Benda2 kecik macam ni pun dah jadi isu pada mak. Aku dah penat nak ikut semua yang nak. Entah lah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aku Lina. Berumur 30 tahun. Seorang isteri, ibu dan anak. Harapnya posting aku ni dapat disiarkan untuk dapatkan pendapat orang lain.

Aku dan suami berkahwin 3 tahun lepas dan Alhamdulillah dikurniakan anak lelaki berumur 2 tahun.

Suami bekerja sebagai jurutera awam dan aku sebagai assistant manager di sebuah syarikat GLC. Hidup kami boleh dikatakan selesa.

Meskipun kami happy, tetapi aku mempunyai konflik dengan mak aku sendiri bermula selepas aku berkahwin.

Secara ringkas, aku dan mak aku sangat rapat sewaktu aku single dulu. Apa apa masalah diceritakan kepada mak aku.

Aku juga anak yang paling taat dengan mak aku semasa kecil. Sekolah dan universiti aku cemerlang sebab aku nak buat mak ayah aku bangga. Kerja pun Alhamdulillah bagus.

Walaupun aku anak ketiga dari empat adik beradik, aku yang paling lewat berkahwin jadi aku jaga kedua ibu bapa aku sewaktu aku bujang.

Tetapi kini aku hidup di berlainan negeri dengan ibu bapa. Sejujurnya, sejak aku dah berkahwin hubungan aku dengan ibu aku tak serapat dulu sebab aku sibuk uruskan kerja dan keluarga.

Sebelum berkahwin, aku hidup di negeri orang berseorangan sebab ditugaskan di situ. Selama aku bekerja di situ, aku banyak uruskan masalah aku sendiri sebab mak ayah aku pada waktu tersebut sibuk dengan cucu mereka. Tapi aku faham sahaja.

Tak lama kemudian, Tuhan jumpakan aku dengan peneman yang sangat istimewa iaitu suami aku sekarang.

Setahun lepas kami berkenalan, kami mendirikan rumah tangga dengan mendirikan majlis ringkas menggunakan duit aku dan suami sendiri.

Tanggungjawab sebagai anak aku masih jalankan seperti beri wang bulanan sebanyak 500 kepada mak ayah selepas aku berkahwin.

Telefon ada juga seminggu tiga kali paling kurang sebab aku kadang kala sibuk bekerja sampai sukar nak cari masa untuk telefon ibu bapa aku setiap hari.

Jadi benda benda macam ini dijadikan isu bagi mak aku. Aku jadi penat untuk memenuhi kehendak kehendak dia. Lagi banyak dituruti, lagi banyak isu yang akan berbangkit.

Mak aku seringkali membandingkan suami aku dengan suami adik aku. Adik aku tak bekerja tetapi suaminya mampu beri kemewahan pada dia sebab rezeki kerjaya doktor perubatan.

Suami aku selalu diperli sampaikan aku rasa kalau boleh aku nak elakkan mak aku berjumpa dengan suami aku supaya dia tak mengguris hatinya. Tapi aku diamkan sahaja.

Pelik, walaupun suami adik aku yang sering dipuji dan disanjung, tatkala mak aku sakit dan perlu pergi ke hospital, suami aku juga yang turun membantu meskipun kami duduk berlainan negeri dan adik aku duduk sama negeri dengan mak aku.

Baru baru ini ibu aku nak beli kereta sebab katanya kereta lama dah uzur. Jadi aku turutkan sahaja untuk membayar down payment dan mak aku kata duit bulanan akan dibayar sendiri. Lama kelamaan mak aku asyik perli sebab tidak bayar duit bulanan kereta.

Aku bagitahu mak aku kekangan kewangan aku, tak cukup lagi ke 500 aku bayar bulanan? Disebabkan itu, mak aku tak bertegur dengan aku untuk sekian lama. Ada juga aku cuba berbaik dengan mak aku, tetapi dibalas dengan layanan dingin.

Jadi aku penat. Ada sekali aku menjawab dengan mak aku selepas menerima terlampau banyak sindiran, tetapi aku dikatakan kurang ajar padahal ada abang aku ada di situ untuk yakinkan aku yang aku bercakap lembut dengan dia.

Lama lama aku decide segala sindiran dan umpatan yang aku dengar aku diamkan sahaja sebab apa yang aku buat salah.

Kadang kala aku menangis. Kesian juga dengan suami aku mendapat mak mertua yang selalu membandingkan dan menyindir. Aku dah cuba untuk membaikkan keadaan tetapi aku dah penat.

Dan aku baru sedar selama ini aku bukanlah anak kesayangan mak aku sebenarnya, tetapi sekadar anak harapan.

Selama ini walaupun aku rapat dengan mak aku, silap kecil aku buat diperbesarkan tetapi adik aku yang berbuat silap, di diamkan sahaja.

Adik aku pula selalu mencurah minyak di api dengan menjadi kawan mak cik bawang kepada mak aku.

Aku cuba jadi anak yang baik, tapi aku manusia yang ada perasaan. Saya hargai doa kalian untuk lembutkan hati mak aku.

Tetapi jika dari confession ini memang salah aku, mohon doa aku mampu perbaiki kekurangan aku sebagai seorang anak.