Dua minggu yg lepas dpt tahu ex tunang dah kahwin. Aku tak tahu punca mungkin sbb H kot

Hi Semua! Assalammualaikum. Erm, macamana nak mula ya? Okay. Let me start. Harini hari Jumaat, hari yang barokah untuk kita berdoa.

Tolong doakan aku ya. Aku tak pandai menukarkan perasaan kepada kata. Maaf andai penulisan aku seperti berterabur. Sebab hati terlalu sedih tiada tempat untuk bercerita.

2 minggu lepas, aku dapat tahu ex tunang aku dah pun berkahwin. Kami putus sejak tahun lepas tanpa aku tahu kenapa, mengapa dan apa punca dia mahu putuskan pertunangan itu.

Tapi, aku akur..

Emak bilang, jangan lebih sudu dari kuah. Orang dah tak mahu kenapa masih merayu?

8 tahun bukan jangka masa yang sekejap, aku yang bersama dengan dia dari dia tiada apa, dari dia cuma jalan kaki dan pakai kenderaan awam sehinggalah dia mampu beli kereta H dia tu.

Tu pun minta aku cover sikit untuk duit bulanan nak service kereta dia. Sesiapa yang pakai H tahulah berapa kos untuk service bila sudah tiba masanya.

Tu tak cerita lagi bila dia hutang dengan Ah Long sehinggakan Ah Long tu cari dia untuk jelaskan hutang tu, duit aku juga yang cover dia.

Aku pernah bertanya kenapa tak minta tolong ibu atau ayah dia? Dia bilang dia tidak mahu menyusahkan kedua ibu bapanya. Lepastu kau ingat aku kaya sangat ke nak cover semua benda untuk kau?

Dia di depan ibu bapanya sangat kontra dengan apa yang dipamerkan kepadaku. Di depan ibu bapanya, dialah anak terpaling hebat, terpaling akur.

Sedangkan di belakang, aku sahaja yang tahu perangainya.

Aku tahu hubungan kami sangat toksik, tapi 8 tahun bukan jangka masa yang sekejap. Bak kata Beto, bila dua hati sudah sebati, susah untuk dileraikan.

Aku rasa bdoh, sebab aku rasa aku bazirkan masa, wang untuk hubungan yang sia sia. Aku sudah di hujung 20 an. Hati terasa masih ada kah yang ingin menyunting aku?

Aku pernah bertanya dengan ibunya, kenapa anak lelaki dia berbuat begitu kepadaku?

Ibunya bilang dengan mudah, ibunya lihat dia semakin matang selepas kami tiada hubungan apa apa dan dia melepaskan aku supaya aku boleh bersama dengan orang lain yang benar menyayangiku.

Jika begitu, kenapa tidak lepaskan aku dari awal perhubungan? Kenapa ikat aku bertahun tahun dan pergi dengan mudah sekali?

Aku ingin bertanya dengan lelaki di luar sana, kalian tidak rasa bersalah ke bila buat anak perempuan orang lain begini? Kenapa dengan mudahnya kalian berubah hati?

Aku selalu bertanya dengan kawan lelaki ku yang lain, apa kurangnya layanan aku kepada dia?

Aku seorang perempuan yang tidak meminta minta, apa yang aku inginkan aku beli pakai wang aku sendiri. Aku bukan seorang yang mudah merengek sekiranya pasangan tidak melayan kehendak ku.

Sepanjang 8 tahun perkenalan itu, tiada satu pun hadiah yang pernah diberi kepadaku.

Setiap ulang tahun kelahiranku, kami cuma akan pergi makan di kedai tomyam atau kedai fast food kegemaranku, itu sahaja dan itu lebih dari cukup.

Bukan itu sahaja, dia seorang yang tidak mempunyai kerja tetap.

Dia merupakan seorang freelance dan kepada setiap client yang dia berkerja, dia akan menukar identiti dan namanya, pernah sekali dia meminta aku untuk menyamar menjadi partner business dia.

Adakah ini normal? Tapi sebabkan sayang, aku masih bersama dengan dia. Bdoh kan?

Kadang aku tertanya. Sebagai seorang lelaki, apa yang kalian inginkan lagi?

Aku wanita yang boleh dikatakan memiliki ciri ciri yang setiap wanita mahukan, kurus, tinggi, putih. Aku memiliki wajah seakan wanita siam, kerana ibu ku merupakan orang Pattani.

Aku memiliki kerja yang stabil dan menguruskan kewangan aku sendiri. Aku seorang yang menyayangi anak anak kecil dan seorang yang tidak berkira. Tapi mengapa dia masih pergi?

Aku dalam fasa untuk move on dari dia, tipulah cakap kalau kadang kadang rindu itu tidak menjelma.

Aku sedang dirawat di klinik psychiatry kerana aku hilang fokus untuk berkerja. Oh ya, tarikh nikah dia adalah tarikh yang sama kami patut bernikah.

Untuk kamu, tahniah. Selamat pengantin baru. Tapi, kejamkah aku seandainya aku ingatkan kifarah Allah itu ada?

Aku juga turut di diagn0-se dengan MDD. Doakan aku kuat ya. Penat ulang alik klinik hanya disebabkan ini. Aku terasa aku sangat lemah.

Hanya disebabkan putus cinta. Doakan aku ditemukan jodoh yang baik yang ikhlas menyayangiku dan boleh membawa aku ke syurga ya.

Semoga doa doa baik yang kalian berikan, melantun semula kepada kalian.