Makngah cerita yang pakngah siap jumpa makwe dia lagi. Makngah memang takut dan menangis sahaja

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tajuk macam cliche kan, tapi kisah ni memang betul betul terjadi dan aku pun tak pernah sangka ada antara keluarga kami akan diuji sebegini.

Aku bukan nak aibkan mana mana pihak, moga pendapat dari kalian dapat jadi ilham untuk kami selesaikan ujian ini.

Kisah ini mengenai pakngah aku. Mak dan pakngah 2 beradik sahaja. Diorang ni memang sangat rapat.

Keluarga pakngah dah macam keluarga kami sendiri. Makngah pun mak layan macam adik sendiri. Mereka ada sorang anak lelaki, dan sorang lagi perempuan dalam umur 20 an masih belajar lagi.

Pakngah agak alim. Memang jenis solat jemaah dan sangat titik beratkan pasal solat. Makngah suri rumah, jenis isteri isteri yang layan suami ibarat raja. Air basuh tangan semua kena disediakan.

Kalau aku pergi rumah dia, memang nampak makngah bukan jenis duduk diam. Mesti ada sarapan, makan pukul 10, makan lunch, makan petang, dinner, siap supper lagi. So, pakngah aku memang tak reti buat keje rumah.

Ujian ni jadi bila pakngah pencen, dapat duit EPF yang memang agak banyak.

Sebelum dapat duit EPF, pakngah ada pergi reunion kawan sekolah, dan macam yang korang boleh agak terjatuh cinta dengan kekasih lama. Masalahnya, perempuan tu dah ada suami dengan anak anak.

Aku tak tau berapa lama makngah simpan rahsia ni, tapi mak aku dapat agak sebab muka makngah always nampak sedih.

Dan kitaorang dapat rasa something wrong sebab pakngah asyik tengking makngah walaupun depan kitorang. Selalunya pasal benda remeh saja, sebelum ni tak macam tu pun.

Tapi pakngah aku ni memang baran, kalau dekat kedai makan, makanan tak sampai dalam 10 minit memang dia tengking terus pekerja dekat situ.

Mungkin makngah dah tak tahan dan tak tahu nak cerita dekat siapa, so dia luahkan dekat mak aku.

Makngah ada tertengok phone pakngah, itu pun agak agak password, dan dapat baca perbualan dengan perempuan tu.

Perbualan diorang dah ke arah yang tak elok, cuma aku harap sangat sangat tak sampai kearah berziina (nauzubillahiminzalik).

Dah banyak duit pakngah habiskan dekat perempuan tu, sebab makngah jumpa banyak resit dalam dashboard kereta.

Suami perempuan tu keje oil n gas, anak dah besar besar so memang senang la pakngah nak jumpa perempuan tu bila bila masa. Tamak betul semua lelaki dia nak!

Benarlah ungkapan yang mengatakan wanita diuji disaat lelaki tidak mempunyai apa apa, dan lelaki diuji disaat memiliki segala segalanya.

Kesian sangat dekat makngah, diorang kahwin waktu pakngah bekerja sebagai guard. Makngah aku bagi moral support untuk pakngah aku sambung study dan dapat kerja yang bagus dan gaji yang besar.

Susah bersama, dah senang terus buang isteri tu. Eeeee geram betul la aku.

Perempuan tu lagi tua dari makngah, junior pakngah waktu sekolah (kalau ikut umur macam hampir nak menopause). Rupa/ gaya lebih kurang saja dengan makngah aku tapi makngah aku lagi lawa.

Aku tak tau ape yang pakngah nak cari lagi sebenarnya. Sepupu aku pernah tegur ayah diorang, tapi pakngah aku mengamuk sampai sepupu aku kena halau dari rumah.

Itupun sepupu aku minta maaf balik, sebab takde tempat nak pergi. Dia taknak susahkan kami.

Korang tau kan macam mana orang bercinta, angau kemain. Makngah cerita dekat mak, Pakngah asyik tengking makngah. Waktu PKP dulu dia tak dapat jumpa makwe dia, lagi lah dia sakan mengamuk.

Makngah memang takut dengan pakngah, so dia menangis saja. Dia tak nak bercerrai, sebab dia dah takde sape sape, duit pun tak de.

Dia cakap dia sanggup saja terima madu, nak terima madu macam mana, isteri orang kot. Mak aku dah try bagi nasihat dekat pakngah.

Mak baru cakap sikit, pakngah terus mengamuk. Dia sepak pintu almari rumah aku sampai terkopak la pintu tu. (tak kan lah aku yang nak tegur, lagi la aku takut. Untuk info ayah aku dah takde dari aku umur 6 tahun).

Kecurangan ni dah berlaku lebih 2 tahun sebelum PKP dulu. Makngah ada mintak tolong kawan kawan pakngah yang perempuan untuk tegur perempuan ni. Tapi semua tak nak tolong, mereka cakap tak nak runtuhkan rumahtangga perempuan tu dan suami dia.

Allahuakbar, memang kesian betul makngah.

Makngah ada simpan nombor perempuan tu. Dia pernah call, dan cakap elok elok untuk suruh tinggalkan pakngah. Perempuan tu letak terus dan mengadu dengan pakngah.

Pakngah pun mengamuk, habis pinggan mangkuk, handphone makngah pun pecah.

Semua duit pencen dah habis dekat perempuan tu, duit nak makan pun pakngah tak nak bagi. Makngah sekarang cari duit jual kuih dan nasi lemak.

Dulu pakngah cerita dekat kami, dah pencen nanti, duit tu nak bawa makngah bercuti, nak beli emas untuk makngah aku.

Dah ada perempuan lain, jadi angan angan saja lah. Mungkin bila pakngah dah takde duit baru perempuan tu tinggalkan dia, tapi makngah pun memang takkan dapat apa apa dah la.

So macam mana lagi kami boleh tolong? Mak aku takut dia semakin jauh sampai ke arah berzina. Kalau ikut hudud, berzina dengan isteri orang, rejam sampai mati.

Aku tau pakngah akan menyesal seumur hidup kalau tinggalkan makngah. Aku harap sangat dia sedar sekarang sebelum terlambat.