RM7,000 tu zaman tok kadok boleh lah, zaman mak ayah kita dulu. RM7k nikah apalah sangat boleh buat apa

Assalamualaikum semua pembaca dan salam rahayu semua.

Aku Hanis, umur 31 tahun. Baru 4 tahun melayari bahtera perkahwinan. Belum rezeki ada anak lagi.

Tapi Alhamdulillah, Tuhan beri rezeki yang lain. Dapat suami yang baik, keluarga mentua yang baik, segala makan minum pakai semua cukup.

Cuma aku nak cerita sikit pasal kakak kedua aku bernama Hanim (Bukan nama betul). Kakak aku nie dah umur lewat 30an. Masih bujang lagi dan bekerja sebagai pembantu kedai or cashier.

Dia nie ada perangai suka pertikaikan orang, apa orang buat memang tak pernah dia puas or senang.

Ada saja yang dia pertikaikan tak kira sesiapapun sampai kadang banyak orang terasa hati dengan dia.

Tapi dia tak sedar sebab dia rasa dia betul, takde salah.

Masa aku nikah pun, hantaran aku cuma RM7000. Dia pertikaikan sebab katanya tu ke rate harga hantaran saya. Kenapa tak up kan paling kurang RM10,000. Sekarang katanya bukan semua murah.

Kebetulan ada Mak Ayah aku, Ayah aku kata,

“Mak Ayah setuju jer. Yang kau pulak lelebih kenapa. Nilai orang bukan pandang dengan berapa hantaran nikah dia.”

Then kakak aku balas, “RM7000 tue zaman Mak Ayah, macam zaman Tok Kaduk bolehlah. Sekarang RM7000 tue berapalah sangat. Takkan semurah itu.”

Kata kakak aku sambil menjuih mulutnya. Mak Ayah aku cuma menggeleng saja. Aku yang kahwin, dia yang lebih nak pertikai.

Masa aku bertunang pun, kakak aku boleh bisik kat aku,

“Yakin ke lelaki tue boleh dibuat suami? Aku tengok macam tak jer. Muka macam tak layak jer dibuat suami. Entah entah nanti kau kahwin dengan kaki pkul.”

Berderau drah aku dibuatnya. Kakak aku nie dah kenapa. Patut gembira lah. Ini tidak, dia macam tak happy.

Masa tue aku fikir, mungkin dia sedih kot sebab aku langkah bendul. Aku pun entahlah.

Dah habis majlis, dia tengok barang hantaran tunang aku. Dia komen,

“Semua barang “lopek” jer. Takde mahal mana.” Dah dia cakap tue depan saudara mara aku yang masa tue ada yang belum balik.

Aku tengok cousin aku cuma pandang sesama sendiri bila dengar ayat kakak aku tue. Jelas dia tak happy.

Masa majlis kahwin aku, Mak Ayah aku dengan adik beradik mereka pakat nak bergotong royong masak lauk kenduri.

Macam biasalah, kakak aku pertikai. Cakap aku menyusahkan Mak Ayah dengan saudara mara. Cakap aku takde duit nak upah katering.

Orang nak kahwin dia pun nak kahwin jugak dia cakap gitu. Mak aku pun cakap,

“Kau nie dah kenapa, Nim? Bukan adik kau tue taknak pakai katering. Mak Ayah nie nak macam tue. Jimat sikit. Kami pun dah bincang, dah pakat. Sudahlah…

Barang barang masak tue pun duit adik kau. Pelamin, mekap, tukang ambil gambar semua pakai duit adik kau. Celah mana takde duitnya?”

Then Abang sulung aku sambung, “Kau cemburu cakap, Long…” Sambil tersengih.

Kakak aku buat muka geram then blah dari situ masuk bilik. Tutup pintu menghempas.

Kami takdelah pedulikan dia time tue. Memasing dah faham perangai dia. Mak ada suruh jemput kawan kawan dia datang ke majlis aku.

Korang tahu dia jawab apa? Dia kata dia malu nak jemput. Kenduri biasa biasa aje pun kata dia. Mak aku cerita balik dekat aku. Lantak dialah…

Dah habis majlis, adalah sesi buka hadiah. Kebetulan adalah mak dengan pak saudara belum balik dan tidur di rumah.

Mak saudara aku nie tanya kakak aku bila majlis dia pulak. Pada aku, Mak saudara tue tanya elok jer.

Tapi kebiasaan kakak aku kan. Dia jawab, “Pakai mandrem, guna guna bolehlah…”

Larhhh… Orang tanya bila giliran dia, jawab macam tue.

