Kenduri doa selamat tu buat masa majlis akad nikah aku. Selesai je majlis tu suami pula tiada di sisi

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Nama aku Sha, aku awal 30an. Aku seorang yang ceria dan manja. Aku berpendidikan serta mempunyai kerjaya yang tetap.

Aku baru berkahwin dalam tempoh 8 bulan bersama duda yang mempunyai dua cahaya mata perempuan lingkungan umur 10 tahun dan 11 tahun.

Lelaki duda, baru menduda setahun. Sebelum berkahwin kami sangat bahagia seperti pasangan bercinta yang lain.

Ini adalah kali pertama perkahwinan buat diri aku. Tiada niat hendak membuka aib tapi diri aku kini telah tawar hati walaupun baru berkahwin.

Kehidupan aku mula berendam airmata setelah aku bernikah. Benarlah bercinta itu tidak seindah berkahwin, setelah berkahwin baru kita mengenali pasangan kita itu.

Tak terluah dengan kata kata ketika menaip kisah diri aku yang dianggap perempuan paling bertuah di mata rakan rakan sekelilingku.

Ingin aku luahkan disini, kehidupan aku adalah sebagai seorang isteri PJJ.

Syukur alhamdulillah, dari segi nafkah zahir batin suami aku beri mengikut kemampuan dan aku tidak pernah meminta yang bukan bukan malah aku bersyukur dengan apa yang ada.

Ujian yang aku lalui kini bermula setelah Lafaznya nikah sah aku jadi seorang isteri.

Majlis doa selamat diadakan pada hari nikah aku dan selesai sahaja majlis. Pada hari itu jugak suami aku tiada di sisi.

Ramai orang bertanyakan kepada aku termasuklah orang tua aku sendiri, mana suami?

Untuk pengetahuan, suami aku pulang ke Kuala Lumpur untuk menguruskan anaknya. Tinggal aku sorang diri dikampung.

Mulanya aku anggap tidak mengapa sebab memikirkan inilah pilihan aku, memilih duda ada anak, anak adalah tanggungjawabnya. Aku kena redha.. Ya aku kena redha.

Setelah berbulan aku lalui kehidupan sebagai isteri serta ibu tiri, bukanlah tanggungjawab yang mudah.

Sebelum berkahwin jandanya pernah pesan pada aku, derita akan bermula.

Pada aku, aku terima suami aku seorang yang baru, aku tidak mahu ambil tahu kisah kisah terdahulu dan siapalah aku untuk menghukum orang itu baik atau jahat.

Sebulan telah berlalu, suami aku membawa aku pergi bercuti untuk berbulan madu. Aku sangat teruja, sebab ini masa aku dan suami, tapi hambar.

Suami tidak henti2 terima call dari anak anaknya. Pada aku tidak mengapa pada mulanya tapi kalau 15 mnit sekali call, tanya dimana buat apa? aku merasakan, seolah olah berebutkan kasih sayang.

Aku cuba positifkan diri, akhirnya aku menangis juga bukan mengenangkan apa yang terjadi, menangis kerana aku terima whatsapp dari anak tiri aku, digelarnya aku perampas.

Aku sabar serta diam tanpa pengetahuan suami aku.

Satu hari kami sekeluarga keluar makan bersama. Suami aku langsung tidak mempedulikan aku dan anak, bila aku tegur dia terus melenting..

Baru aku tahu suami aku adalah seorang lelaki yang panas baran, sehingga beberapa kali airmuka aku jatuh kerana ditengking aku depan anak anak dan orang ramai.

Niat diriku adalah menegur, pada waktu makan telefon letak dahulu ditepi, jamah dahulu rezeki akhirnya aku dimalukan.

Bukan itu sahaja, anak anak turut ketawakan aku dan merasa bangga bila bapanya buat begitu.

Aku cepat cepat minta maaf pada suami jika perbuatan aku membuatkan aku salah. Aku taknak jadi isteri derhaka.

Seterusnya, mengenai anak anak. Mind set mereka ibu tiri adalah jahat. Aku cuba ambil hati anak anak tiri dengan mendekatkan diri aku dan beri perhatian aku kepada mereka. Aku mengajar mengaji dan macam macam lagi.

Anak anak tiriku dididik dengan cara mewah dan agak liberal. Hendak nak dibanding kehidupan dengan aku dan suami. Aku sedar aku tidak layak untuk menegur suami mengenai didikan anak kerana aku belum mempunyai zuriat.

Salah ke kalau aku berikan didikan agama? Didikan pelajaran?

Aku tahu anak anak tiriku agak kurang dalam pembelajaran, aku tidak menyangka mereka cuba sedaya untuk tarik perhatian suamiku untuk menampakkan aku seorang ibu yang jahat.

Sehingga orang sekeliling aku cakap kepada aku, kena kuat, kena tahan semampu boleh, minta kekuatan dengan Allah..

Berbeza dengan anak lelaki, anak perempuan cemburunya lain. Anak anak tiri aku sehingga kini suami aku mandikan dan suapkan makan serta dodoikan sehingga tidur.

Aku? Aku cuma tidur dibawah berendam airmata manakala suamiku bersama anak diatas katil. Suami aku memberi amaran jika aku keluar bilik aku jadi isteri derhaka, aku terdiam lagi.

Sabar lagi. Aku sebagai seorang isteri, naluri aku nak dimanja dan dibelai juga, tapi sampai bila?

Anak anak tiriku bukan kecil, dan sepatutnya kena pisah bilik tdur. Bukan kejam tapi privasi serta aib suami isteri. Akhirnya aku tidur dibawah demi menjaga hati anak anak.

Ketika suami dan anakku tidur, lama aku tenung mereka. Entah apa diriku rasakan sehingga aku solat tahajud pun aku menangis, ini yang dipanggil tekanan?

Atau aku cemburu kerana tidak diberikan perhatian?

Anak anak aku suka menangis tanpa sebab jika melihat bapanya bersama dengan aku ataupun bila kami bermesra.

Anak aku terbiasa dilayan dan dimanja. Segala kerja rumah, masak, pinggan mangkuk semua aku uruskan mereka cuma makan serta tinggal begitu saja.

Sehingga aku pernah menangis dalam tandas kerana terlalu penat, hujung minggu aku adalah bersama mereka.

Aku dan suami? Bila suami aku ingin bersama, Sahaja dia mencari. Aku layankan tidak kira fizikal dan mental aku penat sekalipun.

Tak pernah suami aku tanya aku ok ke tidak? Tolong isteri buat kerja rumah?

Itu belum campur suami aku ada skandal lain sebelum berkahwin dengan aku, isteri serta janda.

Maaflah jika berterabur. Aku tak pandai mengarang.