Ramai member2 duk tanya macam aku ni uruskan anak2 tanpa suami. Nampak macam ok je walhal dia orang tak tahu pun

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Aku Sarah, seorang surirumah dan ibu kepada tiga orang anak yang berusia 5, 3 tahun dan tiga bulan.

Kesemuanya lelaki ya, alhamdulillah hehe. Hari ni aku nak cerita tentang ‘malas’nya aku sebagai seorang ibu.

Ramai kawan kawan aku tanya, macam mana aku uruskan anak anak tanpa suami, PJJ maksud aku. Sebab suami aku bekerja di luar negara, dan balik sebulan sekali atau dua kali.

Paling lama beliau tak balik adalah selama lebih setahun masa musim C0vid dulu.

Memang mencabar ya uruskan anak anak tanpa suami ini. Tapi aku dah biasa sebab aku kan seorang ibu yang ‘malas’.

Aku malas uruskan semuanya untuk anak anak. Walaupun anak anak aku masih kecil.

Kalau aku buat semuanya untuk diorang, aku akan letih yang teramat dan emosi aku akan terganggu dan mulalah aku lepaskan marah pada diorang. Tak elok kan.

Jadi aku start jadi ibu yang ‘malas’ sejak beberapa tahun lalu. Macam mana cara aku jadi ibu yang malas? Ni aku nak start ceritalah ni.

Anak anak kecil biasalah kan, suka minta kita tolong buatkan itu ini. Contohnya buka lampu, ambilkan itu inilah.

Aku kan malas, jadi aku letak kerusi kecil IKEA di setiap suis lampu/kipas utama so anak aku tak payah panggil aku dah nak buka lampu atau kipas.

Tangga kecil aku letak di toilet so bila anak aku nak kencing dia boleh guna sendiri toilet.

Aku potty train kedua dua anak seawal 2 tahun. Aku ajarkan guna remote tv, toilet dan sebagainya guna arahan bergambar yang aku buat sendiri.

Contohnya step masuk toilet dimulakan dengan baca doa, masuk toilet ambik tangga lepas tu siap kena flush toilet, tutup pintu dan lampu.

Awal awal aku akan tunggu depan pintu toilet untuk pastikan diorang buat semua step dalam arahan bergambar yang aku lekat dekat pintu tu. Bila diorang dah ingat semua steps dah, okay dah settle.

Barang barang anak aku pun aku letakkan di tempat yang semuanya mudah dicapai.

Macam toys, buku, baju baju, makanan, snacks dan lain lain. Supaya diorang tak selalu panggil aku bila nak ambil barang.

Bila aku bangun pagi untuk solat Subuh, aku tak tidur dah sebab waktu tulah aku start masak sebelum anak anak aku bangun.

Rasa tenang buat kerja awal pagi macam tu. Yang bangun pun cuma yang sulung sebab dia nak ke sekolah.

Bila dah siap masak breakfast, lunch dengan dinner sekaligus (breakfast biasanya makan roti/cereal/frozen foods atau beli sahaja), aku letakkan makanan anak aku dalam tupperware yang ada tiga bahagian, untuk aku letakkan nasi, lauk dan buah.

Aku tak tutup rapat sangat supaya anak aku boleh makan bila bila dia lapar dan tak ganggu aku.

Air pun sama, aku letakkan dalam tumbler siap siap. Sebab air diorang aku selalu bacakan doa dan zikir.

Hari aku malas atau rasa nak tidur lepas Subuh, aku order je Foodpanda atau Grabfood je hehe. Tapi tak selalu aku buat sebab nak simpan duit.

Dulu, benda yang paling malas aku dengar adalah bila anak anak aku tanya baju mana nak pakai hari ini.

Lepas tu bila aku suruh ambik sendiri baju dalam almari confirm bersepah sedangkan aku baru je lipat, budak budak kan.

So aku buatkan kotak yang ada empat bahagian, dan aku buatkan lubang kecil di bawah yang muat muat je untuk tarik baju lapisan paling bawah.

Entahlah korang faham ke tak, setiap bahagian untuk setiap anak dan satu lagi untuk diaper baby.

Aku letakkan gambar masing masing di bahagian depan supaya diorang tahu mana satu lubang baju diorang.

Baju diorang aku letak berlapis lapis selang seli antara baju siang dan malam, dan selama seminggu punya baju, empat belas lapisan lah kan.

So aku isi semula baju diorang seminggu sekali jelah haha.

Aku ibu yang selalu nak cari solution untuk setiap masalah dan setiap masa aku fikir apa benda yang boleh buat kerja aku jadi senang hehe.

Aku berazam betul taknak marah anak anak aku, sebab taknak benda tu beri kesan buruk pada emosi diorang. Walaupun aku kerap sangat je marah anak anak aku.

Setiap kali ada masalah, contohnya anak aku tak sampai nak basuh tangan, aku sediakan kerusi kecil.

Dia tak sabun tangan sebab tak pandai tekan, aku belikan automatic dispenser soap. Dia lalukan je tangan dia dan sabun turun.

Kemudian dia tak pandai basuh tangan sebab walaupun dah naik kerusi dan paip tu boleh laras dan gerak tapi masih tak sampai untuk buka paip sebab dekat hujung sikit (ini untuk anak aku yang number dua),

Aku belikan pula paip yang ada sensor, lalukan tangan juga dan air akan turun.

Tong sampah pun aku beli yang sensor, semua benda ni murah je weh dan korang boleh beli di shopee je. Lah aku promote shopee pulk, haha.

Rumah aku dua tingkat. Kalau aku sendiri malas turun bawah ambil barang, anak aku selalu di bawah sebab dekat bawah ada tv, dan banyak toys di bawah.

So aku buatkan bakul dan tali untuk turun dan naikkan dan minta barang yang aku nak dari anak aku.

Macam macamlah sebenarnya benda yang aku buat untuk mudahkan kerja aku.

Ajar anak pun aku malas sebenarnya. So aku buat sendiri flashcard nombor, huruf biasa dan jawi, sukukata dan sebagainya lepas itu aku lekatkan dekat semua tempat dalam rumah macam dinding rumah, peti ais, pintu luar toilet,

Dalam bathroom pun aku letak jugak so anak anak aku boleh main alphabet yang boleh lekat di dinding bila basah tu.

Suku kata pun macam tu, aku lekat merata lepas tu sambil lalu aku ajak diorang baca, dan diorang pun baca sendiri jugak.

Kadang kadang baca sambil menyanyi, main, meniarap melompat semuanyalah. Santai santai je.

Dekat tangga pula aku lekatkan sifir dekat setiap anak tangga, sambil naik tangga anak aku akan baca.

Budak budak kan ingatan diorang sangat kuat. So dengan kaedah tu, anak sulung aku dari 4 tahun dah boleh fully membaca dalam Bahasa Melayu dan English.

Soalan Matematik tambah tolak darab bahagi pun kacang je bagi dia. Budak budak bukan nak duduk belajar lama lama dekat meja, selalunya aku ajak belajar tak sampai sepuluh minit pun diorang boleh fokus.

Jadi macam inilah aku buat, selain dari tengok YouTube sekejap sekejap.

Cara aku ajar anak English pula, sejak dia boleh cakap aku bagi arahan dalam dua bahasa, contoh “Ayyash, let’s eat together. Ayyash, jom makan sama sama.”

Semua ayat aku cakap dalam dua bahasa. So lama lama dia faham dan sekarang dia boleh faham dan cakap English macam orang dewasa.

Walaupun anak anak aku semua lelaki, aku tak suka ajar anak lelaki jadi raja macam orang orang dulu buat.

Bila diorang start boleh berjalan je, aku dah mula train buat kerja yang mudah macam ambilkan barang, letak baju dalam mesin basuh, sidai kain, basuh pinggan, kutip mainan, buang sampah and so on.

Aku ajarlah sampai pandai macam mana pun. Contoh kalau anak aku tak kemas pinggan lepas makan, aku akan tegur tapi aku takkan tolong buat. Kecuali bila aku nak ajar dia konsep tolong menolong dapat pahala bla bla.

Bukan sebab aku malas atau berkira, tapi nak ajar tentang tanggungjawab masing masing.

Banyak benda aku ajak anak anak buat sama sama supaya aku tak terbeban seorang.

Walaupun bila buat dengan bebudak kecik ni maklum sajalah, kerja jadi lambat siap dan kadang makin bersepah jadinya, contoh memasak dengan anak anak, tapi aku sabar dan teruskan.

