Bila tiap kali isteri nak bermanja mesti aku akan rasa nak marah dan rasa menyampah. Kalau aku tak kawin oun tak apa boleh hidup sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Usia pernikahan aku dan isteri masih mentah. Masih belum melepasi fasa ujian perkahwinan 5 tahun.

Sejak kecil, walaupun aku lelaki, aku telah diajar oleh emakku melakukan segala kerja kerja rumah seperti membeli barang mentah.

Sejak kecil aku diajar cara memilih ikan, ayam dan daging yang segar, menyiangnya dan membantu memasak.

Selain itu, Aku turut diajar dari kecil membasuh baju, melipat baju, menyidai pakaian di ampaian, mengemas rumah dan lain lain kerja rumah.

Oleh itu, sudah terbiasa untuk aku melakukan segala kerja rumah sehinggalah aku meningkat dewasa.

Lebih lebih lagi aku melanjutkan pelajaran peringkat menengah di salah sebuah sekolah berasrama penuh yang dilatih dengan penuh disiplin.

Dipendekkan cerita, akhirnya aku berkahwin. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur dikurniakan keluarga mentua yang sangat baik.

Aku juga sangat bersyukur kerana keluargaku juga menerima isteriku seadanya dan melayannya dengan baik.

Tetapi hakikatnya apabila pernikahan kami sudah mencecah usia beberapa tahun, hari hari aku berperang dengan perasaanku sendiri.

Betulkah tindakan aku dahulu menerima isteriku sewaktu dia telah mengaku dahulu tidak reti memasak, tidak pandai melakukan kerja kerja rumah dan berjanji akan belajar sedikit demi sedikit.

Long short story, aku pada usia awal perkahwinan menerima dan cuba memahami jika masih tidak mengetahui melakukan segala kerja rumah dan memasak.

Fikirku, asalkan ada kemahuan belajar, aku akan mengajar dan waktu itu. Aku yakin isteriku nanti pasti akan berusaha untuk belajar.

Namun, melewati usia perkahwinan yang dah beberapa tahun, aku jadi rasa nak marah sahaja setiap kali isteri ingin bermanja.

Fikirku, jika aku tidak kahwin dulu pun tidak mengapa, aku mampu hidup bersendirian.

Masakan tidak, sepanjang beberapa tahun berkahwin ni, hanya beberapa kali isteriku memasak.

Kebiasaannya aku memasak. Begitu juga soal membersihkan tandas, membuang sampah, mengemas rumah.

Aku memahami dia yang membantu aku mencari nafkah dengan bekerja, maka aku pun melakukan segala kerja rumah untuk meringankan tugasnya di rumah.

Tetapi, lama kelamaan, aku merasakan seperti kami telah bertukar peranan. Sepertinya aku isteri, dan dia suami.

Perasaanku seolah olahnya seperti itu.

Aku semakin geram, jika aku yang bercakap dan menasihatinya seperti gaya pemakanan sihat atau motivasi kerja, nasihatku ibarat mencurahkan air ke daun keladi.

Tidak pernah dianggapnya penting dan hanya mengiakan sahaja tanpa membuatnya.

Tetapi jika nasihat yang sama, sebiji seperti apa Aku sampaikan, datang dari mulut orang lain, bukan main dia percaya. Sebagai suami, aku pastinya terasa hati.

Begitu juga tugas tugas memasak ini. Aku faham, sebagai wanita bekerjaya, aku bertoleransi untuk membantunya memasak atau membeli makanan dari luar sahaja.

Tetapi sebagai seorang suami, tipulah aku kata jika aku tak teringin nak merasa makanan hasil air tangan seorang isteri.

Jika tak, apa guna aku berkahwin kan?

Bab kebersihan tandas, kadang kadang sampai berkulat naik. Selagi tidak aku menyental sehingga bersih, sehingga itulah kulat itu menempel di dinding tandas.

Bab membasuh pakaian begitu juga. Selagi tidak aku membasuh pakaian dalam bakul, selagi itulah menggunung pakaian kotor.

Sampah pun katanya memang kerja orang lelaki, jadi memang biasanya akulah yang membuangnya.

Tetapi bila aku bertanya jika dia pernah nampak ayahnya membuang sampah, dia kata tak pernah.

Sebab mata aku sendiri menyaksikan segala kerja rumah di rumahnya dilakukan oleh mak mertua, ayah mertuaku seperti raja.

Bukan bermaksud ayah mertuaku tidak bertanggungjawab, tetapi sudah ada mutual understanding peranan suami isteri.

Aku sudah banyak kali slowtalk dengan isteriku dan berbincang tentang ini. Tetapi seperti tiada perubahan.

Sehinggakan aku rasa menyampah dengan isteriku apabila dia bermanja manja.

Aku juga makin lama apabila bercakap, aku perasan aku seperti hanya mahu marah marah sebab bagi aku, slowtalk pun tak pernah berjalan.

Di manakah silapku?

Salah akukah yang memanjakan isteriku sangat di awal perkahwinan sehingga semua kerja aku buat?

Atau kegagalan aku sebagai seorang suami yang tak mampu mengajar isterinya?

Aku kadang kadang terlalu stres dan rasa nak membujang semula je.

Apa guna kahwin jika akulah “isteri”, aku juga suami, baik aku hidup keseorangan.

Patutkah aku mendapatkan kaunseling kekeluargaan di pejabat agama?

Bantulah aku. Nasihatkan aku. Boleh tak korang yang membaca sehingga habis ni mencadangkan penyelesaian terbaik?

Aku sedang berusaha menjadi seorang yang sabar dengan karenah isteriku.

Aku sedang berusaha menjadi sebaik baik lelaki dalam hadith Rasulullah SAW yang bersabda lelaki terbaik adalah lelaki yang paling baik dengan isterinya.

Bantulah aku. Terima kasih sudi membaca dan memberi cadangan.