Dia layan saya macam saya ni bibik. Saya sebenarnya dah terbeban dengan kerja dan juga ibu kepada anak2

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kisah ini saya nukilkan hanya untuk meluahkan apa yang saya rasa sejak bergelar isteri.

Saya berumur 29 tahun, sudah berkahwin 3 tahun dan dikurniakan seorang anak. Sejak berkahwin saya duduk di rumah suami (rumah sendiri) yang dekat dengan rumah mak mertua di bandar.

Rumah kami tidaklah mewah sekadar rumah apartment tapi cukup segala, serba serbi.

Suami saya bukanlah orang yang jahat, cuma saya mendapati ada perangainya yang menjadi barah dalam rumah tangga saya. Suami saya bekerja sebagai jurutera dan saya bekerja sebagai admin/procurement.

Kedua dua kami alhamdulilah berada dalam golongan M40 pertengahan. Kami mempunyai kereta, motorsikal dan rumah sendiri. Jika dilihat dari luar, kami keluarga yang sempurna. Alhamdulillah.

Cuma ada satu perkara je yang saya tidak berkenan dengan suami saya, iaitu, dia rasa dirinya berhak melayan saya seperti bibik rumah tangga. Asasnya, saya cukup penat terbeban sebagai isteri yang bekerja dan ibu.

Saya dapati hampir kesemua kerja rumah dan penjagaan anak saya buat sendiri.

Hal rumah, pembayaran bil, hal ehwal rumah, taska anak, perkembangan anak, makan minum, hal barang dapur, hal majlis family, semua diletakkan di bawah tanggungjawab saya.

Seakan suami saya tiada fungsi dalam rumah tangga. Saya bagi contoh untuk mudah difahami.

Saya bangun seawal 6 pagi. Mempersiap sarapan, mempersiap anak – packing barang taska, bari anak makan, mandikan anak, layan suami breakfast, basuh pinggan, buang sampah, persiapan diri sendiri ke tempat kerja.

Saya kerja office hour masuk 9 pagi keluar 6 petang. Pukul 7.40 pagi saya sudah keluar ke tempat kerja, hantar anak ke taska , baru sampai office.

Hampir setiap hari lewat kerana trafik yang sentiasa berubah (kemalangan, trafik light rosak, sekatan jalan raya, masalah tol, etc).

Balik pula, saya keluar office seawal 6.15pm, ambil anak, dan hanya sampai ke rumah pukul 7.45pm.

Sesampainya di rumah, saya perlu persiapkan diri sendiri, anak, solat, masak, dan bagi anak makan yang dibawa sampai ke pukul 9.30 malam.

Sesudah itu, saya masih perlu menghabiskan masa untuk ajar anak hal hal agama, spend time dengan anak untuk beberapa aktiviti bagi mengisi ketiadaan saya semasa anak di taska (bonding)

Sesudah itu, saya juga yang perlu kemas dapur, basuh pinggan, buang sampah, basuh baju, lipat baju, dan tidurkan anak.

Sesudah tidurkan anak, saya masih perlu iron baju suami, layan suami nak makan itu ini, buatkan kopi dalam keadaan yang sangat letih.

Kadang kadang, saya perlu kemas peti ais malam malam kerana suami tak suka peti ais banyak barang. Semua aktiviti ini ambil masa sampai pukul 11 malam (kadang kadang lebih).

Bila sudah tidur, suami pula kejut saya pukul 2-3 pagi untuk bersama. Belum campur anak bangun malam untuk minta susu.

Dan rutin ini berulang setiap hari. Padahal saya ini juga membayar perbelanjaan keluarga dengan jumlah yang sama. Kereta rosak, saya kena setelkan kerana alasan suami sibuk bekerja.

Paip rumah bocor, saya juga yang kena setelkan kerana alasan sama. Lampu rosak, saya juga yang perlu betulkan kerana suami lambat bertindak walaupun sudah banyak kali diingatkan.

Hal hal bil, kenaikan maintenance fee, dan lain lain acara kemasyarakatan, semua saya yang perlu handle.

Keadaan ini menyababkan saya jadi ibu yang cepat marah, dan tiada lagi senyuman kepada suami. Bila saya sampaikan kepada suami, dia merajuk dan kata “Ye la.. Saya je la yang salah”.

Respon yang kebudakan ini sangat menyakitkan hati saya. Sekarang saya fikir lebih baik saya berlepas diri dari perkahwinan yang tiada fungsi ini. Sebelum saya sakit mental dan fizikal.

Padahal saya juga graduan engineering, yang perlu berkorban kerja yang tidak perlu ke mana mana site dan tidak perlu kerja weekend hanya untuk pastikan kebajikan anak dan suami terjaga.

(sebab saya sedar, PJJ bukan pilihan yang baik untuk kami).

Saya harap saya dapat membuat keputusan yang baik dan tepat.