Ayah jadi kaya sekelip mata je. Rahsia kekayaan ayah trbongkar masa dia terkantoi keluar dgn jnda legging ketat.

Hai. Nama aku Fahim, aku ingin berkongsi cerita tentang ayah. Maaf cerita ini sangat panjang. Semoga jadi teladan buat semua.

Ayah aku seorang pekerja di salah sebuah jabatan kerajaan. Ayah seorang yang baik, sangat pendiam, dan tak pernah marah. Semasa kami kecil, kami sekeluarga hidup tak senang, hanya cukup makan sahaja kerana ayah bergaji kecil dan beliau seorang sahaja yang berkerja, umi hanya seorang suri rumah sepenuh masa menjaga kami 6 beradik. Aku anak kedua, yang sulung kakak dan yang paling bongsu lelaki.(4 perempuan dan 2 lelaki).

Hidup kami mula berubah bila ayah tiba-tiba berduit. Aku masih ingat ketika itu aku di tingkatan 4, ayah bawa balik kereta baru, katanya dia dapat bonus banyak dan gajinya telah naik kerana dapat naik pangkat. Dengan bonus tu ayah kata dia bayar deposit kereta baru dan ada lagi lebihan bonus ayah bawa kami shopping dan belanja kami makan di restoran sehingga beratus ratus bilnya.

Dengan kehidupan kami yang cukup cukup makan, kais pagi makan pagi kais petang makan petang, kereta saga uzur dan motor honda kapcai ayah yang buruk sebelum ni semestinya kami berasa gembira melihat ayah kami berduit sebegitu.

Kalau dulu ayah tak mampu nak beli basikal pun kat anak anak dan apabila kereta saga ayah yang uzur itu rosak maka tersadai berbulan bulanlah kerana ayah tidak mampu untuk hantar ke bengkel segera kerana gajinya terlalu kecil. Kemudian ayah telah menghadiahkan adik adik aku sebiji seorang basikal dan membelikan motor yang aku dan kakak idamkan sebiji seorang untuk ulang alik ke sekolah.

Setelah beberapa tahun kemudian, kami telah berpindah keluar dari kuarters dan tinggal di rumah yang ayah beli. Hidup kami sentiasa senang, ya kerana ayah kami bergaji besar (kata ayah).

Ayah menghadiahkan kami sebiji kereta seorang, kakak ada kereta, aku ada, adik adik pun semua ada. Ayah sendiri ada 4 biji kereta untuk dirinya. Kami langsung tiada masalah kewangan. Jika kami nak duit, kami sebut sahaja jumlahnya dan ayah mesti bagi. Kehidupan kami seperti ayah bergaji 15k sebulan atau lebih.

Rutin ayah bila hari gaji, ayah akan bawa umi shopping barang dapur seperti biasa. Umi akan ambil semua yang umi nak dan ayah akan membayar 2k 3k untuk barang barang rumah selama sebulan sekaligus. Dari barangan untuk kebun bunga umi hinggalah barang basah di dapur.

Bukan umi aku boros, tapi ayah yang menyuruh umi dan anak anak ambil apa sahaja yang kami nak, 4 troli pon ayah bayar dengan senyuman. Kemudian ayah akan bawa kami sekeluarga makan di restoran berkelas 4 5 kali sebulan. Bawa kami bercuti, sebut sahaja tempat yang kami mahu pergi ayah pasti bawa. Ibarat sebut saja apa yang kami nak, ayah pasti tunaikan.

Aku pernah persoalkan pada umi macam mana ayah banyak duit, umpama tiada masalah kewangan langsung. Kata umi pangkat ayah besar seperti pengarah. Sebenarnya aku musykil ayahku hanya ada spm sahaja, dan semasa aku sekolah menengah pangkat ayahku hanyalah pangkat rendah yang bergaji 2k sahaja dan ayah tak ada bisnes sendiri pun.

Kami pernah cuba siasat tentang ayah, tapi tiada bukti. Semua ayah simpan kemas dalam sebuah almari berkunci walau beg duit, telefon bimbit, dokumen kerja dll bila dia balik kerja. Ayah seorang yang kemas dan teliti, kunci almari ayah sentiasa sorok, kami adik beradik pernah geledah tapi tak jumpa.

