Seluar kecik abang ipar pun saya juga kena sidai. Dah la masa tu hanya ada abang di rumah.

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua pembaca. Izinkan saya meluah perasaan di sini.

Nama saya Farah. Umur 32 tahun ini. Sudah mendirikan rumah tangga 5 tahun dan mempunyai 2 orang anak.

Sejak berkahwin saya dan suami berpindah ke rumah kami sendiri. Rumah yang dibeli setelah 5 bulan bernikah.

Rumah kami tidak jauh dari rumah mertua iaitu ibu suami. Yang hanya 15 minit dari rumah.

Suami ada 5 orang adik beradik. Semuanya lelaki. Suami anak yang kedua. 3 adik ipar saya pun sudah berkahwin. Hanya tinggal abang ipar sulung sahaja masih bujang dan tinggal dengan ibu mertua.

Disini saya nak meluah setelah 5 tahun saya memendam rasa. Hendak dicerita kepada suami sendiri tetapi isu ini agak sensitif dan takut suami terasa hati.

Masalah saya bermula ketika kami mula mula baru berkahwin, ibu mertua selalu menyuruh saya melayan abang ipar sama rata seperti suami sendiri.

Maksudnya ialah, jika saya masakkan makanan untuk suami, mesti juga dimasakkan untuk abang ipar.

Jika saya hidangkan makanan untuk suami, mesti juga hidangkan untuk abang ipar.

Ibu mertua juga berpesan jangan ada rasa janggal dan anggaplah abang ipar sama seperti abang sendiri.

Saya sangat sangat kekok dan malu sebab saya sendiri pun tak mempunyai abang kandung.

Saya fikir perkara ini hanya berlaku jika saya datang ke rumah mertua sahaja. Tetapi tidak!

Walaupun saya dah berpindah ke rumah sendiri, ibu mertua selalu pesan melalui whatsapp untuk hantarkan makanan di rumah untuk abang ipar.

Sebab mertua selalu sibuk dengan aktiviti harian bersama kawan kawan seusianya. Mertua sangat aktif berjalan dan mempunyai group mereka sendiri di taman perumahannya.

Jadi bila mertua tak memasak, kami menantu menantu pasti akan diberikan tugas untuk melayan makan minum abang ipar.

Ya, bukan saya seorang sahaja yang disuruh. 3 lagi menantu pun diberi tugas yang sama.

Mereka pun pernah juga bertanyakan hal ini kepada saya. Tapi saya jawab, “ya memang ini yang ditugaskan kepada saya sejak 5 tahun lalu”.

Bukan setakat perlu jaga makan minum, malahan baju dalam mesin basuh pun minta dijemurkan.

Bayangkan lah, saya kene jemur seluar kecil abang ipar. Sudahlah masa itu tiada orang di rumah. Hanya ada abang ipar.

Itu pun nasib baik ada anak anak. Walaupun baru berusia 3 dan 4 tahun. Suami saya bekerja.

Bagaimana pula nasib biras saya yang lain. Ada 2 orang lagi yang belum ada anak. Lagi lah mertua selalu menyuruh mereka masak, kemas rumah dan bermacam lagi pekerjaan di rumah mertua.

Untuk pengetahun semua, abang ipar saya cukup sifat. Bukan OKU atau cacat mental. Tetapi dia tidak bekerja.

Memang seperti biawak hidup. Makan pakai semua mertua sediakan. Semua daripada duit nafkah anak anak kepada ibu mertua.

Pasti ramai yang tertanya tanya kenapa suami suami kami tidak bersuara kan?

Ya suami memang sudah bersuara. Tetapi ibu mertua selalu merajuk dan kecil hati jika suami menegur abang ipar.

Ibu mertua selalu mengingatkan kepada suami untuk jaga hati abang ipar. Katanya kesian sudahlah tiada isteri, adik adik sendiri pun taknak tolong.

Ibu mertua selalu cakap kepada suami supaya mengingatkan kepada isteri masing masing bahawa layan abang ipar seperti abang kandung sendiri agar tidak kekok atau malu dengan abang ipar.

Bayangkan, ketika kami semua berkumpul di rumah mertua, ibu mertua siap pesan jika nanti dia sudah tiada, bawalah abang ipar jika beraya di kampung dengan keluarga.

Ketika saya di rumah pun, ibu mertua selalu suruh masak lebih dan bungkuskan untuk abang ipar di rumah. Untuk makan perut sendiri pun tak mampu buat.

Pernah juga saya beri alasan tidak sempat atau tidak sihat untuk hantar makanan, nanti tugas itu akan diserahkan kepada menantu yang lain pula.

Jangan lah ada yang cakap kami ini berkira atau busuk hati sebabnya dia itu abang ipar. Kita masih tahu batas antara ipar.

Tetapi ibu mertua tidak pernah faham. Baginya kesian kepada abang ipar dan selalu risau keadaannya jika berseorangan di rumah.

Suami dan adik beradiknya pernah juga dapatkan pekerjaan untuk abang ipar tetapi hanya sekejap sekejap sahaja kerja dan lepas itu buat hal dan berhenti.

Bukan sekali tetapi banyak kali sehingga mereka pun malu nak cerikan kerja lagi untuk abang ipar.

Abang ipar dah terbiasa duduk rumah tanpa ada komitmen. Dan ibu mertua pun tidak pernah paksa abang ipar untuk bekerja.

Pernah juga adik ipar saya iaitu adik suami bergaduh dengan abang ipar sulung. Katanya supaya jangan suka suka menyuruh isterinya seperti orang gaji.

Bayangkan, biras saya disuruh kumpulkan baju baju kotor dan tolong cucikan sebab tiada lagi baju bersih hendak dipakai.

Dan ketika itu adik ipar pun ada sekali di rumah. Pada masa itulah bergaduhnya adik beradik tu.

Dan disebabkan perkara tu, adik ipar setengah tahun tidak jejak kaki di rumah mertua. Termasuklah isterinya.

Dek kerana perkara itu, mertua sangat dingin dengan biras saya. Katanya, biras saya tu suka mengadu dan pecah belahkan adik beradik.

Benda ini sudah berlarutan dan saya dah menghadap perkara ini sejak 5 tahun dulu.

Saya mungkin sudah lali. Tetapi kasihan dengan biras biras yang lain. Ada yang terpaksa buat juga masak, kemas rumah dan sebagainya di rumah mertua hanya untuk jaga hati mertua.

Bukan tiada yang tolong carikan isteri, tetapi abang ipar itu tidak bekerja. Takkan lah kami nak aniaya anak orang hanya semata minta abang ipar dilayan.

Dan sampai ke hari ini ibu mertua masih meminta kami semua buat kerja di rumah mertua walaupun kami masing masing sudah tinggal di rumah sendiri.

Sekian luahan. Terima kasih sudi membaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *