Ain dapat tawaran belajar universiti tapi di halang oleh mertua. Adakah tempat wanita hanya di dapur je

Pertama sekali aku tahu luahan ini akan jadi kecaman banyak pihak tetapi ini adalah realiti hidup yang sedang aku lalui.

Pengalaman hidup aku mengajar kenal erti sekufu atau erti lain ialah setaraf.

Malah dalam agama islam sendiri menggalakkan kita untuk mencari pasangan hidup yang sekufu supaya permasalahan yang timbul selepas itu dapat diselesaikan dengan baik dan lancar.

Aku berkahwin dengan suami aku selama 3 tahun dan baru sahaja mengandung.

Yang menjadi titik tolak semuanya ialah apabila anak kepada kakak suami mengharapkan aku membantu dia untuk menerangkan kepada emak dan ayahnya,

Bahawa dia hendak meneruskan pengajiannya ke tahap tinggi bukannya berkahwin pada usia 19 tahun.

Anak buah suami aku ini aku namakan Ain. Dia merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya dan ditawarkan pengajian ke matrikulasi dan lulus dengan cemerlang di sana.

Apabila Ain dapat tawaran belajar ke universiti, hal ini ditentang oleh ahli keluarganya dan termasuk suami aku.

Keluarga suami ialah keluarga dalam kategori biasa-biasa dan hanya anak lelaki sahaja yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah (tetapi suami aku tidak),

Dan kesemua adik beradik perempuan suami hanya bersekolah sehingga tahap SPM sahaja.

Oleh sebab inilah, Ain datang kepada aku untuk membantu dia kerana di dalam keluarga belah suami dan termasuk biras aku, aku satu-satunya perempuan yang berpendidikan tinggi.

Aku faham soal duit yang menjadi kebimbangan emak ayah Ain, tapi Ain telah ditawarkan biasiswa dan mempunyai simpanan sendiri untuk melanjutkan pelajaran.

Bagi pendapat aku, tiada alasan yang kukuh untuk menghalang Ain untuk terus belajar.

Tapi emak ayah Ain berkeras menentang dan ingin Ain berkahwin dengan anak kenalan mereka yang bekerja sebagai mekanik.

Lelaki tersebut berumur 26 tahun dan bersetuju untuk berkahwin dengan Ain tetapi lelaki itu juga tidak membenarkan Ain untuk melanjutkan pelajaran selepas berkahwin.

Suami aku? Berkeras menyuruh Ain berkahwin. Kata suami aku, tiada gunanya belajar tinggi nanti akhirnya akan kesunyian seperti aku dan berkahwin lambat seperti aku dan tidak laku seperti aku.

Ya, aku berkahwin dengan suami ketika umur aku 35 tahun dan sepanjang perkenalan aku dengan suami dia yang meyakinkan aku untuk berkahwin,

Sedangkan aku pada waktu tersebut sudah tidak berharap untuk mempunyai pasangan hidup kerana selesa hidup sendiri.

Tetapi oleh sebab desakan masyarakat sekeliling dan mentaliti masyarakat terhadap andartu, telah membuatkan aku terpedaya menerima suami pada waktu tersebut.

Aku berangan-angan mengharapkan perkahwinan bahagia seperti diperkatakan oleh wanita-wanita yang lain.

Malah sebab Ain ini juga aku dan suami bergaduh besar dan nampak perwatakan sebenar suami. Suami memperkecilkan aku di depan ahli keluarganya.

Aku pada waktu itu cukup malu. Maruah aku dipijak-pijak. Kewanitaan aku tercabar. Apakah wanita hanya tempatnya di dapur?

Sedangkan akulah yang menguruskan soal kewangan keluarga, suami aku hanya membayar bil elektrik sahaja setiap bulan kerana gaji dia tersangatlah kecil berbanding aku.

Aku yang bekerja sebagai eksekutif akhirnya hanya layak duduk di bawah tapak kaki suami hanya kerana aku seorang perempuan?

Waktu itu, seribu penyesalan dalam hati kerana berkahwin dengan suami dan masuk ke dalam keluarga dia. Aku terfikir nasib anak dalam kandungan aku sekiranya dilahirkan perempuan sudah pasti punyai nasib yang sama seperti Ain.

Aku mula hilang rasa sayang dan cinta pada suami. Ternyata benar kata-kata kawan aku yang andartu di pejabat selama ini tentang lelaki yang suka ambil kesempatan bermodalkan kasih sayang untuk memperdaya wanita bujang lanjut usia.

Aku mula rindu kehidupan andartu aku dulu yang bebas daripada drama.

Aku sendiri tidak dapat membantu Ain dalam soal itu dan aku hanya mampu melihat Ain menangis pada hari perkahwinan dia dan selepas 8 bulan berkahwin,

Ain diceraikan semasa mengandung kerana bekas suaminya mempunyai teman wanita lain. Kini, Ain bergantung hidup dengan menjual keropok lekor dan air minuman di tepi jalan.

Hubungan aku suami isteri retak seribu. Setiap kali ingin berbincang tentang kewangan anak dan simpanan masa depan anak, suami akan mengungkit tentang pembaziran duit dalam mendapatkan pelajaran selepas SPM. Aku terus jadi buntu. Terdiam.

Malah menyesal kerana aku terpedaya dengan janji manis kehidupan berkeluarga.

Dalam soal ini, aku tidak salahkan takdir hidup aku tapi aku salahkan diri aku yang terpedaya dengan janji manis suami aku yang hakikatnya hanya menggunakan aku sebagai sumber kewangannya untuk hidup mewah.

Suami aku juga turut bermegah depan orang lain akan kejayaannya menundukkan wanita bekerjaya seperti aku untuk dijadikan isteri dan membuat cerita bahawa dahulu semasa perkanalan kami, aku amat terdesak untuk mendapatkan suami.

Sesungguhnya aku menyesal berkahwin. Ternyata rasa cinta sahaja tidak cukup untuk aku capai kebahagiaan di dalam hidup.

Corak pemikiran aku ternyata berbeza sekali dengan apa yang dipraktikkan oleh keluarga suami dan suami aku.

Kalau boleh diputarkan masa, aku rela digelar andartu oleh semua orang dan hidup aku bahagia dengan diri aku sendiri.

Aku sendiri tidak pasti berapa lama lagi perkahwinan aku boleh bertahan. Mungkin perpisahan kami ini nanti adalah yang terbaik untuk masa depan anak aku dan bawa kebaikan kepada perkembangan karier aku di masa akan datang.

Menyesal kemudian tiada gunanya. Jangan tersalah langkah mengejar hidup berkeluarga. Aku terima semua takdir hidup aku ini atas kesilapan aku yang tersalah pilih suami.

Benar kata Prof Muhaya, wanita yang malang ialah wanita yang tersalah pilih suami. Ya memang benar, akulah salah satu wanita malang tersebut.