Nampak biadapnya. Mak saudara aku just diam senyum jer.

Macam tak boleh jawab, “Insya-Allah, ada jodoh adalah..”

Perlu ke jawab pakai mandrem guna guna bagai. Cannot brain betul dengan kakak aku nie…

Kalau jenis perangai asyik nak pertikai orang jer, kemana mana terbawa perangai tue.

Suami aku pakai kereta Proton Persona. Kakak aku cakap sekarang mana ada orang pandang lelaki pakai Proton. Kalau pakai kereta Honda baru dipandang.

Aku pun balas balik, “Tetap jugak kereta. Tujuannya boleh bawa kesana kesini. Harta dunia, Kak… Mati karang tak tanam sekali dengan kereta apa pun. Satu lagi kena ukurlah baju kat badan sendiri. Sekurangnya geran kereta dah dekat tangan.”

Kakak aku balas, “Jangan nak kurang ajar, Hanis! Aku kakak kau. Hormat!”

Ya Allah… Aku jawab elok jer. Dia yang marah marah pulak. Suami aku diam tak kata apa.

Tue belum lagi kes dia dengan salah seorang sepupu kami. Kebetulan, kami pernah melawat Maknya yakni Mak saudara aku sakit dirumah dia.

Ada orang gaji. Tapi selamba badak kakak aku kata, “Mak sendiri, patut uruslah sendiri. Membazir upah orang gaji. Nak jadi anak derhaka ke?”

Aku tak tahulah betapa malunya aku dengan Mak aku time tue sebab perkataan dia. Sepupu aku tue terus diam then muram jer muka dia. Derhaka celah mana lah Kak ooiii??

Alhasilnya, bila bertemu or berjumpa dekat mana mana majlis, sepupu aku nie langsung tak tegur dan tak cakap dengan kakak aku dah.

Dengan yang lain dia okey saja. Sebenarnya banyak lagi tapi ini salah satunya. Berapa banyak dia dah guriskan serta lukakan hati orang lain.

Tapi haram lah nak sedar… Sebab dia rasa kata kata dia betul semua. Kami pun tak faham darimana datangnya perangai dia sampai macam tue sekali.

Sejak aku berumah sendiri, aku ajak Mak Ayah aku, kadang Mak Ayah mentua datang tidur rumah. Itupun, kakak aku tuduh aku gunakan Mak Ayah nak dera mereka uruskan rumah.

Ewah ewah kau kak! Cakap jerlah kau mati kutu sebab selama nie kain baju spender kau pun Mak yang basuh. Barang dapur sesen pun takde keluar. Bil api air takde tanggungjawab nak kongsi bayar.

Kami tahu jer cuma malas nak bertekak. Selagi Mak Ayah aku tak balik, terus meneruslah dok called tanya bila nak balik rumah.

Aku layan Mak Ayah aku dengan Mak Ayah mentua aku sama jer.

Takde nak suruh buat kerja ke apa. Kain baju mereka pun aku basuh, tak bagi aku mereka basuh sendiri. Biarkan mereka berehat, tumpukan pada ibadah apa semua.

Kak Hanim, berubahlah… Jangan terlalu semua perkara kadang bukan ada kena mengena dengan diri pun kau pertikai kak.

Dah berapa banyak kali kau “menganjing” suami aku nie sebab dia kurang loaded, pakai kereta biasa. Dah banyak hati saudara mara kau sakitkan.

Mak Ayah pun kadang kau selamba saja tak fikir perasaan orang tua. Tapi Mak Ayah tue kenangkan kau anak.

Jangan bila dah semua orang dah taknak tegur, buat tahu dengan kau. Jangan tanya kenapa.

Yang penting, kau nak orang hormat kau, kau pun kena hormat orang lain jugak, kak. Jangan rasa diri tue betul sentiasa. Manusia, kak.

Malulah dengan saudara mara kita nie, kak…Ini tidak. Semua orang kau buat macam tue. Tapinya bila terkena dekat batang hidung sendiri, stress bukan main sampai menangis meraung tak terima.

Dah tue, kau buat orang tak pulak orang stress, sedih, marah bagai?

Untung dorang tak pijak kau kak. Marah macamana pun still ada hormat.

Aku harap kakak aku tue berubah dan semoga baik baik saja. Even aku sakit hati, terasa dengan kau tapi kau kakak aku. Menghuni dan keluar dari perut dan benih yang sama.

Aku pun tak perfect kak. Sentiasa ada aku buat salah silap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *