di rumah baru, rumah kami sendiri untuk membina kehidupan yang baru.

Keluarga aku kini, faham akan situasi aku. Mereka juga sudah menerima Jannah seikhlas hati mereka.

Tetapi wajah Jannah kosong. Baginya, itu semua sudah tiada apa apa. Aku juga ingin membawa Jannah berjalan makan angin untuk mengembalikan keceriaan diwajahnya.

Namun, aku ini umpama tunggul dimatanya.

Aku tahu, cinta Jannah terhadap aku sudah pudar. Tetapi, aku janji aku akan cuba membuat Jannah jatuh cinta kembali kepada aku seperti dahulu.

Biarpun seribu tahun untuk aku buatkan dia jatuh cinta kepada aku, akan aku tunggu kerana, kasih sayangmu Jannah lebih besar dari penantian seribu tahun itu. Tidak akan aku siakan peluang kedua ini.

Kepada suami diluar sana, ya tahu, syurga dibawah telapak kaki ibu tetapi seorang suami yang menzalimi isterinya juga akan menjadi asbab kita ini menjadi ahli neraka.

Setitis air mata isteri yang menangis kerani kezaliman dari suaminya, akan menjadi penarik buat si suami ke lembah api neraka.

Berbuat baiklah pada keduanya dan jangan sia siakan isteri kita.