Aku sebagai lelaki malu nak cerita masalah ni. Selalu isteri yang luahkan ini aku lelaki sebagai suami

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kali ni cerita aku mungkin sedikit sebanyak boleh memberi input dari segi permasalahan rumahtangga yang turut dirasai si Suami.

Aku dan isteri telah mendirikan rumahtangga selama hampir 8 tahun. Telah dikurniakan 2 orang anak berumur 5 tahun dan 3 tahun.

Kami berdua masing masing bekerja sebagai penjawat awam dengan masa bekerja normal. Cuma tempat aku bekerja lebih rileks berbanding tempat kerja isteri.

Sebelum menimang cahaya mata, hubungan kami sangat mesra. Jalan pun berpimpin tangan. Tidur pun boleh berpelukan. Kiranya semuanya baik baik saja.

Kehadiran cahaya mata orang cakap boleh menambahkan kebahagiaan sesuatu pasangan tetapi dalam kes aku, seperti terbalik pula.

Semenjak punya cahaya mata, hubungan kami sudah tak mesra seperti dulu. Sudah susah berpegangan tangan, sudah tidak dapat tidur berpelukan malah nak bersama pun susah.

Aku amat bersyukur bila dikurniakan sepasang cahaya mata yang comel dan amat sayang pada anak anak aku dan aku sama sekali tak menyalahkan kehadiran mereka.

Cuma aku sedikit terkilan dengan perubahan isteri aku dari segi layanan.

Aku cuba berbaik sangka, mungkin sekarang kasih sayangnya bukan semata mata untuk aku, tetapi untuk anak anak juga.

Mungkin juga isteri sibuk dalam kerjayanya. Namun aku terasa agak kurang kasih sayang.

Untuk tidak membebankan sangat isteri, aku turut membantu dengan kerja kerja rumah, membantu menguruskan anak.

Malah aku tidak memaksa isteri untuk memasak dan kami pun memang lebih banyak membeli makanan luar. Namun tetap sama.

Aku juga cuba mulakan, pegang tangan, peluk isteri dan sebagainya, namun itulah, seolah aku saja yang usahakan. Tiada tindak balas yang sama dari pihak dia.

Lama kelamaan aku rasa macam dia saja yang seronok dimanjakan. Haha.

Aku cuba juga menyiasat jika ada sesuatu berlaku dibelakang aku. Sebagai pakar ICT , aku dah siasat semua medium social, email dan sebagainya.

Selain turut merisik perkara perkara diluar namun tiada yang mencurigakan dan aku 99.9% yakin bukan berkaitan orang ke-3.

Permasalahan begini sebenarnya agak memalukan untuk orang lelaki macam aku untuk bincangkan. Selalunya aku dapati keluhan sebegini banyak datang dari para Isteri.

Mungkin juga para suami malu nak mengaku. Haha. Tapi itulah apa yang aku rasa, aku juga inginkan kasih sayang. Teman untuk berborak macam dulu dulu. Teman bermanja.

Aku banyak kali suarakan perasaan aku kepada isteri. Namun katanya, ini perkara biasa bagi pasangan yang sudah punya cahaya mata.

Habis sangat dia akan cuba buat sesuatu seperti aku harapkan, tapi boleh nampak ketidak ikhlasan dalam perbuatan tu dan lama kelamaan akan berbalik kepada asal.

Aku cuba juga suarakan pada ibu dan ibu mertua ku. Masing masing hanya suruh aku bersabar dan berdoa.

Kami juga sudah pernah mendapatkan kauseling. Jujur, tiada input positif melainkan kaunselor nasihatkan aku untuk turut membantu membuat kerja rumah.

Perkara yang aku dah lama buat.

Permasalahan aku ni mungkin nampak kecik. Tapi bagi orang yang tak ramai kawan macam aku ni, isteri saja lah tempat aku balik berborak, bermanja dan semuanya.

Mungkin berbeza dengan dia yang bekerja di pejabat yang agak hectic dan ramai kawan.

Jadi bila seperti tak berapa diendah kan, lama kelamaan aku mula memendam rasa. Perkara kecil pun boleh buat kami bergaduh besar.

Bukan aku marah sesuatu perkara tu sangat, tapi lebih kepada melepaskan kemarahan diatas apa yang aku pendam.

Kerana memendam perasaan terlalu lama, aku mula terasa depress. Kadang aku fikir, baik saja aku cari perempuan lain. Walau tidak sebagai isteri, mungkin sebagai peneman.

Sejujurnya aku pernah cuba dan punya seseorang dibelakang isteri. Namun aku tak juga bahagia.

Bukan kerana aku rasa bersalah pada isteri, tapi lebih kepada rasa berdosa dengan Sang Pencipta. Maka aku putuskan hubungan.

Kadang kadang aku terfikir perlu kah aku punya perempuan lain dan biarkan ia diketahui oleh isteri. Mungkin waktu itu baru dia akan mula hargai aku.

Tapi bila difikirkan semula, jika itu berlaku, sudah semestinya keluarga dan orang lain akan salahkan aku.

Sekarang sudah beberapa bulan aku kembali hidup dalam diselubungi perasaan sebegini. Aku cuba sibukkan diri. Banyak luangkan masa bermain dengan anak anak.

Malam balik dah penat, aku tidur agar tak perlu terasa hati.

Sebenarnya banyak lagi usaha usaha yang aku dah buat untuk ambil hati isteri dan menghangatkan kembali hubungan. Namun kelihatan hanya aku saja yang berusaha.

Kadang kadang aku harap isteri aku singgah di page ni untuk baca keluhan keluhan para isteri yang menghadap pelbagai perangai buruk suami. Mungkin dengan itu dia akan lebih hargai aku. Tapi isteri aku bukannya rajin membaca.

Tak apa lah. Aku hadapkan saja demi anak anak kerana tak mungkin aku bercerrai dan berjauhan dengan mereka.

Dan tak pernah terlintas dihati nak berkahwin dua.

Membaca keluhan permasalahan orang lain disini sedikit sebanyak mengingatkan aku yang ramai lagi berhadapan masalah yang sama malah lebih teruk.

Dan mungkin saja ini fasa normal seiring perubahan usia. Mungkin aku juga perlu berubah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *