Lepas akad, ayah panggil kak long sampai berair mata kaklong. Rupanya selama ni ayah diam je tapi terasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Hi. Saya Imah. Luahan ni sebab saya rasa ayah tak salah.

Mak tak rajin masak seperti dulu. Tapi, ayah sentiasa memahami. Ayah rela masak. Kadang kadang kami 3 beradik dan ayah berganti ganti untuk masak setiap hari. Kak long, kak ngah dengan saya.

Mak, tak pernah jejak dapur. Jejak dapur kalau nak makan sahaja. Mak lebih rela duduk dalam bilik main telefon.

Kami adik beradik tak kisah mak tak masak. Tapi, kami sedih ayah selalu dibiar makan sendiri. Makan tengahari dengan anak anak, isteri tiada disisi. Makan malam pun tanpa isteri.

Kalau kak long dengan kak ngah kerja, saya teman ayah. Tapi saya pun kadang kadang ada assignment nak diselesaikan. Atau kelas online.

Ibaratnya ayah seperti seorang duda yang hanya boleh nikmati makanan dengan anak anak saja kerana isteri telah lama tiada. Lebih kurang macam tu la.

Mak selalu makan sendiri, main telefon, bergayut ditelefon dengan kawan lama, keluar berjalan dengan kawan sampai tak ingat rumah.

Balik rumah kembali ke bilik. Main telefon. Bercakap dengan ayah bila mak rasa perlu.

Kami nampak makan minum dan pakai ayah terabai. So, kami adik beradik decide suruh ayah makan diluar sahaja kalau hari bekerja sebab kak long kata kak long dan kak ngah dah start sibuk bekerja.

Saya pula selalu sibuk dengan assignment. Takde siapa masak dirumah. Kami adik beradik kasihankan ayah sebab kadang kadang balik dari kerja, terpaksa masak. Lepastu, makan sendiri.

Berbulan bulan ayah makan diluar. Akhirnya, ayah bawa berita beritahu ayah nak bernikah lain. Ayah beritahu tak nak cerraikan mak. Tapi mak kata mak tak sanggup diduakan. Ayah kawin dengan isteri baru pada Mac 2021.

Mak salahkan ayah, sebab cari perempuan lain diluar. Mak kata, sebab tu dah lama tak balik makan rumah. Tapi kami adik beradik tak pernah salahkan ayah.

Alhamdulillah saya tinggal dengan mak sampai sekarang dengan kak long dan kak ngah. Sebab niat nak jaga mak. Mak takde kerja, takde harta juga.

Sepanjang hidup mak dulu sebelum cerai, memang bergantung dengan ayah.

Kami tiada dendam dengan ayah. Tapi tak pernah tahu bila ayah jumpa isteri keduanya. Dan kami tak pernah nak berkenalan atau duduk semeja dengan isteri baru ayah.

Walaupun kami selalu jumpa ayah, kami 3 beradik dah maklum awal, kami tak nak kenal atau jumpa dengan isteri kedua ayah. Setiap kali ayah jumpa kami adik beradik, ayah tak pernah bawa isteri dia. Sebab ayah faham.

Februari 2022 akhirnya kak long bernikah. Ayah masih wali kak long.

Lepas akad, ayah beri nasihat pada kak long, “tak nak masak pun takpe, rajinkan teman suami makan. Suami rasa sunyi dan sedih bila makan sendiri.”

Kak long beriya nangis lepas dengar ayah cakap benda ni.

Barulah kami tahu, selama ni ayah diam, ayah tak pernah luah pada kami, rupanya ayah dalam diam terasa hati dengan mak.

Buat para isteri, tugas isteri tu melayani suami. Doakan kita semua jadi isteri solehah dan mithali buat suami. Doakan saya juga, hehe.