Alhamdulillah aku dah mula nampak hasilnya sekarang. Paling nampak yang sulunglah, waktu mandikan baby, dia dah siapkan baju adiknya, dah boleh buat susu adik, sidai kain, basuh beras dan macam macamlah.

Yang kedua perlu dilatih lagi, tetapi dah boleh diharap untuk uruskan diri sendiri macam pakai baju seluar sendiri.

Mindset aku adalah aku taknak biarkan anak aku terlalu main gajet. Jadi rumah aku memang sangat sangat bersepah dengan toys di mana mana saja.

Sebab bila aku tak bagi tengok tv, phone apa semua, tetiba diorang jadi kreatif dengan barang barang dalam rumah tu.

Bantal sofa jadi kubu, selimut jadi khemah, koyakkan kertas buat duit tipu nak main jual jual.

So rumah aku bersepah ya ampun. Waktu kemas cuma malam saja sebelum tidur.

Jadi aku tak benarkan sesiapa pun termasuk family sendiri, mertua, ipar duai atau sedara mara datang rumah kalau tak inform dulu sekurangnya lima enam jam atau sehari sebelum datang.

Semua orang memang faham pun perangai aku yang ini, jadi sebelum datang memang diorang akan inform dulu.

Kalau tak, memang aku tak teragak untuk tak buka pintu atau tak jawab telefon ya, sebab aku memang tegas begitu.

Aku tak suka orang tengok rumah aku terlalu bersepah, walaupun aku tahu orang faham je rumah aku bersepah sebab ada anak kecil.

Bagi aku, ibu ibu yang PJJ macam aku ni memang perlukan support system yang sangat kuat. Alhamdulillah, aku ada support yang kuat dari suami.

Memang suami aku tak selalu ada tapi bila dia balik, aku selalu tak dibenarkan buat satu apa pun kerja.

Sampaikan beberapa hari kadang tu aku baring jelah tengok drama Korea, boleh juga duduk lama sikit atas sejadah hehe.

Kalau aku rasa letih sangat, ada adik ipar aku yang willing nak jaga anak anak aku dan aku keluar jelah dua tiga jam pergilah mana mana yang aku suka.

Selalu juga aku hantar kejap ke rumah kakak aku, aku pergilah mana aku suka. Sebagai balasan, aku belikan apa apa makanan atau buah tangan bawa balik sebab duit diorang taknak.

Tapi sebenarnya aku nak nasihatkan pada ibu ibu yang macam aku, buatlah macam mana pun, sebenarnya kebergantungan kita pada Allah tu yang paling penting. Mintalah Allah bantu kita uruskan anak anak.

Doa aku setiap hari sejak setiap anak lahir, “Ya Allah kurniakanlah aku anak anak yang mudah dibentuk, dijaga dan dididik.”

Tak pernah putus doa aku sejak tahu aku pregnant, sebab aku tahu betapa susahnya uruskan anak anak dan emosi bila berjauhan dengan suami.

Setiap malam jugak, aku doa dengan doa yang diberi Ustazah Asma Harun, waufawwiduamri ilallah tu, sebab Allah Maha Melihat keadaan hamba hambaNya.

Bangun pagi selepas Subuh aku baca Al-Mathurat, kalau tak sempat aku pegang anak sambil dengar dan ikut bacaan Al-Mathurat di Youtube.

Semua amalan ini buatkan hidup aku dan anak anak teratur, kerja aku jadi mudah, diberi anak anak yang mudah diurus, dan urusan aku pun jadi mudah. Walaupun ada kalanya ribut taufan juga jadinya.

Tapi kita kena ingat, anak anak ni tak minta pun dilahirkan. Aku yang nak sangat diorang, aku kena bersabar dan bersabar dan bersabar.

Semua ni akan berlalu bila diorang dah besar dan nanti indah saja jadinya. Tak di dunia, di syurga. Kan?

Sebenarnya dah penat menulis, ini pun aku tulis lepas dah penat buat kerja.

Aku memang seorang suri rumah, tapi aku jugak seorang freelancer yang buat kerja kerja transcription dan translation.

So aku takdelah free sangat sebenarnya. Bila anak tidur aku startlah buat kerja.

Nanti aku tulis lagi topik lain bila ada masa. Assalamualaikum.