Memang pelik tak sampai 2 minggu kami dah nikah. Hari kedua nikah suami tak balik rumah

Assalamualaikum dan salam sejahtera para pembaca. Saya Bunga dan merupakan seorang ibu tunggal anak 2 berusia awal 30-an. Saya dalam keadaan yang sangat buntu.

Saya ringkaskan cerita, saya berkenalan dengan seorang lelaki yang merupakan suami saya sekarang.

Perkenalan kami tidak lah terlalu lama, kurang dari tempoh setahun dan tidak terlalu rapat. Saya dan suami dua dua berasal dari negeri Perak dan kampung kami berdekatan.

Permulaan sebagai kawan saya akui saya yang jatuh hati terhadap suami kerana sifat sifat dia dan kami mempunyai hobi yang sama.

Di awal perkenalan, saya mengetahui suami mempunyai seorang rakan perempuan yang amat rapat dan tinggal lebih kurang 2 jam dari kampung kami.

Tiap kali suami balik dari tempat kerja ke kampung halaman dia akan berjumpa perempuan itu. Saya gelarkan perempuan itu Nor.

Ketika kami belum berkahwin dan hanya berkawan biasa, saya dapat merasakan bahawa Nor bukanlah kawan biasa kerana dia selalu berhubung tetapi saya tetap menyedapkan hati saya dengan mengatakan mereka hanya kawan.

Saya akui saya dalam fasa denial kerana saya sudah mula suka kan Suami waktu itu dan suami tidak pernah declare dia sebagai kekasih.

Saya cuba untuk memikat hati suami dan keluarganya. Sewaktu ketiadaan suami di rumah keluarganya saya selalu datang dan membawa buah tangan.

Untuk pengetahuan pembaca, Suami bekerja di luar negeri perak dan setiap kali balik ke Perak suami akan meminjam kereta saya untuk berjumpa dengan Nor kerana keretanya masih rosak dan dia pulang menaiki public transport.

Waktu itu saya mengaku saya terasa agak cemburu tetapi saya taknak suami merasakan saya mengongkong atau cemburu kerana kami hanya kawan biasa dan perkenalan kami baru sahaja beberapa bulan.

Sehinggalah suatu hari, apabila suami pulang dari berjumpa dengan Nor tersebut dan bergaduh besar tentang isu remeh temeh.

Raut mukanya ketara sekali nampak kusut. Saya rasa amat berbunga bunga seolah olah ini peluang.

Saya pada waktu itu terasa seolah olah ingin menjadi pengubat hatinya lalu saya mengajaknya untuk berkahwin. Tidak sangka suami turut bersetuju dengan syarat saya yang uruskan.

Proses untuk berkahwin itu saya yang uruskan daripada A sehingga Z, suami hanya membawa diri.

Walaupun dia seperti tidak stabil waktu itu tetapi saya sangat gembira ingin berkahwin dengan dia dengan harapan saya boleh mengganti kawan perempuannya walaupun kami kahwin terburu buru.

Saya tahu ini kesilapan terbesar saya kerana suami menunjukkan tanda tanda masih tak move on selepas perkahwinan.

Tidak sangka kurang daripada 2 minggu, maka kami pun bernikah. Urusan kami dipermudahkan dan saya juga tak sangka sangat cepat lalu saya sangat bahagia kerana menikah dengan orang yang dicintai.

Masalah bermula setelah kami berkahwin kerana suami masih berhubung dengan Nor.

Saya rasa sakit hati tetapi cuba untuk berpura pura tidak mengetahui. Suami mengatakan Nor selalu menolong dia dan saya berkata untuk ingin berjumpa dan berterima kasih kepadanya tetapi suami hanya diam.

2 hari selepas perkahwinan suami keluar rumah selama beberapa hari dan tidak pulang, dia kata untuk bekerja.

Tetapi dia pulang dalam keadaan tak terurus. Kemudian dia pulang pada waktu pagi dan hadir ke rumah saya dan terus keluar pada tengahari dengan alasan ingin melawat kawan seperti tidak betah untuk duduk dirumah.

Saya faham mungkin beliau terkejut dengan keadaan kami baru berkahwin dan kurang mengenali antara satu sama lain.

Saya cuba memberi dia masa tetapi saya makin kurang sabar kerana saya merasakan dia berjumpa dengan Nor. Selepas pulang dari melawat kawannya muka nya makin ceria.

Di rumah keluarga saya apabila dia pulang, tiap tiap malam dia call seseorang dan bergelak tawa. Waktu itu kami kena kuarantin dibilik masing masing kerana ada ahli keluarga yang positive c0vid jadi suami tak dapat kemana mana.

Saya cuba untuk mengambil hatinya tetapi suami tetap melayan seperti kawan biasa. Di Facebook juga atau whatsapp, suami tidak pernah share yang dia sudah berkahwin.

Saya rasa seperti terhegeh hegeh kerana semua benda yang suami lalui dan bercerita ada watak Nor dalam cerita itu. Saya cuba untuk memikat suami tetapi suami hanya layan saya seperti biasa.

Apabila suami pulang ke tempat kerja, saya ingin menghantar suami ke stesen keretapi. Kemudian saya terdengar perbulaan mereka secara senyap suami mengatakan “nanti dia la hantar”.

Saya terasa kerana dia seolah olah tidak acknowledge kewujudan saya sebagai isteri dan memanggil saya sebagai “dia”.

Setelah suami pulang ke sana dan saya boleh rentas negeri, saya pergi melawat suami di tempat kerja nya. Tetapi suami tidak memperkenalkan saya sebagai isteri tetapi dia melawak saya sebagai gf dia.

Dia juga tidak menguar uarkan perkahwinan kami dan membawa saya jumpa kawan kawan rapat dia di tempat kerja.

Suami juga masih menyimpan barang pemberian Nor yang mana saya tahu sebab saya selalu stalk socmed Nor dan profile dia public.

Mereka ada barang yang mereka beli yang sama seolah olah couple set. Saya rasa masih dihantui bayang bayang perempuan itu dan kadang kadang timbul perasaan menyesal. Saya sangka suami akan boleh sayangkan saya apabila kami menikah.

Kemudian saya cuba mendapatkan number telephone Nor secara senyap senyap di telephone suami tetapi Whatsapp nya saya tidak boleh buka. Saya tahu mereka masih berhubung kerana kadang kadang mereka online WhatsApp di waktu yang sama.

Saya cuba untuk call suami setiap hari terutama apabila dia dan kawan perempuannya selalu online WhatsApp kerana saya merasakan mereka selalu berhubung dan ingin menghalang mereka berkomunikasi.

Saya menjadi paran0id dan selalu check whatsapp suami online atau pun tidak.

Perkahwinan kami masih lagi baru, apakah yang patut saya lakukan. Saya merasakan seolah olah saya thirdwheeler dalam segitiga ini walaupun saya isterinya yang sah.

Patutkah saya warning Nor supaya tidak menghubungi suami lagi?