Menitik air mata jantan aku. Ketika bercuti aku betul2 terasa dengan kelakuan dan amarah isteri ku. Aku mmg kecewa

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera buat pembaca pembaca tegar semua.

Aku Acap, seorang suami namun belum direzekikan untuk menjadi seorang bapa. Baru sahaja melayari bahtera perkahwinan seawal 3 tahun.

Saja aku menukil tulisan ini untuk meminta kalian berkongsi pendapat tentang permasalahan yang sering aku hadapi sepanjang usia pernikahan terutama dari kalian yang bergelar Wanita.

Setiap cerita memerlukan sekurang kurangnya versi dari 2 pihak. Ini kisah aku dari sebelah lelaki yang bergelar suami.

Yup! aku sedar. Rata rata kisah yang disiarkan disini tak lain pasal isteri curang, suami tak bertanggung jawab, campurtangan mertua dan lain lain.

Tetapi percayalah, aku betul memerlukan pandangan serta pendapat dari kalian.

Sedang aku menaip kisah ini, aku baru sahaja selesai minitiskan air mata jantan di bawah langit gelap berhiaskan bintang. Airmata kecewa yang tak tertahan lagi dek kerana seorang insan yang bergelar isteri.

Walhal ketika ini, kami berdua sedang bercuti bagi meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang tidak lama lagi.

Sedang dalam mood bercuti pun boleh gaduh. Sesungguhnya isu ini tiada ubat!

Sedikit pengenalan mengenai hubungan aku dan isteri, kami berkenalan dari zaman sekolah lagi.

Pernah terhenti seketika semasa berada di zaman IPT, dan bersambung semula sebaik menginjak ke alam pekerjaan.

Sehinggalah berjaya ke fasa berumah tangga. Alhamdulillah bagi perjalanan setakat itu.

Isteri aku memang aku kenal dari dulu sifat barannya. Waima sebelum berkahwin, aku memang sudah sedia maklum. Keluarganya sendiri juga akui akan barannya itu.

Satu sahaja pengharapan aku ketika itu, insyaallah aku akan perlahan lahan membimbingnya sebaik sahaja dia sah bergelar seorang isteri.

Tapi! Sangkaan aku meleset. Barannya tetap juga begitu malah bertambah teruk akhir akhir ini.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Membesar sebagai seorang abang, mama lah yang banyak menasihatkan aku, nanti bila dah ada isteri tak boleh macamtu tak boleh macamni. Jangan buat begitu jangan buat begini.

Dan alhamdulillah, aku dewasa dengan pemikiran, jangan disakiti hati seorang Wanita. Aku juga banyak belajar dari geri seorang ayah.

Aku lihat ayah sering memperkecilkan mama dan mengambil mudah tentang mama. Ayah aku bab lain okey.

Dia bukan seorang kedekut, selalu luang masa dengan keluarga, tapi itulah. Layanannya terhadap mama agak tidak patut pada pengamatan aku.

Jadi aku berazam untuk menjadi seorang lelaki yang lebih baik dari ayah apabila berumahtangga kelak.

Diringkaskan cerita, diusia pernikahan kami yang masih terlalu mentah ini, banyak aku yang mengalah dan bersabar apabila melibatkan situasi dengan baran isteri.

Untuk pengetahuan kalian, isteri aku seorang yang bekerjaya.

Sekejap! Haa nak kata aku tak tolong buat kerja rumah sampai isteri naik stress sebabtu kena marah selalu lah tu? TIDAK! Jika kalian berfikiran begitu, kalian silap.

Aku bekerja sendiri. Kerja aku hanya dari rumah sahaja. Jadi, semua hal berkaitan rumahtangga, aku yang uruskan.

Sebut saja, kerja rumah apa yang aku tak laksanakan? Dari membasuh pakaian, sidai, angkat dan gantung pada penyangkut baju, aku buat.

Cuma nak lipat baju sahaja aku tak pandai. Itupun sebab kalau aku lipat pakaian, tak bertepatan dengan citarasa isteri.

Jadi, dia akan lipat pakaian. Sapu rumah? Kerja senang. Siap dengan Mop lantai lagi. Balik kerja penat penat nak kena memasak?

Tak pernah aku paksa isteri untuk memasak. Balik sahaja dari kerja, aku takkan ‘miss’ untuk tanya soalan, ”nak makan mana harini?”.

Eh, sampai dah tak tahulah nak makan kedai mana dah sebab asyik makan dekat luar je. Kadang tu isteri pulak mengidam masakan yang aku masak.

Ya, aku pun pandai masak lebih dari isteri. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri. Tapi itulah kenyataan.

Pergi balik kerja? Aku ambil dan hantarkan setiap hari.

Tapi itulah, kalau isteri rasa nak marah, dia marah je tanpa memikirkan perasaan aku. Walhal aku cuba sedaya upaya aku untuk memberikan yang terbaik pada dia setiap hari.

Kebiasaan, Isteri akan marah bila apa yang dia nak, tak dapat atau tak dituruti dengan kadar segera. Bertanya tentang soalan yang sama juga boleh buat isteri naik angin.

Kalau dia bertanya sesuatu, tapi masa tu aku kurang jelas pendengaran, dan diminta ulang pertanyaan pun boleh jadi punca dimarahi isteri.

Ibarat isteri aku ni macam sebutir b0m jangka yang bila bila masa sahaja boleh meletup kalau tak kena pada selera dia.

Mungkin ada di antara kalian para pembaca berpendapat, mungkin aku ni kurang masa untuk diluangkan dengan isteri, tak mendengar keluh kesahnya di tempat kerja, stressnya isteri berada seharia di pejabat. SILAP!

Jika kalian berfikiran begitu, kalian silap.

Hidup aku selepas berkahwin cuma isteri sahaja. Aku bukan jenis berkawan sana sini. Duduk melepak di kedai kopi tinggalkan isteri berseorangan di rumah.

Aku juga tak punya hobi baik ride kehulu kehilir, memancing, berkonvoi dengan club kereta atau lain lain aktiviti yang memerlukan aku untuk meninggalkan isteri.

Bagi aku, dunia aku adalah isteri.

Aku suka membawa isteri bersiar siar pada hujung minggu dan menghabiskan masa dengan dia.

Aku tak pernah membuat acuh tak acuh bila isteri ingin berkongsi sesuatu cerita atau curahan hatinya pada aku. Telinga dan hati aku sentiasa terbuka untuk dia.

Tapi malam ini, di saat kami sedang menikmati percutian yang penuh makna ini, aku betul betul terasa hati dengan amarah isteri.

Pernah juga terdetik untuk aku berpisah dengan isteri, biar dia belajar apa itu erti sebuah kehilangan. Tapi aku belum cukup kuat untuk menempuh fasa itu.

Mungkin inilah yang dikatakan dugaan di alam pernikahan?

Lembikkah aku sebagai seorang ketua keluarga? Mohon pendapat yang ikhlas dari kalian semua.