Sehingga satu tahap aku sampai doa dekat tuhan supaya lenyapkan je adik aku ni supaya tak susahkan mak ayah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Semoga semua yang membaca ni baik baik saja.

Aku tak ada tempat nak bercerita, maka aku ambil keputusan untuk post di sini. Perit pendam rasa sendirian.

Bukan aku yang sakit. Adik aku. Dah 3 tahun Dr. sahkan dia hidap penyakit psik0sis. Aku sendiri tak faham in-depth penyakit ni berpunca dari apa, macam mana nak handle.

Penat wallahi kami penat. Memang kami semua terkesan mentally dan physically. Boleh kata hari hari bergaduh sesama anak anak atau ibubapa.

Mula mula biasalah nk bincangkan solusi untuk adik aku ni, akhir perbincangan mesti penutupnya dengan bertekak.

Ada waktu waktu nya memang kami anak beranak makan penumbuk penampar adik aku ni. Kau bayangkan tengah tidur dia datang tumbuk perut aku. Tak memasal berbirat tulang rusuk aku.

Bila disuruh makan ubat, dia mengeras tak mahu. Kena maki sebakul. Katanya dia tak sakit, untuk apa makan ubat? Makan ludah tu selalu.

Aku student degree belajar online di rumah, semester depan baru balik ke kolej. Persekitaran dekat rumah memang tak memudahkan proses pembelajaran aku. Sampai satu tahap aku nak give up segalanya.

Ikutkan hati aku nak blah saja dari rumah tu, pergi sewa rumah dekat mana mana, buat part time sambil belajar. Tapi tak sampai hati tinggalkan mak ayah aku hadap benda ni sendiri.

Sebabkan aku paling lasak (walaupun aku perempuan) dalam adik beradik aku. Maka aku lah yang tolong bapak aku bergelut bawak dia pergi bilik air kalau dia tak mandi hampir seminggu.

Aku yang bergumpal pegang dia waktu dia nak terjun balkoni (aku duduk apartment).

Aku jugak lah yang paling selalu kena tumbuk pukul dengan budak sakit ni.

Tu baru aku, adik aku yang masih sekolah? Emosi terjejas teruk. Dorang lagi teruk melenting daripada aku.

Aku tak blame dorang. Memang susah budak tingkatan 1 nak faham situasi ni. Rumah yang sepatutnya jadi tempat untuk dia membesar dengan selamat, berantakan.

Merata dah tempat kami pergi berubat. Perubatan modern. Perubatan Islam. Ruqyah. Hospital. Duit habis banyak dah tapi satu pun tak nampak berhasil.

Pergi bawa ke rawatan islam, ruqyah, bagi air. Repeat. Pergi ke hospital. Dr kurung dia dekat wad. Bagi ubat. Repeat. Balik rumah, dia mengamuk, kena pukul tanpa sebab, pecahkan barang dalam rumah, repeat.

Rasa macam aku terperangkap dalam time loop. Diulang ulang proses yang sama. Berulang juga rasa kecewa. Rasa takut. Nak hidup dalam rumah ni pun rasa tak selamat.

Entahlah. Sampai satu tahap aku doa dekat tuhan, supaya tarik jelah nyawa adik aku ni, jangan dia susahkan mak ayah aku lagi. Memang kejam tapi aku rasa kalau dia tak ada itu yang terbaik.

Mungkin ada yang tertanya, mana parents aku? Tak main peranan ke anak anak kena pukul macam tu?

Bapak aku pun dia belasah teruk teruk. Mak aku dia ludah maki. Tapi tak pernah parents aku pukul dia balik, punyalah sabar.

Aku? Aku bukan penyabar. Lagi lagi bila tengok adik sendiri pukul maki mak bapak.

Memang aku get ready nak rembat dia dengan helmet. Tapi ayah aku halang.

Dia kata ‘biarkan dia pukul ayah. Tak apa. Tapi kau jangan pukul dia.’

Mak aku selalu pesan

‘Marah boleh tapi jangan benci’.

Dulu aku pegang lah kata kata mak ayah aku ni tapi tah bila lama lama hidup dengan violence macam ni. Aku tak boleh.

Aku sedar bahawasanya penyakit ni dia tak minta, tapi dalam masa yang sama aku tak boleh sabar.

There’s nothing but pain for the past years.

Kalau ada makian ke cadangan ke tulis saja. Aku baca. Terima kasih.

Sekian.