Husband kerap lebih kan family mertua dan kawan-kawan. Tapi untuk saya dan anak-anak macam dah tak hirau

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua.

Kenalkan, saya Lea, seorang isteri dan ibu bekerjaya berusia pertengahan 30an. Punyai 2 orang cahaya mata yang berusia 9 dan 4 tahun.

Seperti tajuk di atas, sejak kebelakangan ini saya mula merasakan bahawa perkahwinan saya dan suami seperti mengumpul lebih banyak dosa dari pahala.

Sedikit latarbelakang, saya telah 11 tahun berkahwin dengan pasangan setelah berkawan selama beberapa tahun.

Jarak usia saya dan suami adalah 5 tahun. Saya di dalam bidang professional manakala suami dalam bidang service dan pembuatan.

Sejak saya mula bekerja 12 tahun yang lalu, pendapatan saya semakin tahun semakin lebih dari pendapatan suami.

Dari mula beratus ratus sehinggalah sekarang pendapatan saya melebihi suami sebanyak 3 ribu – kesilapan utama saya apabila terlalu jujur tentang pendapatan dengan suami.

Tanpa saya sedar, semakin lama semakin banyak wang yang saya belanjakan untuk keluarga kami. Gaji suami selepas seminggu memang hanya akan berbaki kurang dari 10%.

Begitulah kehidupan kami bulan demi bulan, tahun demi tahun dari punya seorang anak sehingga dua dan dari menyewa rumah sehinggalah kami membeli kediaman kecil kami 6 tahun lepas.

Kediaman kami cuma apartment kos sederhana berharga 250k dan kami hanya mempunyai sebuah Myvi yang dibeli oleh saya 7 tahun lepas.

Semakin lama semakin bertambah lah perbelanjaan bulanan kami.

Rumah, kereta, duit untuk kedua ibu bapa kami yang mana kedua dua ayah dan ayah mertua saya tidak mempunyai pencen. Ibu dan ibu mertua saya suri rumah sahaja, belanja taska dan keperluan anak anak, belanja dapur dan segalanya.

Selama ini, oleh kerana saya rasa kasihan pada suami, saya tidak pernah memaksa suami untuk melakukan kerja part time untuk menambah pendapatan.

Pernah saya duduk berbincang berkali kali membentangkan belanja bulanan kami dan berapa yang saya keluarkan. Suami hanya diam dan tidak berminat untuk mengambil apa apa tindakan.

Makanya, setiap bulan 70% gaji saya saya akan dihabiskan untuk membantu suami. Untuk melancong kemana mana pun sejak dulu, begitu jugalah, atas tanggungan saya 100%.

Kata orang, langit tidak selalu cerah bukan?

Sejak May 2020, saya mula menghidapi penyakit yang mana telah mengakibatkan saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama lebih kurang setahun.

(Bersyukur saya punya majikan yang baik, sudi memberi ruang untuk saya mengubati diri.)

Sejak itu, suami sahaja yang mencari rezeki. Namun ketika itu, suami tetap tidak terbuka mata bahawa pendapatan beliau memang tidak pernah mencukupi.

Sehingga lah pada suatu hari, suami ternampak penyata bank saya yang mana duit simpanan saya selama berkerja berbaki kurang dari 1k.

Apabila ditanya, saya jujur mengatakan duit simpanan saya memang sudah diguna kurang lebih 35 ribu kerana segala perbelanjaan yang biasa saya tanggung selama berkerja tetap saya lunaskan.

Mesti pembaca pelik kan, tidak kah suami saya sedar bahawa saya tetap membantu walaupun hakikatnya saya tidak bergaji?

Saya sendiri tidak pasti, adakah suami saya berpura pura tidak sedar atau beliau terlalu ego untuk mengakui bahawa tanpa bantuan kawangan dari saya, beliau pasti dalam kesusahan.

Sejak peristiwa itu, alhamdulillah suami terbuka hati untuk membuat kerja part time (sedar tak sedar sudah setahun lebih suami buat dua pekerjaan).

Saya? Alhamdulillah, penyakit saya makin pulih dan sudah mula bekerja sejak June tahun lepas.

Masalah berpunca kerana saya sangkakan apabila suami punya pendapatan sampingan, makanya perbelanjaan rumah akan diambil alih lebih banyak oleh suami, namun sangkaan saya sangat meleset.

Suami tetap dengan perangai dahulu (mengharapkan gaji saya untuk membantu urusan kewangan rumah).

Lebih menyakitkan hati, apabila suami lebih mementingkan keluarga mertua dan kawan kawannya. Ibu ayah mertua, adik beradik setiap kali kesusahan, semuanya suami bantu.

Kawan sedang kesusahan – nah, pasti dibantu oleh suami. Untuk saya dan anak anak? Tidak mengapa, duit gaji saya boleh menampung.

Sehinggakan anak anak saya mula pandai bertanya pada ayah mereka mengapa hanya ibu sahaja yang berbelanja untuk mereka?

Anak anak untuk apapun mereka pasti meminta dari saya sebab sudah banyak kali dikecewakan oleh ayah.

Keluarga mertua pula, apabila mengetahui suami punyai dua pendapatan, setiap bulan pasti ada permasalahan wang yang akan diajukan ke suami, dan memang setiap kali itulah suami akan tetap membantu walaupun hakikatnya suami ada 5 beradik yang lain.

Saya? Makin hari, hati ini makin sakit. Sudah puas saya bercakap, berbincang heart to heart, bersemuka, dalam whatsapp, namun hakikatnya sia sia sahaja.

Pernah ada ketika saya dan anak anak teringin untuk makan KFC, suami katakan tiada duit. Hakikatnya sehari sebelum itu suami sudah mendapat RM 300 dari kerja sampingannya.

Jujur katakan sudah berbulan bulan issue yang sama timbul, berulang ulang, sehingga saya menjadi keras hati.

Apa yang tak cukup di rumah, keperluan anak yang tiada, saya butakan mata dan hati saya dari mengeluarkan wang sendiri.

Suami? Sehingga saat ini masih begitu juga, asyik meratib tiada duit walhal setiap bulan wang sampingan boleh diraih dalam 500 ke seribu.

Adakah ini semua salah saya yang memanjakan suami sejak dulu? Atau memang suami berkira dengan saya disebabkan pendapatan saya lebih banyak dari beliau?

Sedangkan suami seorang yang menjaga hubungan dengan Allah, jadi mengapa suami bersikap begini terhadap saya dan anak anak?

Saya sampai mula hilang rasa hormat, rasa kasih pada suami disebabkan permasalahan ini. Ada juga ketika saya rasakan lebih baik tidak punya suami dari punya suami yang mengambil kesempatan begini.

Saya tahu ramai di luar sana yang suami mereka tidak bekerja langsung, tapi jangan lah kalian mengatakan saya perlu bersyukur kerana suami tetap masih mahu bekerja. Emosi saya terdera disebabkan sikap suami.

Saya mohon andai ada diantara kalian yang berada dalam permasalahan yang sama, apakah yang akan kalian lakukan.

Perlukah saya berdiam diri – redha akan segalanya atau perlu kah saya mengorak langkah?

Terima kasih untuk kalian yang sudi membaca.

Dari seorang ibu dan isteri yang tersakiti, Lea

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *