Dia cakap dia tak nak cerai sbb masih sayang saya. Kalau saya nangis tepi dia pun dia tak pernah ambil kisah saya jadi ragu-ragu

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Tujuan saya menulis di sini sebab saya harap saya dapat pandangan dan nasihat yang bijak dan matang.

Nama saya Bunga, berumur lewat 20-an. Sudah berkahwin 5 tahun dan mempunyai seorang anak. Saya terperangkap dalam perkahwinan yang hambar.

Walaupun berkahwin, tapi saya rasa sangat sunyi. Saya tak pernah rasa kebersamaan dengan suami. Dan daripada awal saya sentiasa memikirkan soal cerrai.

Dulu saya selalu tak faham bila orang cakap nak bertahan sebab anak. Sekarang saya juga mengambil keputusan bertahan demi anak selagi suami saya tak kantoi curang.

Dia ayah yang baik, memang anak saya rapat dengan dia. Dan disebabkan inilah hati saya sebak kalau kami bercerrai, anak saya tidak dapat membesar dengan ibu dan ayah di bawah satu bumbung.

Antara saya dan suami, hubungan kami bermasalah kerana masalah komunikasi. Saya seronok tengok pasangan suami isteri boleh berborak, bergurau, bergelak ketawa sepanjang perjalanan balik kampung. Saya?

Saya tak ingat bila kami saling meluahkan perasaan atau bergelak ketawa bersama. Kalau kami makan berdua, masing masing tengok phone.

Berborak tentang perkara superficial Barang dapur ada lagi? Baju sekolah anak dah basuh Nak pegi mana lepas ni? Janggal sekali. Dan suami saya bukan seorang yang pendiam. Dia kaki sembang.

Saya banyak kali cuba ajak dia berborak, tapi dia nampak tak berminat. Keserasian memang tak ada. Saya sejenis suka berbincang dan berterus terang.

Banyak kali saya ajak dia berbincang, tetapi dia memang sangat sukar diajak berbincang. Akhir sekali, dia akan tinggi suara dan cakap, nak bincang apa lagi.

Pernah saya menangis dan ajak dia bercerrai. Tiba tiba dia naik angin dan cakap dia pantang kalau sebut pasal cerrai.

Dia bekerja daripada rumah. Pekerjaan dia memerlukan dia banyak zoom meeting dengan rakan sekerja.

Sebagai seorang isteri, hati saya pedih bila saya dengar dia berborak rancak ceria dan ketawa dengan teman sekerja perempuan.

Saya sebagai isteri kena paksa dia untuk berborak dengan saya, sedangkan dengan perempuan yang haram galak betul dia bercakap.

Dia pernah cakap dia tak nak bercerrai sebab dia sayangkan saya. Sayang? Saya menangis tepi dia pun, dia langsung tak amik kisah. Seolah seperti saya tak wujud. Pujuk apatah lagi. Bila artis berkemban dekat instagram, prihatin pulak stalk. Kesian katenya.

Saya hilang keyakinan diri dan saya rasa mungkin saya orang yang sukar untuk dicintai.

Saya ambil keputusan berjumpa dengan psyhiatrist sebab saya sedar yang saya mempunyai DASS score yang agak tinggi. Saya tertekan dengan suami. Tapi saya nak sihat demi anak saya.

Mulanya suami melarang saya berjumpa psychiatrist, katanya apa orang kata nanti kalau orang tau saya berjumpa psychiatrist.

Satu lagi yang buat saya tertekan, adalah dia terlalu memikirkan apa orang kata. Banyak kali keinginan saya terhalang kerana ‘apa orang kata’’.

Mesti pembaca pelik macam mana kami boleh berkahwin. Kami rakan sekelas sewaktu sekolah menengah. Berhubung semula di facebook pada tahun akhir pengajian di universiti.

Saya yang sedang patah hati putus cinta, terus menerima lamaran dia. Ya, dia yang melamar saya.

Silap saya kerana tak ambil masa bercinta dahulu. Saya jujur ceritakan semua kisah lalu pada dia sebelum berkahwin. Sebaliknya dia kata dia single masa tu.

Selepas kami sah bernikah, baru saya tau, adik angkat yang katanya menaruh perasaan pada dia, rupanya kekasih dia selama 7 tahun. Dia tinggalkan kekasih dia sebab nak berkahwin dengan saya.

Saya tau pun, sebab saya terjumpa satu folder gambar penuh gambar mereka berdua. Malah ada gambar yang sangat menghiris hati seorang isteri.

Tak apa, saya maafkan semuanya. Walaupun ketika dia kantoi, dia marah saya. Sehari kemudian baru mintak maaf.

Dia suami yang baik. Dia bagi saya nafkah, dia meraikan keluarga saya bila keluarga saya datang, dan dia boleh diharap buat kerja rumah.

Cuma antara kami, kosong. Adakah ini normal? Adakah saya ini mengada dan tak bersyukur bila saya fikir tentang cerrai? Harap pembaca boleh bagi pandangan yang bernas.