Dia nikah koboi tau tanpa saya setuju. Lepas tu berwalikan adik si perempuan tu. Aku memang tak sanggup di duakan

Saya terpanggil selepas baca luahan isteri bekerjaya, yang jaga keterampilan, tetapi dicurangi suami.

Sebab saya juga mengalami nasib yang sama.

Lagi malang, dapat tahu selepas sebulan lebih mereka menikah dan 4 hari sebelum ulangtahun perkahwinan kami yang ke 15. Ya Allah betapa sakit dan hancurnya hati ini.

15 tahun, kami hidup atas dasar saling mempercayai. Dan saya tak pernah berperangsangka buruk pada suami. Saya tak pernah nak ambik tahu password handphone. (Kesilapan terbesar sebab terlalu mempercayai).

Sehinggala suatu hari, selepas solat magrib, terlintas nak tengok phone suami semasa cas. Dan ternampak miss video call stated nama perempuan. Bila ditanya, jawapan. “Kawan”.

Dari situla hati mula syak dan berwaspada hinggalah 2 minggu kemudian, benda sama jadi lagi. Bila banyak dalih, saya minta nak hubungi nombor tu. Dan mula la sesi berebut telefon.

Dan saya tak berjaya merampas handphone suami. Dari sinila, saya boleh tahu, bukan setakat kawan…

Saya mula melakukan siasatan. Berjam jam saya try check melalui social media suami. Dan finally saya jumpa gambar nikah dia dekat facebook friend list dia. Janda anak 3!

Hati saya remuk… puas fikir mana silap saya. Saya juga ibu pada 3 orang anak.

Esoknya, saya cuba kawal diri dan buat buat tak tahu yang dia dah nikah lain, saya bersemuka dan slow talk dengan suami.

Ayat pertama saya, Saya tanya suami, apa salah saya, apa kekurangan saya… dia jawap, “awak sempurna dan tiada silap apa”.

Dan masa nila saya bagitahu, yang saya dah tahu dia nikah lain. Saya tanya siapa dan kenapa buat saya macam ni. Janda itu kawan lama suami 20 tahun lepas. Baru jumpa di facebook.

Banyak diceritakan kisah sedih si janda ini, yang menyebabkan suami kasihan dan dengan niat nak membantu, dia sanggup jadi suami.

Nikah koboi, tanpa persetujuan saya. Berwalikan adik si janda tu dan bersaksikan 2 orang sahabat suami. (kadi pun, si adik janda)

Remuk hati saya. Dan saya minta suami, pergila pada si janda. Bantula si janda tu. Dan mula hidup baru kalian. Tinggalkan dan ceraikan saja saya. Saya masih mampu menjaga anak anak saya.

Saya bukan isteri yang baik. Yang boleh terima madu. Saya tak boleh nak redha atas segala apa yang saya dah korbankan pada keluarga. Sebab selama ini, saya banyak membantu suami dalam serba serbi.

Hati saya sehancur hancurnya. Saya tak boleh terima kecurangan ini. Sebab saya dah serah sepenuh jiwa raga saya pada keluarga. Saya korbankan kehendak saya semata mata untuk keluarga, dan akhirnya ini yang saya dapat.

Dipendekkan cerita, 4 bulan kemudian, suami akhirnya ceraikan si janda itu bersaksikan saya. Bukan sebab saya yang suruh, tapi dia yang buat keputusan.

Banyak pengajaran dari kisah saya ini. Saya rumuskan disini

1- Jangan 100% terlalu percaya suami.

2- Password handphone wajib tahu.

3- Hati hati. Kat luar sana, banyak perempuan yang desprate nak suami kita. Sanggup terima suami walaupun suami tak mampu dari segi nafkah.

4- Jangan bagi peluang dan ruang pada suami, untuk dia senang berlaku curang. Cont0h : Ikat dia balik rumah, selepas balik solat kat masjid, jangan bagi lepak lepak dengan kekawan.

5- Untuk perempuan yang desprate nak bersuami-kaji dan fikir dulu sebelum anda nak ambik hak orang. Jangan main tangkap muat. Dan akhirnya anda juga yang rugi.

6- Untuk suami suami, hargailah pengorbanan isteri yang banyak membantu anda. Jangan hancurkan hati isteri. Sekali hancur, dah ibarat gelas yang dah pecah. Cantum mungkin boleh, tapi dah tak sama macam asal.