Umi aku sendiri tidak pernah tengok apa dalam almari berkunci ayah. Aku pernah bertanyakan ayah tentang semua ni, ayah cuma diam dan sememangnya ayah seorang yang pendiam. Ayah hanya bercakap benda yang penting sahaja pada umi dan anak anak.

Apabila kami adik beradik mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak, ayah telah berubah. Umi kata ayah curang dan ada girlfriend kerana umi terbaca sms yang popup dari seorang perempuan yang ayah save nama sayang. Handphone ayah sentiasa berkunci.

Ayah mula kerap keluar berkursus dihujung minggu, kerap sangat sampai kadang aku pulang ke rumah ayah dihujung minggu, aku jarang nampak ayah. katanya kursus naik pangkat. Aku mula pelik bila kursus tu tak habis habis, dah 6 bulan ayah begitu bila hujung minggu dia akan keluar. Umi mendesak aku mengintip ayah secara senyap bila ayah keluar hujung minggu lagi.

Aku sebagai anak lelaki pun risau kalau ayah aku buat benda yang tak elok sebab ayah sudah tua, sudah dekat pencen umurnya. Hujung minggu ayah keluar lagi katanya berkursus di port dickson, 3 jam dari rumah ayah. Aku segera follow kereta ayah umpama detektif dah aku ni. Ya memang betul ayahku ke port dickson. Ayah telah check in di salah satu resort di sana.

Sedang aku memerhati dari kereta, aku tengok ayah berjalan dengan seorang perempuan berpimpin tangan. Pemakaian ayah sangat berlainan, ayah memakai cap berkaca mata hitam berseluar jeans dan berbaju t shirt seperti aku orang muda. Aku sangat terkejut melihat ayah begitu, ayah tak pernah pakai begitu, ayah seperti ayah orang lain yang dah berusia tetapi apa aku lihat ayah nampak lain sangat bukan seperti kebiasaan pemakaiannya.

Aku juga tak kenal perempuan di sebelah ayah, perempuan itu bukanlah muda tetapi baya umi juga tapi perempuan itu sangat bergaya dengan free hair rambut separas pinggang memakai blaus dan legging ketat. Mereka berjalan jalan di tepi pantai lagak seperti sepasang kekasih sedang bermadu kasih. Mengucap panjang aku melihat gelagat 2 orang tua itu.

Aku terus balik ke rumah, tak sanggup lagi aku tengok ayah dalam keadaan begitu. Semestinya aku bagitahu umi apa yang aku lihat, dan aku juga tunjuk gambar mereka kepada umi sebagai bukti. Umi bertanyakan ayah tentang hal tersebut dan ayah mengaku dia ada kekasih, seorang janda dan rakan sekerjanya. Umi meraung sedih dan meminta ayah berkahwin dengan janda tersebut kerana tak mahu ayah berbuat dosa. Dosa ayah yang ada pun sudah cukup banyak kata umi. Sejak dari itu, umi dan ayah kerap bergaduh.

Ya.. Dosa ayah yang sedia ada pun sudah cukup banyak.. Ayah sebenarnya tidak pernah solat. Sejak aku kecil sehinggalah aku dah beranak pinak, tak pernah aku tengok ayah solat. Ayah memberi kami kebebasan sama ada nak solat silakan, tak solat tak apa ayah tak marah.

Disebabkan ayah begitu, umi tidak mampu memberi didikan agama sempurna kepada semua adik beradik aku kerana ayah tak ambil berat tentang anak anak, yang solat dalam rumah cuma umi, aku dan adik lelakiku yang bongsu sahaja. Kakak dan adik adik perempuan aku langsung tak solat seperti ayah, malah suami suami mereka pun tak solat dan berperangai seperti mereka.

Aku beruntung kerana aku minat ke surau yang berdekatan dengan rumah kami sejak kecil dengan kawan kawan setaman. Konon pergi surau untuk jumpa kawan untuk bermain saja, lama kelamaan jadi tebiat aku dan adik ke surau setiap maghrib, alhamdulillah aku dan adik lelaki cukup solat sehingga dewasa.

