Kakak senior pelik kenapa geng2 kami semia single. Walhal rupa cantik dan bekerjaya

Salam. Hi semua. Sejak beberapa tahun lepas, sedara aku dah tak tanya bila nak aku kahwin. Dorang pun dah tau tu soalan sensitif. Lagi lagi anak dorang pun ada yang dah bercerrai.

Tapi sekarang risau jugak. Sebab cousins aku yang dah bercerrai dulu pun, raya kali nih dorang dah jadi isteri orang semula. Siap ngendong anak lagi. Aku masih status single. Sebelum ni pernah bercinta tapi takde jodoh.

Aku dan geng geng single selalu discuss, kenapa kawan/ sedara lain yang janda/ balu lagi senang dapat bertemu jodoh semula daripada kami.

Bila diselidiki, perempuan tu berkahwin semula tiada hantaran. Yelah, masa first marriage dah ada kenduri besar besaran, berbalas belasan dulang.

Kalini asalkan ada lelaki melamar, dah bersyukur ada orang nak jaga.

Tapi tak semua la ye. Ada juga keluarga yang tetapkan hantaran RM8k untuk anak perempuan dorang walaupun ibu tunggal.

Supaya bakal suami tak ambil ringan dengan tanggungjawab yang akan digalas. Cuma majlis takdelah meriah macam dulu.

Kakak senior di pejabat kami pernah cakap, dia pelik kenapa geng geng kami masih single. Sedangkan kami ada kerja tetap, berpendidikan, jaga solat dan aurat, ada rupalah sikit.

Bukan takde lelaki yang approach kami. Bila fikirkan balik, kami cepat sangat reject lelaki.

Tak solat? Out. Tak pandai mengaji? Out. Mencarut kat socmed? Out. Antiv4ksin? Out. Start pinjam duit? Out. Tackle perempuan lain? Out.

Pernah dengar ada rakan ghosting 50 lelaki dekat platform cari jodoh bila start berkenalan dah nampak red flags.

Bila senior nasihatkan terima saja kekurangan lelaki, terkebil kebil kami dibuatnya. Memilih sangat ke? Solat tu, basic kot sebagai orang Islam.

Salah ke kalau kami reject? Tapi baca confession pihak isteri, ramai je yang berkahwin walaupun tahu suami tak solat, asalkan baik.

Seseorang pernah cakap kepada aku, “Baik ke lelaki tu kalau dia sendiri tak jaga hubungan dia dengan Pencipta dia?”.

Hmm. Ada lelaki yang nampak rajin pergi masjid pun, pernah kena tangkap dengan polis dengan kesalahan mergol. Entahlah. Susah nak diduga.

Boleh jadi, jodoh yang tersurat memang belum sampai. Kami pun teruskan hidup dengan travel, sambung belajar, join aktiviti masyarakat dan sebagainya.

Bila balik beraya atau gathering, jadi terasing.

Rupanya walaupun kita pulun siapkan tesis, kita dapat APC/ the best staff ke, wakil organisasi untuk pertandingan peringkat kebangsaan/ antarabangsa, kita travel berpuluh negara, semua tu kaum kerabat tak amik tau pun.

Orang lain bukannya tahu kau dah berkenalan dengan berapa orang, bercinta lama mana, dah pernah putus tunang.

Asalkan jumpa, tengok kau masih tak berlaki, nampak macam perempuan tak laku, takde lelaki yang nak kahwin dengan kau.

Orang tengok hidup kau masih tak lengkap walaupun dah macam macam pencapaian dalam hidup kau. Begitulah lebih kurang.

Masing masing bila berkumpul cerita mengenai pengalaman dorang besarkan anak, sekolah anak anak.

Kita takde apa nak cerita. Setakat dorang berbasi basi tanya “Macam mana dengan kerja? Ok?”.

Orang perempuan takdenya nak berkongsi pendapat isu semasa seperti pasal konflik Rusia-Ukraine. Lagi baik perhatikan askar askar kecik bergaduh jadi ultraman dan raksasa dekat ruang tamu tu.

Aku tengok, biasanya orang boleh blend in kalau ada pengalaman yang sama.

Haritu aku try belajar masak kuih pau. Aku borak borak dengan sorang rakan sekerja, baru dorang yang lain join cerita cara dorang buat kuih pau jugak.

Cuba kalau aku jenis bujang yang tau membeli je, aku tukang dengar je la orang bercerita. Bila kita senyap, orang anggap kita tak pandai bersocial, padahal kita memang tak tau nak borak apa.

Berbalik kepada topik sewaktu gathering. Dah aku takde pengalaman beranak, susukan baby. Tak tau brand susu dan pampers yang bagus.

Setakat dengar daripada adik beradik yang dah kahwin atau kawan kawan lain saja lah. Bolehlah nak menyampuk sikit sikit daripada jadi tunggul.

Jadi aku fahamlah kenapa orang lelaki lagi suka janda muda daripada andartu. Ibu tunggal berumur 27 tahun, dah ada pengalaman siapkan makan minum suami, mengandung dan menjaga anak anak kecil.

Jenis andartu umur 35 tahun ke atas yang terlalu sibuk dengan kerja atau sambung pelajaran sampai phD dan aktif dengan aktiviti luar rumah. Mana lelaki akan pilih yang jadi untuk ibu kepada anak anaknya?

Faham faham sajalah. Kat page MAHN pun, lelaki siap komen “semoga bakal isteri saya mampu masak banyak ni untuk berbuka puasa nanti”.

Ramai lelaki nak cari perempuan yang sanggup susah bersamanya. Boleh layan dia, balik rumah makanan sudah terhidang.

Tak ramai lelaki yang boleh terima perempuan yang hendak berbakti kepada masyarakat atau lebihkan urusan kerja daripada rumahtangga.

Sebab suami pun kena buat kerja rumah kalau isteri masih belum balik. Lelaki ada juga yang memilih wanita bekerjaya, sebab boleh tanggung sebahagian belanja rumah.

Lagi satu, kalau ibu tunggal ada anak, sudah tentu suburnya. Berbanding andartu, jika mengandung lewat akan berisiko tinggi.

Kalau ikut sains, kebarangkalian nak mengandung itu rendah. Tapi perlu diingat, anak itu rezeki Allah juga. Yang kahwin awal pun, belum tentu dapat anak.

Dah minggu terakhir Ramadhan ni, kita berdoa sajalah samada untuk jodoh, anak atau apa apa rezeki yang baik daripada Allah Maha Pemurah. Semua rezeki untuk kita dah tertulis.

Jika tak dapat tahun ni, tahun depan kita berdoa lagi. Kalau tak dapat di dunia, mungkin Allah simpan pada hari akhirat nanti. Aamiinnn.