Tiada satu celaan pun pada suami. Zu anggap suami Zu laki paling sempurna tapi nape nikahi Zu jika isterimu ini tiada rupa

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Zu baru mendirikan rumah tangga dengan suami. Berkenalan dengan suami dalam masa yang singkat tetapi buat keputusan untuk bernikah kerana kedua duanya merasakan telah bersedia untuk satu perkahwinan.

Zu merasakan suami Zu insan yang tepat dan telah Zu titipkan doa kepada Yang Esa sebelum kami bernikah. Kami kemudiannya selamat bernikah.

Semuanya bahagia walaupun pernikahan hanya dengan cara sederhana, tiada honeymoon, tiada majlis besar besaran. Hanya kenduri kecil untuk keluarga terdekat.

Sungguh, semuanya sempurna.

Tapi, hari ini Zu kecewa. Kecewa dengan diri sendiri, kecewa. Sangat kecewa. Zu tidak disentuhi oleh suami. Hanya beberapa kali disentuhi sepanjang perkahwinan kami yang tidak sampai setahun ini.

Suami beri alasan (yang tak perlu Zu nyatakan disini) dan Zu terima dan beri masa untuk suami Zu. Zu redha. Mungkin ini kifarah dosa dosa Zu dulu sebelum kahwin. Zu redha.

Selang beberapa bulan, kini suami Zu beri alasan lain sebab tidak mahu sentuhi Zu kerana Zu tidak menarik.

Suami Zu tiada selera dengan Zu kerana bentuk tubuh Zu dan suami Zu minta Zu kurangkan berat badan sebelum dia beralih arah dan curang terhadap Zu.

Zu akui Zu gemuk, suatu perkara yang sudah cukup buat Zu murung sejak dulu lagi. Zu memang ada masalah h0rmon dan memang pernah diet, bersenam untuk turunkan berat badan. Tidak berhasil.

Bila suami Zu katakan pada Zu, satu sahaja rasa hati Zu, sesalan. Hanya penyesalan. Tiada satu cela dan cacat pada suami Zu pada mata Zu. Dia lelaki yang sempurna.

Malangnya, Zu yang tidak sempurna. Kenapa pilih untuk nikahi Zu sekiranya tidak boleh terima rupa fizikal Zu?

Apabila itu yang diucapkan suami Zu, Ya Allah, luluhnya hati Zu.

Selama ini, memang ada suami nyatakan niatnya serta harapannya agar kami sama sama memajukan diri. Erti kata lain, sama sama menyempurnakan kecantikan fizikal kami.

Sungguh Zu tidak kisah malahan Zu gembira kerana Zu berharap suami Zu sama sama majukan diri. Tetapi bila hujung minggu, tidak pula hendak sama sama bersenam dengan Zu.

Kerja Zu jauh dari rumah, balik dari pejabat, sudah penat, hendak sediakan makan untuk suami Zu.

Jika tidak sediakan makan pun, Zu berehat dan tunggu suami Zu balik dan sediakan apa yang suami Zu nak.

Zu luahkan disini bukan tidak bersyukur, bukan untuk simpati. Salah Zu. Salah Zu yang tidak reti jaga makan, salah Zu kerana tidak bersenam pabila balik dari kerja.

Zu luahkan disini kerana Zu tahu tiada tempat lain yang boleh Zu luahkan. Di hadapan suami, Zu ya kan permintaannya, tapi hati Zu sedih. Ya, Zu sedih.

Zu tahu masalah Zu ini bukan besar dan tidak sebesar mana pun kalau nak dibandingkan dengan luahan rasa orang lain yang pernah Zu baca sebelum ini.

Zu luahkan disini kerana Zu perlu luahkan, yang Zu sedih. Kalaulah abang boleh rasakan beratnya hati Zu sejak abang luahkan perkara itu. How useless I felt.

I am just sad. I am just freaking sad. And no one could help me but myself.