Betullah orang kata, kalau tak solat hidup tiada keberkatan. Keluargaku banyak masalah sebenarnya tetapi bukan dari segi duit kerana duit ayah umpama tidak pernah habis, masalah datang dari perangai anak anak perempuan dan ayah sendiri. Ya kerana terlalu bebas tanpa pengawasan ayah, umi aku tak mampu menegur kerana dorang tak takut sikit pun pada umi.

Ayah manjakan anak anak dengan duit sehingga anak anak perempuan menjadi rosak dan tidak pandai, spm gagal. Adik beradik perempuan aku pernah dicekup berkhlwat beberapa kali dan ayah seperti tiada rasa marah tetap menjamin mereka dan membayar denda.

Mereka terlalu liar dan bebas. Bebas untuk keluar dan tak balik rumah bila bila masa dan lama mana yang mereka nak. Bila aku memarahi mereka, mereka kata aku tiada hak untuk larang mereka kerana ayah pun tak larang mereka. Ada yang sampai melahirkan anak anak luar nikah.

Ayah buat apa? Ayah cuma tahu bagi duit sahaja. Malahan suami suami mereka pun ayah bagi duit sampai ada yang tidak bekerja selesa ditanggung ayah dari rumah sewa, kereta, makan minum, anak anak mereka semua ayah yang tanggung. Aku sebagai anak lelaki paling tua, aku hanya mampu tengok dengan umi. Bukan kami tak hirau, tak nasihat. Puas kami mengajak ayah ke surau ke masjid tapi macam macam alasan ayah bagi.

Kami pernah minta tolong saudara mara untuk nasihatkan ayah dan adik beradik perempuan tapi tak juga jalan. Umi bersyukur aku dan adik lelaki sedikit pun tidak seperti ayah dan adik beradik perempuan, mungkin sebab kami rapat dengan umi. Kami hanya mampu berdoa semoga kelak mereka semua diberikan hidayah oleh Allah untuk berubah.

Berbalik hal ayah punya kekasih. Selepas umi suruh ayah kahwin dengan janda tersebut, ayah tidak lagi sembunyi sembunyi untuk berbual di telefon atau bermesej dengan janda tersebut. Ayah seperti angau bercinta dengan janda tua itu. Kerap kali aku melihat ayah berborak lama di telefon di luar rumah, aku tahu pasti janda itu kerana ayah tidak mempunyai kawan yang rapat dan tak pernah orang call ayah lama begitu sebelum ni.

Satu hari, aku terdengar perbualan ayah di telefon dengan janda tersebut.. “i dah bayar kereta u bulan ni, duit pun i dah bank in kat u”…memang tak syak lagi aku sudah agak mesti ayah juga menabur duit kepada janda tua itu. Aku pernah slow talk dengan ayah tentang hal ini, ayah katakan pada aku buat apa ayah nak kahwin dengan orang tua, ayah cuma nak berkawan. Pening aku dengan ayah, dengan adik beradik perempuan aku pun sama kenapalah mereka begitu sekali perangainya.

Sejak aku mula berkerja ketika habis belajar dulu, aku tidak lagi mengharapkan duit ayah kerana aku tahu ayah ada buat benda yang tak baik, jangkaan aku tepat duit ayah yang banyak itu dari sumber yang haram (suapan), mungkin ayah dapat secara bulanan sebab itu ayah seperti bergaji besar.

Ayah juga tahi judi dari muda lagi, umi beritahu aku ayah pernah menang duit banyak dan ayah melarang umi memberitahu kepada sesiapa. Aku juga pernah terjumpa resit nombor ekor ayah dalam keretanya. Dan aku juga tahu yang ayah masih lagi berpangkat rendah, kerana pampasan pencennya cuma 100k lebih sahaja. Aku tahu sebab aku terjumpa salinan penyata pencen ayah di dalam kereta.

Langit tak selamanya cerah, balasan Allah tetap ada bila buat sesuatu perkara yang Allah murkai. Ayah telah ditipu orang, ayah jatuh bangkrap secara tiba tiba, ayah tidak lagi menangung anak menantunya, adik beradik perempuan aku dan suami2 mereka mula meroyan. Yelah selama ni sedap ayah tanggung semuanya.

