Syukur selamat bernikah dengan suami. Tapi hairan lepas majlis akad nikah ayah hilang

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Perkenalkan diriku seorang wanita berusia 33 tahun, dah berkahwin selama 4 tahun dan ada seorang anak.

Saat aku taip kisah ini, jam 2 pagi. Air mata aku mengalir dan ingin aku kongsi kisah ini untuk meluahkan rasa di hati. Ibu – itu yang terlintas di fikiranku.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Ada seorang adik lelaki muda 4 tahun dariku. Ibuku tukang jahit dan ayahku pemandu lori.

Ayah tak balik seminggu dua itu biasa. Dari kecil aku keliru. Kadangkala ayah ok, kadangkala tak ok.

Ada hari ayah akan menengking ibu tanpa sebab. Ibu hanya diam tak menjawab. Kadangkala ayah akan tarik rambut ibu dan ketika ini aku dan adik akan jerit ‘jangan pukul ibu’.

Ada hari ayah balik bawa makanan sedap sedap dan bercakap lembut dengan kami semua.

Sampailah usiaku 16 tahun, ibu datang kepadaku dan beritahu ibu nak berpisah dengan ayah.

Aku menangis dan tanya kenapa. Ibu cakap sebab ibu dah rasa tak bahagia. Ibu minta aku dan adik duduk bersamanya. Masa ibu cakap tu, setitik air mata ibu tak jatuh.

Esoknya, ayah pula datang padaku. Bagitahu ibu yang nak sangat berpisah. Ayah tak nak. Ayah cakap ayah dah penat kerja siang malam, tapi tetap tak dapat penuhi kehendak ibu.

Ayah cuba pancing emosiku dan adik seolah olah ibu yang nak sangat bercerai.

Selang berapa hari, cuti sekolah tiba. Ayah ajak aku dan adik ke Genting Highlands. Kata ayah lepasni dah susah nak jumpa sebab tak serumah.

Aku dan adik ikut la ayah. Ibu tinggal seorang di rumah. Ayah tempah hotel mewah untuk kami. Ayah dan adik lelaki sebilik. Aku di bilik lain.

Kami main di taman tema, makan sedap sedap. Cakap je nak apa, semua ayah belikan. Waktu bercuti tu ayah selalu cakap, ayah sayang ibu tapi ibu dah tak sayang ayah. Masa tu tahun 2007-08, zaman handphone Nokia.

On the way nak balik rumah, ayah belikan kami handphone. Masa tu dapat pakai Nokia butterfly, kira dah mewah sangat kot.

Balik dari Genting tu, cakap je nak makan apa. Semua ayah belikan. Sedar tak sedar, aku dah adik semakin jauh dengan ibu.

Bila ayah bawak balik KFC, ibu tak makan sikit pun. Ibu rela makan nasi dengan telur kicap. Pernah sekali, aku nampak ibu buang ayam KFC yang ayah beli dalam tong sampah.

Dalam hatiku terus berkata, ibu ni yang tak sayang ayah, ayah dah buat macam macam untuk ibu. Ibu jadi pendiam dan suka menyendiri.

Ayah bawak balik satay, ayah ajak ibu makan sekali. Tapi ibu cakap dah kenyang dan masuk bilik. Tinggallah kami makan bertiga.

Masa ni lah ayah cakap pada kami – tengok ibu tu, dah berubah tak sayang kita dah. Masa ni, aku dan adik dah percaya dengan cakap ayah.

Betullah ibu ni yang berubah, ayah ok je. Hal perceraian ibu ayah jadi senyap tiba tiba. Aku dan adik buat tak endah saja. Pada aku, mungkin ibu ayah dah berbaik.

Masa berlalu, aku sambung belajar ke matrikulasi selepas SPM. Ayah bayarkan yuran dan beli semua kelengkapan. Ayah hantar aku ke kolej.

Ibu tak ikut. Ibu peluk aku sebelum aku pergi dan ucapkan jaga diri bila di tempat orang.

Habis setahun di matrik, aku sambung pula 3 tahun di universiti. Hubungan aku dan ibu biasa biasa saja, aku tetap akan call ibu tiap hari tanya khabar.

Tapi ayah, makin jauh pula dengan aku dan adik. Aku call tak angkat. Mesej tak balas. Kalau dapat call pun, ayah cakap dia sibuk tak boleh cakap lama.

Pernah sekali, aku minta duit RM200 untuk bayar yuran kolej waktu cuti sem. Aku stay di kolej kerana tempat praktikal dekat dengan kolej.

Ayah marah padaku dalam telefon dan cakap dia bukan cop duit. Nasib baik aku ada simpanan dalam ASB, dengan duit itulah aku bayar yuran.

Tamat degree, aku duduk di rumah dan Alhamdulillah dapat kerja yang dekat dengan rumah. Aku semakin rapat semula dengan ibu. Dapat gaji, aku bawa ibu dan adik makan di luar.

Bawa beli baju, beli barang dapur. Aku juga perasan ayah jarang ada di rumah. Semakin lama, ayah kembali pada sikapnya yang dulu. Marah, tengking, maki hamun kami.

Aku kumpul duit untuk beli kereta bagi memudahkan aku ke tempat kerja. Lagipun, tak perlu lagi aku pinjam kereta ayah.

Bila ayah tahu aku beli kereta, ayah marah padaku. Katanya dari bayar kereta, baik bagi duit pada dia. Aku pelik dengan sikap ayah. Kenapa ayah macam ni?

Masa berlalu, umur ku menginjak 28 tahun. Aku suarakan hajatku untuk berkahwin dengan pilihan hati.

Diringkaskan cerita, aku selamat bernikah dengan suamiku. Tapi yang aku pelik, selepas majlis nikahku selesai, ayah hilang. Ramai tetamu tanya mana ayah? Aku cuma jawab ayah ada hal.

Majlis nikahku pada waktu pagi dan majlis sanding bermula tengah hari. Sepanjang majlis sanding, ayah tak muncul. Hairan juga aku, ke mana ayah?

Tapi aku lihat ibu relax saja, senyum melayan tetamu. Aku lupakan sebentar hal ayah sebab takut tak fokus masa majlis.

Setahun kahwin, aku dikurniakan anak lelaki. Kehadiran anakku ini merapatkan hubungan aku dan ibu. Ibu sangat sayang pada cucunya.

Aku pun kerap balik rumah ibu. Ibu akan imbas balik kenangan ketika aku dan adik masih kecil. Dan aku perasan – ibu kembali ceria sejak kehadiran cucu.

Satu hari, aku minta izin untuk tidur di rumah ibu kerana suamiku perlu outstation. Malam itu cuma aku, ibu dan anakku di rumah ibu.

Selepas anak tidur, aku keluar bilik dan lihat ibu sedang duduk di meja. Aku datang pada ibu, kami berborak kosong.

Tiba tiba ibu sentuh tanganku dan berkata – “kakak, boleh ibu nak cerita?”

Aku pun balas – “ibu nak cerita apa? Cakap je”. Ibu jawab – “ibu nak cakap pasal ayah.” Aku sedikit berdebar.

Ibu mula cerita yang ibu nak sangat berpisah dengan ayah sebab tak tahan dipkul oleh ayah semasa kami kecil. Ibu dipkul dalam bilik masa kami tidur. Puncanya sebab ibu tak bagi duit pada ayah.

Barulah aku tahu, ayah rupanya kaki judi nombor ekor! Ya Allah, menitik air mataku sepanjang ibu bercerita.

Ibu cakap ingat tak ayah akan singgah satu tempat ni dan cakap nak ambil barang dekat kawan? Ayah akan parking kat kedai hujung lepastu ayah jalan. Ya, aku ingat!

Rupanya, ayah ke kedai nombor ekor yang terletak tak jauh dari tempat kami parking.

Ibu cakap dia nampak ayah masuk kedai judi tu. Ibu jumpa kertas nombor ekor tu dalam poket ayah. Ibu tahu ayah beli surat khabar dan tengok keputusan nombor ekor. Bila tak menang, ayah akan beli lagi dan lagi.

Ayah tahu yang ibu tahu perbuatannya. Tapi ayah tak peduli. Tiap kali ibu nasihat, ibu akan dipukul. Duit gaji habis beli nombor ekor.

Ibu penat sampai tak tidur malam jahit baju, tapi ayah senang senang curi duit ibu dan berjudi.