Mereka marahkan ayah tidak lagi memberi duit, tak lagi membayar sewa rumah dan tak lagi support makan minum dan anak mereka menyebabkan mereka dihalau keluar dari rumah sewa dan mereka hidup merempat menumpang di rumah ayah dan rumah mertua. Ayah juga telah meminta semula kereta kereta yang diberi percuma kepada mereka dan menjual semua barang barang berharga yang umi dan ayah miliki untuk membayar segala hutang piutangnya.

Aku pelik dari mana datangnya semua hutang hutang itu, terlalu banyak dan tak habis habis walau ayah sudah membayar dalam jumlah yang banyak. Aku tanya ayah macam mana hutang boleh banyak sangat, ayah cuma diam. Janda tua pun dah lari tinggalkan ayah.

Ayah kata semua kawan dan saudara mara lari tinggalkan dia apabila dia susah. Aku meminta ayah bertaubat dan solat memohon pertolongan Allah, tetapi ayah tetap degil, ayah tak solat dan masih berjudi katanya judi la satunya jalan untuk dapat duit semula. Aku tengok ayah dah teruk, ayah bukan mengharapkan Allah dan ayah sudah terlalu jauh dari rahmat Allah.

Aku bukan tak tolong, aku pernah buat loan untuk ayah kerana ayah berjanji untuk bayar bulanan tapi ayah langsung tidak mampu bayar loan tersebut, terpaksalah aku menyelesaikan bayaran loan supaya nama aku tak diblacklist sama seperti ayah. Aku tolong semampu aku kerana aku bergaji biasa dan aku pun ada anak anak dan isteri yang perlu dijaga.

Ketika ini lah, umi memberitahu aku yang ayah pernah menang judi banyak. Umi juga tidak tahu ayah bukan berpangkat besar kerana ayah yang menipu umi memberitahu pangkat ayah seperti pengarah. Umi tahu pun selepas aku terjumpa salinan penyata pencen ayah dan aku beritahu umi yang ayah dapat pencen sedikit. Ayah juga tidak pernah membawa kami sekeluarga menyertai apa apa majlis yang diadakan oleh jabatan ayah.

Disebabkan ayah mempunyai masalah kewangan yang teruk, ayah ada meminta aku menjual kereta dan motor aku dan barang barang kemas isteri aku, aku berasa marah dengan permintaan ayah. Aku tak mungkin tolong ayah dengan cara ini kerana semua aku dapat dengan titik peluh aku dan isteri. Ayah juga mengajar aku supaya memaksa isteri aku buat loan untuk ayah, isteri aku seorang pegawai kerajaan yang bergaji agak besar.

Aku tak mungkin berbincang hal ini dengan isteri aku kerana isteri aku sangat tak suka melihat perangai ayah yang tak solat, berjudi, ada perempuan selain mak. Isteri aku pernah menegur ayah tetapi menantu tegur pun ayah tak malu. Isteri aku nasihat adik adik perempuan aku, apa yang isteriku dapat hanyalah makian supaya jangan campur hal dorang.

Puas dulu aku nasihat ayah untuk berubah. Aku ingatkan ayah tentang dosa dan balasan Allah tetapi aku seperti mencurah air di daun keladi. Aku kesian pada umi, umi terpaksa hidup susah semula kerana ayah. Akhirnya ayah cuma ada sebuah motor buruk dan sebuah sebuah kereta saga uzur seperti zaman kecil aku dulu.

Keadaan ayah sekarang bertambah2 susah lagi kerana adik adik perempuan aku menumpang tinggal dirumahnya. Dorang tinggal dan makan percuma sedangkan barang dapur itu aku yang beli untuk umi dan ayah. Kesabaran aku ada hadnya, aku telah mengamuk dan meminta supaya mereka berdikari sendiri dan jangan sikit pun sentuh apa yang aku beli untuk umi dan ayah.

Duit pencen bulanan ayah tak sempat pun untuk beli barang dapur, duit minyak kereta dan motor pun ayah tak mampu, semua habis untuk bayar hutang. Itulah balasan untuk ayah aku. Maaf aku terpaksa ringkaskan, banyak lagi peristiwa yang menyakitkan hati tapi cukup itu sahajalah aku boleh cerita.

Semoga kisah ayah aku ini menjadi pengajaran buat semua. Sekian. Bye

– Fahim (Bukan nama sebenar) via iiumc via edisimalaya