Ibu pernah gadai barang kemas sebab masa tu nak beli baju dan buku sekolah kami. Ibu akan sorok duit dalam tempat beras sebab takut ayah curi.

Bukan setakat berjudi, ayah juga gangster rupanya. Kalau ada orang upah ayah untuk pukul orang, ayah akan pukul.

Ayah pernah kena tahan polis tapi sebab tak cukup bukti kot, ayah dibebaskan. Patutlah kadang kadang lama ayah tak balik rumah.

Ibu selalu doa agar aku dan adik dijauhkan dari bahaya. Ibu takut kalau ada orang apa apakan kami sebab dendam dengan ayah.

Ibu juga tanya – “ingat tak ayah bawak kakak dan adik bercuti ke Genting? Belikan handphone, makan sedap sedap”.

Rupanya ayah menang judi masa tu! Patutlah kami dapat macam macam. Ibu tahu ayah belikan makanan pakai duit menang judi sebab tu ibu tak makan.

Ibu cerita dia menangis masuk bilik bila tengok aku dan adik makan makanan yang ayah bawa. Ibu doa moga kami tak gelap hati.

Ibu batalkan hasrat nak bercerai sebab masa tu kami rapat dengan ayah. Kalau berpisah, pasti kami nak ikut ayah sebab ayah berjaya brainwashed kami yang ibu jahat, ayah baik.

Ibu tak sanggup kehilangan kami berdua sebab tu ibu tak jadi bercerai. Ibu terus terang dia dan ayah cuma suami isteri di atas kertas saja.

Sejak kes ibu nak bercerraI tu, ibu dan ayah serumah tapi masing masing buat hal sendiri.

Oh, dan ke mana ayah aku pergi masa majlis sanding aku? Ibu cerita dia tahu ayah aku nak keluar dengan perempuan lain masa tu.

Ibu memang malas nak bertekak dengan ayah sebab ibu tahu ayah sanggup keluar dengan perempuan tu dari berada di majlis anaknya sendiri.

Ibu tahu ayah nak kahwin dengan perempuan tu dan ibu memang langsung tak peduli. Ibu cuma mahu fokus pada dirinya. Ibu bahagia dengan hidupnya sekarang.

Sepanjang ibu bercerita, aku tak berkata sikit pun, aku cuma menangis. Bila ibu habis bercerita, aku sujud pada kaki ibu dan minta maaf.

Aku teresak esak mohon ampun pada ibuku. Aku tanya pada ibu, kenapa ibu tak pernah cerita?

Jawapan ibu sebab pada masa itu, ayah di pihak yang baik dan berikan kami segalanya. Berbeza dengan ibu, ibu di pihak yang jahat ketika itu.

Lagipun, ibu tak mampu belikan kami macam macam. Ibu tak sanggup berpisah kalau kehilangan aku dan adik.

Setitik air mata ibu tak mengalir ketika itu. Ibu cakap dia dah puas menangis semasa aku di matrik. Ibu tak larat dah nak menangis. Aku dah melolong nangis masa tu, minta maaf pada ibuku.

Ibu, kalau masa tu kakak tak halang ibu nak bercerai, mesti sekarang ibu dah bahagia. Mesti ibu dapat capai impian ibu nak ada kedai jahit sendiri.

Maafkan kakak sebab tak pernah memahami ibu ketika itu. Kakak bersalah seumur hidup pada ibu!

Ibu cakap dia doakan aku takkan merasa apa yang dia rasa. Ibu doakan aku bahagia dengan suamiku. Ibu yakin suamiku bukan seperti ayahku.
Malam itu, aku tidur berpelukan dengan ibu. Bengkak mataku menangis.

Hingga hari ini, ayahku entah apa khabar. Tak tahu dah berkahwin ke dengan perempuan itu, duduk di mana. Aku kerap balik ke rumah ibu supaya ibu tak rasa sunyi. Mujur adik duduk sekali, tidaklah ibu keseorangan.

Ibu, kakak bersalah pada ibu. Kakak tak dapat putarkan masa lalu tapi kakak janji, kakak akan jaga ibu. Terima kasih suamiku tak pernah halang diri ini kerap berjumpa ibu.

Ibu, maafkan kakak!